• PM Selar Pembangkang Reka Cerita Demi Agenda Peribadi

    Published: Friday, 17 February 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak menyelar sikap memalukan ahli-ahli politik pembangkang yang cuba menjatuhkan negara dengan mereka-reka cerita tanpa asas demi memenuhi agenda peribadi.

    Perdana Menteri berkata, dalam tindakan itu, pastinya mereka tidak akan membawa kisah kejayaan sebenar negara yang diusahakan kerajaan dan syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) melalui pelbagai program serta insiatif untuk memastikan kehidupan yang lebih baik untuk rakyat.

    Menurut beliau, pihak pembangkang menganggap program-program tersebut tidak wujud sedangkan ia terbukti telah memberi kesan bermakna kepada kehidupan masyarakat di negara ini.

    “Kerajaan dan GLC kita bertaraf dunia dan telah serta akan memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan majlis makan malam sempena Ulang Tahun Ke-50 Kumpulan UEM Berhad di sini malam ini.

    Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz dan Pengerusi Kumpulan UEM, Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali.

    Perdana Menteri berkata, sebagai contoh, inisiatif pemba­ngunan kerajaan telah direa­lisasikan oleh Kumpulan UEM sebagai GLC paling kukuh dengan menyediakan pelbagai kemudahan, membangunkan sektor pendidikan, program latihan dan aktiviti kebajikan.

    Katanya, visi Malaysia bukan sekadar untuk membangunkan projek mega infrastruktur seperti Transit Aliran Ringan (LRT) tetapi apa yang lebih penting adalah bagaimana untuk membantu pelajar menyambung pengajian mereka di peringkat universiti melalui bantuan kewangan.

    Beliau berkata, peniaga-peniaga kecil bumiputera yang mahu melangkah lebih jauh turut dibantu melalui inisiatif yang disokong SME Bank.

    “Kebanyakan inisiatif ini tidak didendangkan atau diraikan tetapi ia merupakan usaha inklusif dan mapan untuk membangunkan negara yang telah diakui oleh Bank Dunia.

    “Sebanyak 1.8 juta pekerjaan telah dicipta melaluinya dan kadar pertumbuhan pendapatan kasar negara meningkat hampir 50 peratus ketika kerajaan memulakan program transformasi negara sejak 2010,” katanya.


    - Utusan Malaysia

    Subjects:

  • No Comment to " PM Selar Pembangkang Reka Cerita Demi Agenda Peribadi "