#PrkTjgDatu: 'Semua Ini Perancangan Tok Nan' - Abang Johari




LUNDU: Setiap pembangunan yang dilaksanakan ketika ini di Tanjong Datu sudah dirancang bermula dari era pemerintahan Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, dakwaan pihak tertentu projek yang diumumkan di kawasan Tanjong Datu bukan 'gula-gula' pilihan raya.

Malah menurutnya, beliau hanya mengumumkan perancangan Allahyarham Adenan di Tanjong Datu.

"Semua projek di sini (Tanjong Datu) sudah dirancang Tok Nan.

"Kita hanya mengumumkan sahaja, semua sudah dirancang awal bukan kerana pilihan raya," katanya.

Mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) N.3 Tanjong Datu, Abang Johari berkata, pengundi di Tanjong Datu perlu memberi kepada Datuk Amar Jamilah Anu meneruskan legasi Allahyarham Adenan.

"Kita mengharapkan Kak Milah menang besar," ujarnya.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.3 Tanjong Datu kosong berikutan kematian penyandangnya yang juga bekas Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada 11 Januari lepas.

Pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) tahun lalu, Adenan mempertahankan kerusi Tanjong Datu dengan kemenangan selesa, majoriti undi 6,360 mengatasi calon PKR Jazolkipli Numan yang hanya meraih 468 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh hari mengundi bagi PRK Tanjong Datu pada 18 Februari. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA