#PrkTjgDatu: Kak Milah Ada Aura Tersendiri



LUNDU: Bekas Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem sememangnya dekat di hati rakyat Sarawak, lebih-lebih lagi penduduk Tanjong Datu.

Allahyarham Adenan atau lebih mesra dipanggil Tok Nan ketika hayatnya meninggalkan legasi yang perlu diwarisi terutama wakil rakyat baharu yang menjaga kawasan Lundu dan Sematan.

Barisan Nasional (BN) memilih balu Tok Nan, Datuk Amar Jamilah Anu atau lebih mesra dipanggil Kak Milah yang memiliki karektor yang tepat untuk meneruskan legasi yang ditinggalkan.

Menurut Penganalisis Politik, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, Kak Milah dijangka tidak sukar untuk keluar daripada bayangan Tok Nan.

Beliau berkata, ini kerana calon BN itu turut memiliki kekuatan tersendiri dalam menyelami denyut nadi rakyat di kawasan Tanjong Datu.

"Sebagai permulaan, persepsi itu mungkin sukar dielakkan kerana Tok Nan (Adenan) ialah teman hidup beliau sepanjang mengharungi dunia politik bersama.

"Kalau Ketua Menteri baharu (Datuk Amar Abang Johari Tun Openg) masih sukar untuk keluar dari bayangan arwah Tok Nan apatah lagi isterinya (Kak Milah)," katanya.

Pensyarah Kanan, Jabatan Sosio Budaya Universiti Malaya (UM) itu menambah, Kak Milah perlu diberikan peluang bagi membuktikan dirinya mempunyai keupayaan sendiri, idea, strategi dan wawasan dalam politik.

Jelasnya, bonda kepada dua anak itu juga mempunyai aura kepimpinan tertinggi dan akan
dibuktikan dalam masa setahun beliau menjadi wakil rakyat.

"Bagi saya, dasar, sikap dan pendirian yang bijaksana Tok Nan sebelum ini pasti akan diterjemahkan juga oleh Kak Milah.

"Lagi pun bayangan politik arwah sentiasa menjadi ingatan bagi rakyat Sarawak. Rakyat sentiasa rindukan gaya kepimpinan arwah yang sukar dicari ganti," katanya.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA