• #PrkTjgDatu: Sarawak Menang Besar, BN Juga Boleh Raih Majoriti Besar

    Published: Wednesday, 15 February 2017
    A- A+


    Bola sepak dan pilihan raya mungkin berbeza dalam banyak aspek termasuklah cara pelaksanaan.

    Namun kedua-duanya mempunyai persamaan iaitu percaturan bijak mampu membawa kemenangan besar dan bergaya.

    Jika bola sepak memerlukan kombinasi dan persefahaman pemain, begitu juga dengan pilihan raya yang banyak bergantung kepada kekuatan jentera pilihan raya serta personaliti calon.

    Jika malam tadi, Sarawak melakar kemenangan besar 6-3 mengatasi MISC-MUFA dalam saingan Piala FA, tidak mustahil Barisan Nasional (BN) juga mampu meraih majoriti tinggi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.3 Tanjong Datu.

    Di atas kertas, calon BN, Datuk Amar Jamilah Anu mempunyai kelebihan jika dibandingkan dengan Rapelson Richard Hamit dari Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) dan Johnny Bob Aput dari Parti Reformasi Sarawak (STAR).

    Sebelum ini, penganalisis politik, Profesor Madya Dr Jeniri Amir menyatakan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu memang diketahui sebagai 'kubu kuat' BN selain pernah diwakili bekas Ketua Menteri Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

    Menurutnya, keadaan seperti itu pasti akan memberi keselesaan kepada pengundi kerana masing-masing beranggapan BN akan menang mudah.

    Beliau menambah, keselesaan itu sebenarnya mencabar jentera BN untuk bekerja lebih keras berkempen bagi memastikan pemilih berdaftar turun mengundi 18 Februari ini.

    "Keselesaan tidak harus ada dalam diri mereka (pengundi Tanjong Datu).

    "Kemenangan memang pasti namun bagaimana hendak meraih majoriti undi lebih tinggi," katanya.

    Menurutnya, jentera BN juga harus berusaha untuk menjejaki pengundi yang berada di luar Tanjong Datu.

    "Tumpuan tidak harus hanya diberikan di sini, pengundi yang tinggal di luar juga perlu diberi perhatian," ujarnya.

    Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.3 Tanjong Datu kosong berikutan kematian penyandangnya yang juga bekas Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada 11 Januari lepas.

    Pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) tahun lalu, Adenan mempertahankan kerusi Tanjong Datu dengan kemenangan selesa, majoriti undi 6,360 mengatasi calon PKR Jazolkipli Numan yang hanya meraih 468 undi.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh hari mengundi bagi PRK Tanjong Datu pada 18 Februari. - Sarawakiana
  • No Comment to " #PrkTjgDatu: Sarawak Menang Besar, BN Juga Boleh Raih Majoriti Besar "