#PrkTjgDatu: Calon PBDSB & STAR Mungkin Dapat Kurang 500 Undi



LUNDU: Berdasarkan cakap-cakap di kedai kopi sekitar pekan Lundu, rata-rata mereka masih belum dapat menerima kehadiran dua calon pembangkang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.3 Tanjong Datu.

Kempen yang dijalankan dua calon tersebut Rapelson Richard Hamit dari Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) dan Johnny Bob Aput dari Parti Reformasi Sarawak (STAR) masih tidak kelihatan di Tanjong Datu.

Jika keadaan seperti ini diambil kira, dua calon pembangkang itu bukan sahaja hilang wang petaruhan malah mungkin mendapat kurang daripa 500 undi.

Penganalisis politik, Profesor Madya Dr Jeniri Amir sebelum ini berkata, Johny dan Rapelson bakal hilang wang pertaruhan.

Ini kerana menurutnya dengan mengambil kira kemampuan dua calon tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas.

Johnny pada PRN lepas ketika bertanding di Bukit Semuja hanya memperolehi 53 undi manakala Rapelson meraih 699 undi di Gedong.

"Hampir pasti calon STAR dan PBDSB hilang wang pertaruhan," katanya.

Bagaimanapun menurutnya, dua calon tersebut mungkin akan menggunakan pendekatan meyakinkan pengundi untuk tidak keluar undi.

"Ini penting bagi mereka agar tidak hilang wang pertaruhan kerana majoriti turun mengundi berkurangan," ujarnya.

Jeniri menjelaskan, jika mereka berjaya mendapatkan balik wang pertaruhan, ia adalah sesuatu bonus bagi mereka.

"Kemenangan bagi mereka kalau dapat balik wang pertaruhan," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan, jentera Barisan Nasional (BN) perlu bekerja keras untuk memastikan majoriti undi tinggi.

PRK N.3 Tanjong Datu menyaksikan BN menampilkan Datuk Amar Jamilah Anu sebagai calon.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.3 Tanjong Datu kosong berikutan kematian penyandangnya yang juga bekas Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada 11 Januari lepas.

Pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) tahun lalu, Adenan mempertahankan kerusi Tanjong Datu dengan kemenangan selesa, majoriti undi 6,360 mengatasi calon PKR Jazolkipli Numan yang hanya meraih 468 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh hari mengundi bagi PRK Tanjong Datu pada 18 Februari. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA