• Nurul Izzah Gagal Cabar Inkuiri Persempadanan Semula

    Published: Monday, 13 February 2017
    A- A+
    PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan 10 pengundi berdaftar di kawasan pilihan raya itu tidak boleh mencabar inkuiri tempatan berhubung persempadanan semula yang dicadangkan bagi kawasan parlimen di Kuala Lumpur. 

    Ia berikutan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan kebenaran bagi permohonan semakan semula kehakiman yang didapatkan oleh Nurul Izzah dan 10 yang lain itu daripada Mahkamah Tinggi pada 3 Januari lalu. 

    Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Datuk Umi Kalthum Abdul Majid membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan oleh Peguam Negara dan berpendapat ada merit dalam rayuan itu. 

    Umi Kalthum yang membuat keputusan rayuan bersama Hakim Tan Sri Idrus Harun dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang memberi kebenaran berkenaan kepada Nurul Izzah dan 10 yang lain. 

    Dengan keputusan ini, Mahkamah Tinggi tidak boleh mendengar merit mengenai permohonan semakan kehakiman yang dijadualkan pada 15 Februari ini. 

    Terdahulu, Umi Kalthum menolak bantahan awal dikemukakan Nurul Izzah terhadap rayuan Peguam Negara. Panel itu kemudian mendengar hujah mengenai merit rayuan itu. 

    Peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar mewakili Nurul Izzah Anwar dan 10 pengundi berdaftar manakala Peguam Kanan Persekutuan Datuk Amarjeet Singh bertindak bagi pihak PeguamNegara. 

    Nurul Izzah dan 10 pengundi itu memfailkan permohonan semakan kehakiman itu pada 11 November tahun lalu. 

    Pada 3 Januari lalu mereka mendapat kebenaran daripada Mahkamah Tinggi bagi memulakan semakan kehakiman.

    Tidak puas hati dengan keputusan itu, AG memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan. BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Nurul Izzah Gagal Cabar Inkuiri Persempadanan Semula "