#PrkTjgDatu: Rasa Selesa Boleh Bunuh Peluang BN


LUNDU: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu memang diketahui sebagai 'kubu kuat' Barisan Nasional (BN) selain pernah diwakili bekas Ketua Menteri Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata, keadaan seperti itu pasti akan memberi keselesaan kepada pengundi kerana masing-masing beranggapan BN akan menang mudah.

Menurutnya, keselesaan itu sebenarnya mencabar jentera BN untuk bekerja lebih keras berkempen bagi memastikan pemilih berdaftar turun mengundi 18 Februari ini.

"Keselesaan tidak harus ada dalam diri mereka (pengundi Tanjong Datu).

"Kemenangan memang pasti namun bagaimana hendak meraih majoriti undi lebih tinggi," katanya.

Menurutnya, jentera BN juga harus berusaha untuk menjejaki pengundi yang berada di luar Tanjong Datu.

"Tumpuan tidak harus hanya diberikan di sini, pengundi yang tinggal di luar juga perlu diberi perhatian," ujarnya.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.3 Tanjong Datu kosong berikutan kematian penyandangnya yang juga bekas Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada 11 Januari lepas.

Pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) tahun lalu, Adenan mempertahankan kerusi Tanjong Datu dengan kemenangan selesa, majoriti undi 6,360 mengatasi calon PKR Jazolkipli Numan yang hanya meraih 468 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh hari mengundi bagi PRK Tanjong Datu pada 18 Februari. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA