#PrkTjgDatu Risalah Jamilah Mula Diedar




LUNDU: Calon Barisan Nasional (BN) Puan Sri Jamilah Anu 'berhubung' dengan pengundi menerusi risalah yang mula diedarkan di Tanjong Datu, hari ini.

Pengarah Jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, risalah itu dicetak dalam lima bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Melayu, Cina, Iban dan Bidayuh bagi memudahkan semua kaum memahami mesej yang disampaikan. Beliau berkata, risalah yang mengandungi penjelasan, seruan dan permohonan Jamilah itu dirancang beliau bersama Setiausaha Politik Ketua Menteri, Abdullah Saidol.

"Ketua Menteri (Datuk Amar Abang Johari Openg) mempersetujuinya dan risalah itu sudah dicetak dan edarkan. Menerusi risalah ini, calon kita dapat berhubung terus dengan orang ramai, khususnya pengundi di Tanjong Datu," katanya.

Antara lain, Jamilah dalam risalah itu menyatakan kesediaannya untuk meneruskan kerja Allahyarham Tan Sri Adenan Satem yang dipanggilnya Tok Nan.

"Atas rasa tanggungjawab dan demi kesejahteraan semua warga Tanjong Datu, saya bersedia memikul amanah serta cabaran ini untuk meneruskan perjuangan Allahyarham Tok Nan," katanya dalam risalah itu.

Jamilah yang kini dalam tempoh edah jelas merendah diri dan tidak mahu dibandingkan dengan arwah suaminya itu andai terpilih sebagai wakil rakyat.

"Dengan rendah diri, saya memohon janganlah dibandingkan ketokohan serta kepimpinan Allahyarham Tok Nan dengan saya. Tok Nan seorang suami, ayah dan pemimpin yang unik serta istimewa. Saya sebagai wanita yang berasal dari desa, isteri yang setia dan ibu, saya telah melalui pelbagai rintangan serta cabaran bersama Tok Nan," katanya.

Cabaran yang beliau maksudkan ialah memahami tugasan Tok Nan sebagai wakil rakyat, menyelami denyut nadi masyarakat berbilang kaum dan warna warni dunia politik. Pada penghujung pesanannya itu, Jamilah merayu diberi mandat serta kemenangan yang besar kerana ia adalah tanda sokongan rakyat Tanjong Datu, kepada kepimpinan baharu Ketua Menteri Sarawak. - BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA