• #PrkTjgDatu Kak Milah Mahu Mandat Lebih Besar

    Published: Thursday, 16 February 2017
    A- A+
    Foto: Hardi Effendi Yaacob


    SANTUBONG: Calon Barisan Nasional (BN), Puan Sri Jamilah Anu, mengimpikan kemenangan besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu, Sabtu ini, dengan perolehan majoriti lebih tinggi daripada yang diperoleh suaminya, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem atau lebih dikenali sebagai Tok Nan.

    Beliau yang lebih gemar membahasakan dirinya Kak Milah, turut mengingatkan penyokong BN, khususnya pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu, agar keluar beramai-ramai menunaikan hak mereka.

    "Itu satu-satunya cara untuk kita (BN) memperoleh mandat (majoriti) lebih besar. Kita harus memastikan kemenangan kita itu adalah kemenangan bermaruah bagi meneruskan agenda perjuangan Tok Nan di Tanjong Datu," katanya dalam temubual khas bersama BH di Damai Jaya, di sini.

    Pada masa sama, beliau mengingatkan penyokong BN jangan mudah berasa terlalu selesa hingga mengabaikan hak mengundi masing-masing. "DUN Tanjung Datu memang 'kubu kuat' BN, dari zaman Tok Nan mula-mula mewakili kawasan itu.

    Namun, jangan ada sikap mudah berasa selesa kerana ini boleh menjejaskan misi kita memburu majoriti lebih besar. Jadi, jika sayang Tok Nan dan Kak Milah, keluarlah mengundi beramai-ramai Sabtu ini," katanya.

    Beliau turut menyifatkan dirinya sebagai 'ibu' kepada penduduk Tanjong Datu, melaksanakan tugas yang sama ketika sering mengiring arwah suaminya 'turun padang' meninjau kawasan dan mendekati rakyat sebelum ini.

    "Tiada apa yang berbeza pun, saya masih ibu kepada adik dan kakak di Tanjong Datu. Peranan sama juga dimainkan ketika saya mengiringi Tok Nan 'turun padang' melawat kawasan dan mendekati rakyat.

    "Jika ada apa-apa masalah, adik dan kakak di Tanjong Datu boleh berhubung terus dengan saya untuk kita sama-sama selesaikan. Masih sama seperti dulu juga, tiada apa pun yang berbeza kecuali ketiadaan Tok Nan, namun semangatnya terus bersama kita semua," katanya.

    Beliau ketika mengulas lanjut, berkata masih banyak agenda pembangunan dirancangkan Tok Nan untuk Tanjong Datu dan penduduknya tidak sempat dilaksanakan ketika hayat beliau, malah menjadi tanggungjawab utamanya memastikan perancangan itu dilaksanakan.

    "Selama 37 tahun berkahwin dengan Tok Nan, banyak perancangannya membawa kemajuan ke kawasan pedalaman dan luar bandar di Sarawak, khususnya di Tanjong Datu dikongsikannya bersama saya. "Sebab itulah, saya tahu jiwanya cukup dekat dengan masyarakat pedalaman dan luar bandar.

    Allahyarham mahu kemajuan dikecapi di bandar turut sama dinikmati masyarakat pedalaman dan luar bandar, khususnya di Tanjong Datu. Ini akan saya berikan keutamaan selepas PRK Tanjong Datu," katanya.

    Jamilah turut menyatakan keazaman mahu menyambung semula kerja-kerja arwah suaminya yang tertangguh di Tanjong Datu demi masa depan yang lebih baik untuk penduduk setempat.

    Bagaimanapun, beliau meminta agar dirinya tidak dibandingkan dengan ketokohan dan kepemimpinan Tok Nan yang disifatkannya sebagai seorang suami, ayah dan pemimpin yang unik serta istimewa.

    "Sebagai seorang wanita asalnya dari desa, isteri yang setia dan ibu, saya sudah melalui berbagai rintangan serta cabaran bersama Tok Nan terutama sekali dalam memahami tugasan sebagai seorang wakil rakyat, menyelami denyut nadi masyarakat berbilang kaum dan warna-warni dunia politik.

    "Semangat ingin berbakti dan kesungguhan Tok Nan akan saya bawa dalam budaya kerja saya nanti," katanya sambil meminta segenap lapisan rakyat di Tanjong Datu agar bekerjasama dengannya menjayakan aspirasi besar arwah suaminya di kawasan terbabit," katanya. - BH

  • No Comment to " #PrkTjgDatu Kak Milah Mahu Mandat Lebih Besar "