• Doktor Pelatih Manja, Ponteng Kerja - PERDIM

    Published: Monday, 13 February 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Ada kalangan doktor pelatih yang terlalu manja sehingga sukar menyesuaikan diri dalam persekitaran kerja di hospital, antara faktor mereka ponteng kerja. 

    Pengerusi Biro Media Persatuan Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Dr Norzaidi Zakaria, berkata masalah ponteng kerja ini biasanya membabitkan doktor pelatih dan jarang berlaku dalam kalangan doktor yang sudah disahkan jawatan. 

    "Kalau ikutkan beban kerja, doktor pelatih sekarang lebih beruntung kerana bekerja tidak lebih daripada lapan jam dan ini berbeza dengan berbanding pegawai perubatan (MO) yang melalui proses latihan yang panjang. 

    "Dengan bebanan yang kurang ini sepatutnya masalah ini tidak berlaku," katanya. 

    Beliau mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, ramai pengamal perubatan di hospital kerajaan yang dibuang kerja kerana ponteng kerja, ada yang sehingga 400 hari. 

    Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr John Chew Chee Ming, berkata adalah menjadi tanggungjawab universiti memilih dan melatih calon yang sesuai untuk menyertai kerjaya perubatan yang sangat mencabar. 

    "Sikap doktor muda ini bukan saja merugikan sumber tenaga negara tetapi pada masa sama memberi risiko kepada pesakit. 

    "MMA sudah menyuarakan kebimbangan mengenainya sejak 10 tahun dan sekarang dapat dilihat kesan daripada kelemahan perancangan serta penswastaan sekolah perubatan. 

    "Saya tidak pasti berapa ramai doktor pelatih yang diberhentikan tetapi isu ini perlu diberi perhatian untuk melindungi pesakit kita," katanya. 

    Ketua Biro Kesihatan ABIM (BKA), Dr Shahrizal Azwan Samsudin, berkata kebanyakan doktor pelatih sekarang tidak boleh bekerja dalam tekanan, termasuk kerja berterusan untuk tempoh yang lama. 

    "Suasana dan beban kerja di hospital juga dipercayai turut menjadi punca tekanan melampau dialami doktor pelatih sehingga ada yang tidak berminat meneruskannya. 

    "Sekarang ini jumlah doktor semakin ramai, tindakan disiplin yang dikenakan juga semakin ketat. 

    Jadi apabila mereka tidak datang bertugas untuk tempoh tertentu mereka akan diberi surat amaran, diikuti surat berhenti kerja. 

    "Keadaan ini berbeza dengan keadaan kira-kira 10 tahun lalu di mana tindakan disiplin tidak seketat sekarang. 

    "Jika dulu, doktor yang bermasalah akan diberi surat amaran terlebih dulu dan perlu melalui beberapa proses sebelum tindakan berhenti kerja diambil," katanya.

    Subjects:

  • No Comment to " Doktor Pelatih Manja, Ponteng Kerja - PERDIM "