• Peluang Kedua Guru Gagal Temu Duga

    Published: Wednesday, 15 February 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Seramai 202 guru interim di Sarawak yang gagal dalam sesi temu duga Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP), baru-baru diberi peluang menduduki temu duga kedua Jun ini, sebelum melanjutkan pengajian ke Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) secara separuh masa. 

    Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata semua guru tempatan itu boleh meneruskan tugas di sekolah masing-masing, seiring dengan keputusan kerajaan Sarawak. 

    Katanya, langkah dilaksanakan di Sarawak itu adalah untuk mengatasi masalah kekurangan guru di negeri berkenaan. 

    Bagaimanapun katanya, mereka perlu memiliki kelayakan mencukupi selepas dinilai SPP, sebelum di hantar ke IPGM untuk mengikuti kursus keguruan. 

    "Saya bersetuju guru interim di Sarawak menduduki temu duga kali ke dua dengan pihak SPP sekitar Jun ini, sebelum melanjutkan pengajian di IPGM. 

    "Dalam masa yang sama mereka boleh meneruskan tugas di sekolah masing-masing, seiring dengan keputusan kerajaan negeri Sarawak," katanya dalam entri Facebook rasminya, malam tadi. 

    Sebelum ini, akhbar melaporkan guru yang gagal dalam temu duga itu adalah dalam kalangan yang memiliki ijazah sarjana muda atau diploma bukan dalam bidang pendidikan. - BH

    Subjects:

  • No Comment to " Peluang Kedua Guru Gagal Temu Duga "