#PrkTjgDatu : Sarawak Contoh Perpaduan Sebenar


LUNDU : Sarawak merupakan sebuah negeri yang besar dan memiliki 30 etnik merangkumi populasi negeri.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak sebuah negeri yang begitu aman dan kaum berbilang agama tidak kekok untuk bertoleransi bersama.

"Sebagai contoh, perkahwinan campur mencatat jumlah tertinggi di negara ini.

"Saya sendiri memiliki isteri berketurunan Cina dan Ahli Parlimen Santubong Dato' Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar turut berumahtangga dengan wanita Cina," katanya berucap pada Majlis Makan Malam Tahun Cina di sini semalam.

Abang Johari berkata, di Miri, masjid dan gereja berkedudukan sebelah menyebelah.

"Pada hari minggu, pihak masjid akan membuka masjid agar penganut kristian dapat meletak kenderaan dan begitu juga hari jumaat, pihak gereja akan memberi ruang letak kereta di perkarangan gereja.

"Tidak ada negara lain dapat melakukan perkara sebegitu walaupun hanya terdapat dua kaum," ujarnya.

Tambah Abang Johari, terdapat banyak lagi faktor yang boleh dilihat dalam aspek perpaduan negeri ini dan oleh itu Sarawak adalah sebagai contoh negeri yang mengamalkan perpaduan sebenar. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA