#PrkTjgDatu: 9,771 Pemilih Berdaftar Mengundi 18 Februari




LUNDU: Seramai 9,771 orang pemilih berdaftar akan mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.3 Tanjong Datu Sabtu ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, SPR menyediakan 16 pusat mengundi yang mempunyai 25 tempat mengundi (saluran) bagi tujuan pengundian.

Menurutnya, semua pusat mengundi akan dibuka bermula jam 8 pagi manakala waktu tutup pengundian berbeza mengikut lokasi pusat mengundi dan jumlah pengundi.

Beliau menambah, waktu pengundian akan ditutup sepenuhnya pada jam 5 petang.

"Memandangkan keadaan cuaca pada hari pengundian diramalkan akan berlaku hujan, pengundi dinasihatkan supaya merancang masa untuk keluar mengundi dan tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir.

"Bagi pengundi di lokasi pusat mengundi yang ditutup lebih awal, mereka juga dinasihatkan supaya keluar mengundi pada awal waktu," katanya.

Beliau menjelaskan, pengundi yang akan keluar mengundi pada 18 Februari, mereka dinasihatkan untuk membuat semakan maklumat pengundian masing-masing seperti nama pusat mengundi, no. saluran dan no. siri mengundi.

Antara kaedah yang boleh digunakan termasuk menerusi laman sesawang SPR di www.spr.gov.my, khidmat pesanan ringkas, menghubungi pejabat SPR ditalian 082-254867 dan barung SPR di setiap pusat mengundi.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA