Lesen Hutan Dikeluarkan Melalui Proses Tender



KUCHING: Kerajaan negeri akan memantapkan pengurusan hutan di negeri ini dengan menambah baik prosedur pengeluaran lesen hutan jangka pendek melalui proses tender.

Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, ia bagi memastikan pengeluaran lesen hutan jangka pendek dibuat secara telus.

"Lesen hutan hanya akan dikeluarkan atas tanah kerajaan yang diluluskan untuk pembangunan dan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), Development Area dan Native Communal Reserve yang akan dibangunkan.

"Bagi melaksanakan proses tender ini Jabatan Hutan akan menyediakan dokumen tender yang akan mengandungi antara lain status tanah,lokaliti, anggaran stok dirian dan aksesibiliti," katanya ketika mengadakan sidang akhbar di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia (WBM) di sini, semalam.

Katanya, Jabatan Hutan juga akan membuat anggaran stok dirian yang akan dinilai berdasarkan keluasan kawasan dan kualiti dirian sedia ada bagi menentukan reserved price untuk tender tersebut.

"Iklan tender dibuat melalui suratkhabar tempatan dan laman sesawang Jabatan Hutan.Tarikh tutup sekurang-kurangnya 30 hari dari tarikh iklan," katanya.

Menurutnya, proses tender itu akan dilaksanakan serta-merta bagi pengeluaran lesen hutan atas tanah kerajaan yang akan dibangunkan dan tidak tertakluk kepada sebarang tanah NCR.

"Dalam masa yang sama Jabatan Hutan akan menghalusi mekanisme bagi pengeluaran lesen hutan atas kawasan tanah yang tertakluk kepada NCR dengan mengambil kira kepentingan kawasan yang terlibat.

"Penender yang berjaya masih tertakluk kepada pembayaran royalti, premium dan caj-caj lain berdasarkan jumlah pengeluaran balak mengikut kadar semasa," katanya.

Tambahnya, lesen hutan jangka pendek yang dikeluarkan atas tanah kerajaan yang akan tamat tempoh dalam tahun ini tidak akan diperbaharui melainkan tanah berkenaan diluluskan untuk pembangunan.

"Pengeluaran lesen hutan dalam kawasan berkenaan akan dibuat melalui proses tender," katanya.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA