Kerajaan Sedar Masalah Air Di Tanjong Datu



SEMATAN: Kerajaan negeri menyedari masalah bekalan air bersih yang dihadapi rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu.

Menteri Kemudahan Awam dan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawan, Perdagangan dan Pelaburan Sarawak Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerajaan sedar dan tidak menafikan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu menghadapi masalah bekalan air.

“Memang betul kawasan ini menghadapi masalah air, paipnya ada tetapi kadang-kadang bila dibuka paipnya, cuma angin yang keluar,” ujarnya.

Menurutnya, untuk sementara waktu sebagai menangani masalah ini, kerajaan negeri telah pun meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta untuk membolehkan pemasangan paip sementara supaya dapat mengatasi masalah ini.

“Jadi, kita akan melaksanakan pemasangan paip sementara yang memakan belanja RM3 juta dan kita juga telah memanggil Jabatan Bekalan Air Luar Bandar untuk melaksanakan sebagai usaha mengatasi masalah ini,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Kampung Pueh sebentar tadi.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lepas meluluskan peruntukan RM129 juta untuk memasang paip retikulasi, loji air dan pam rangsangan di dua kawasan. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA