Lelaki 'Lalok' Hampir Bakar Hotel Di Bintulu


BINTULU: Tindakan seorang lelaki membakar sampah dalam bilik di sebuah hotel terkemuka di pusat bandar lama di sini menggemparkan orang ramai termasuk penghuni serta pengurusan hotel terbabit semalam.

Tindakan lelaki tersebut disedari pengurusan hotel seterusnya memaklumkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Bintulu.

Anggota PDRM Bintulu serta pasukan bomba selepas dimaklum bergegas ke tempat kejadian untuk kerja menyelamat serta menghadapi sebarang kemungkinan kebakaran.

Begitupun keadaan terkawal dan lelaki berusia 31 tahun itu ditahan polis untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Zailanni Amit mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian itu.

“Lelaki terbabit telah membakar sampah dalam bilik hotel terbabit disyaki khayal syabu,” jelasnya di sini semalam.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, Timbalan Penguasa Bomba, Di-Hata Gobel berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 11.17 pagi sekali gus mengerahkan tujuh anggota diketuai PBK II Zulkifli Narawi dengan sebuah jentera Scania, dua anggota bersama EMRS dan tiga anggota bersama Ervan ke tempat kejadian.

Selain anggota terbabit, Di-Hata bersama pegawai kanan bomba lainnya terdiri daripada pegawai zon TPgB Hamdani Madon, PPgB Jerry Jelani dan Timbalan Ketua Balai, PPgB Ishak Amran turut ke tempat kejadian semalam.

“Semasa tiba di lokasi didapati kebakaran hanya melibatkan sampah dinyalakan seorang penghuni hotel tersebut di luar tingkap hotel.

“Begitupun api sampah dibakar telah dipadam penghuni hotel terbabit. Anggota bomba hanya membuat pemantauan dan memberi nasihat kepada penghuni berkenaan,” jelasnya sambil menambah operasi tamat sekitar jam 11.35 pagi.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA