#PRKTjgDatu : Guna Mahkamah Selesaikan Isu Tanah, Hanya Menguntungkan Peguam


LUNDU : Penduduk yang membawa isu tanah 'Pemakai Menoa' dan 'Pulau Galau' ke Mahkamah, hanya akan merugikan wang ringgit dan menguntungkan peguam-peguam.

Menteri Kemudahan Awam Datuk Seri Stephen Rundi Utom berkata, isu tersebut selagi ia tidak diurus selagi itu ia akan bercelaru lebih-lebih lagi ada yang menggunakan saluran undang-undang untuk mencari penyelesaian.

"Peguam tetap menerima apa sahaja kes yang hendak dibawa ke mahkamah selagi penduduk mahu membayar segala kos.

"Peguam tidak mengira kes tersebut kalah atau menang, jika menang peguam lebih banyak mendapat keuntungan," katanya di Program Randau Bersama Pemimpin di sini semalam.

Menurut Rundi, masyarakat Dayak perlu memahami bahawa isu berkenaan tidak memerlukan Mahkamah untuk mencari penyelesaian.

"Kerajaan tetap mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan adil dan saksama.

"Sebagai pemimpin Dayak, kami memandang berat isu berkenaan dan kami pemimpin Dayak telah menubuh komiti bagi membincangkan hal berkenaan secara adat," ujarnya.

Rundi menyatakan dalam komiti tersebut terdiri daripada Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri James Jemut Masing, Datuk Roland Sagah, dan pemimpin Dayak yang lain termasuk beliau sendiri.

"Objektif komiti adalah mencari jalan terbaik bagaimana menyelesaikan isu pulau galau dan pemakai menoa dan akan dijuruskan kepada adat.

"Pemakai menoa, pulau galau dan NCR mempunyai had tertentu hak pemilikannya," jelasnya.

Tambah Rundi, tidak relevan jika masyarakat yang menuntut mengakui 'dari matahari terbit ke matahari terbenam' adalah milik mereka.

"Seharusnya masyarakat yang menuntut mendapat sekadar apa yang termampu dan pihak lain turut mendapat bahagian.

"Oleh itu kami pemimpin Dayak sedang berbincang supaya keputusannya relevan dan adil kepada masyarakat Dayak dapat dicapai," tambahnya.

Rundi turut meminta agar masyarakat Dayak menyokong keputusan yang ditetapkan demi kepentingan Dayak dalam isu tanah berkenaan.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA