• Lelaki Dikehendaki Polis Tidak Sempat Bebas

    Published: Wednesday, 15 February 2017
    A- A+
    Image may contain: 2 people, people standing

    KOTA KINABALU: Seorang lelaki terpaksa melupakan sementara hasrat untuk meneruskan kehidupan bebasnya.

    Sebaik melangkah keluar dari bangunan Mahkamah Kota Kinabalu, Sabah, sepasukan polis sudah sedia menanti kelibatnya.

    Anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Ibupejabat Daerah Lawas diketuai Inspektor Idrus Hj Arshad menahan lelaki berkenaan yang juga disyaki secara bersama terlibat dalam satu kes pergaduhan di Lawas sehingga menyebabkan kematian mangsa.

    Ketua Polis Daerah Lawas Deputi Superitendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad mengesahkan kejayaan tangkapan suspek berusia 22 tahun, yang juga dikehendaki polis Lawas. Katanya suspek ditahan jam 10.45 pagi semalam di perkarangan mahkamah di Sabah.

    Terdahulu suspek itu berada di bangunan Mahkamah Kota Kinabalu untuk mendengar prosiding kesnya di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Suspek berasal dari Penampang, Sabah itu dikehendaki polis Lawas untuk menyelesaikan satu siasatan kes di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

    Lelaki tersebut bersama tiga lagi lelaki lain termasuk seorang yang dipercayai masih bebas berada di luar negara disyaki terlibat secara bersama menyebabkan kematian seorang mangsa dalam satu pergaduhan di cafe hiburan di Lawas pada tahun 2014.

    Permohonan perintah tahanan reman terhadap lelaki itu dilakukan esok pagi. - DL
  • No Comment to " Lelaki Dikehendaki Polis Tidak Sempat Bebas "