• Wanita Jual Tisu Memang OKU Penglihatan Tapi Tak Buta

    Published: Wednesday, 11 January 2017
    A- A+
    Wanita Jual Tisu Memang OKU Penglihatan Tapi Tak Buta
    PENJUAL tisu yang didakwa menyamar sebagai individu buta untuk meminta sedekah, hari ini tampil ke pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru bagi menjelaskan keadaan sebenar.

    Pegawai JKM, Manayi Ibrahim berkata wanita berusia 42 itu datang bersama dua anaknya kira-kira jam 10 pagi.

    “Wanita itu tidak buta tetapi OKU penglihatan tahap B3 (rabun teruk), manakala anaknya juga mengalami masalah penglihatan tahap B2.

    “Dia mengaku menjual tisu di tempat tumpuan ramai termasuk restoran dan memperoleh pendapatan kira-kira RM40 sehari untuk menampung keperluan hidup kerana pendapatan suaminya (warga Indonesia) yang bekerja sebagai buruh tidak cukup,” kata Manayi yang dipetik laporan Harian Metro.

    Menurutnya, wanita itu mengaku mempunyai RM14,000 dalam akaun peribadi, namun RM11,000 daripada wang itu adalah milik beberapa rakan hasil aktiviti sama.

    Hanya RM3,000 miliknya manakala baki milik rakan yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) menjual tisu dan ia akan dikembalikan.

    Ibu kepada dua anak berusia 19 dan 22 tahun itu turut menjelaskan, dia bukan menipu masyarakat seperti yang didakwa kerana dia memang berstatus OKU penglihatan, termasuk dua anaknya.

    JKM akan menyiasat kenyataan wanita itu bagi mengenal pasti kesahihannya.

    Kisah wanita ini tersebar di media sosial selepas ada individu yang mengaku sebagai pekerja sebuah bank dan mendakwa mengenali wanita ini yang selalu masukkan duit kutipan di bank tempat kerjanya. – MYNEWSHUB.CC

    Subjects:

  • No Comment to " Wanita Jual Tisu Memang OKU Penglihatan Tapi Tak Buta "