• UAE Labur AS$163b Untuk Pelbagaikan Sumber Tenaga

    Published: Wednesday, 11 January 2017
    A- A+
    Image result for Dubai
    DUBAI: Emiriah Arab Bersatu (UAE) merancang melabur 600 bilion dirham (AS$163 bilion) dalam projek untuk menjana hampir separuh keperluan tenaga negara itu daripada tenaga boleh diperbaharui. 

    "Sasaran kami adalah untuk mengimbangi keperluan ekonomi dengan matlamat alam sekitar," menurut Perdana Menterinya, Sheikh Mohammed Rashid al-Maktoum menerusi Twitter, selepas negara teluk itu melancarkan "Strategi Tenaga 2050". 

    UAE, iaitu pengeksport minyak utama, mengambil langkah untuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil kepada penjanaan kuasa, termasuk membina kemudahan nuklear. 

    Campuran penggunaan tenaga negara berkenaan menjelang tahun 2050, terdiri daripada 44 peratus tenaga boleh diperbaharui, 38 peratus daripada gas, 12 peratus daripada bahan bakar fosil dan enam peratus daripada tenaga nuklear, menurut Sheikh Mohammed. 

    Sheikh Mohammed juga adalah Naib Presiden UAE dan pemerintah Dubai.

    "Rancangan berkenaan bertujuan meningkatkan kecekapan penggunaan sebanyak 40 peratus dan menambah sumbangan tenaga boleh diperbaharui kepada 50 peratus," katanya. 

    Pada Jun tahun lalu, Dubai mengumumkan rancangan untuk membina loji kuasa solar 1,000 megawatt pada tahun 2030, bertujuan untuk beralih kepada penggunaan tenaga boleh diperbaharui yang mana 25 peratus bagi keperluan elektrik. 

    Pada 2014, Abu Dhabi membuka kilang kuasa solar terbesar dunia, yang mampu menyediakan bekalan elektrik kepada 20,000 kediaman.

    Firma di Korea Selatan juga membina empat reaktor nuklear di Abu Dhabi Barat, yang dijangka mampu menjana 1,400 megawatt pada tahun 2020. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " UAE Labur AS$163b Untuk Pelbagaikan Sumber Tenaga "