#PrkTjgDatu: Kemenangan BN Tingkat Pembangunan Sukan - Watson


LUNDU : Terciptanya jaguh sukan yang bertaraf antarabangsa di Sarawak adalah hasil kekukuhan dan kestabilan kerajaan seperti kerajaan Barisan Nasional (BN).

Bekas pelari pecut 'The Flying Dayak' Watson Nyambek berkata, beliau tidak akan menghampakan harapan kerajaan untuk melihat generasi masa depan terus mencipta nama dalam bidang sukan.

"Saya tidak bercakap terlalu banyak tentang politik, tetapi bila bab sukan saya akan banyak bercakap.

"Tetapi kemajuan politik dan sukan harus selari kerana tanpa kerajaan tidak akan terhasil ahli sukan," katanya ketika hadir Program Randau Bersama Pemimpin di Kampung Lundu semalam.

Menurut Watson, beliau telah banyak terhutang budi dengan kerajaan di mana kejayaan beliau sebagai pelari pecut turut atas usaha kerajaan Sarawak.

"Sehingga saya ditimpa kesusahan pun kerajaan bantu saya.

"Allahyarham Tok Nan begitu cepat membantu saya sehingga jasa beliau dan kerajaan tidak mampu saya balas," ujarnya.

Kata Watson, Oleh itu beliau sanggup memandu dari Miri untuk membantu Datuk Amar Jamilah Anu berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu.

"Beliau begitu banyak jasa kepada saya dan keluarga, maka saya serta keluarga menganggap beliau sebagai ibu kami.

"Disebabkan itu saya dengan ikhlas turun bersama adik saya Azizul Anuar Adenan berkempen bagi pihak ibu kami Datuk Amar Jamilah," tambahnya.

Watson menyeru penduduk Tanjong Datu agar keluar beramai-ramai mengundi calon Barisan Nasional pada 18 Februari. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA