Tiga Wanita Diberkas Di Hotel Bajet Miri Terlibat Dadah


MIRI: Tiga wanita disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah berjaya diberkas hasil serbuan polis ke sebuah hotel bajet di Taman Jade Manis, Jalan Bendahara di sini malam kelmarin.

Justeru, ketiga-tiga suspek berusia 37, 36 dan 22 tahun kemudian dibawa ke Balai Polis Pusat Miri bagi tindakan lanjut.

Terdahulu, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri diketuai Sub Inspektor Bakar Drahman membuat serbuan kedua-dua bilik di sebuah hotel bajet terletak di Taman Jade Manis, Jalan Bendahara di sini.

Dalam serbuan jam 7.30 dan 7.50 malam itu, polis menahan tiga wanita untuk tujuan pemeriksaan kerana disyaki terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah.

Hasil pemeriksaan di dalam dua bilik itu tiada menjumpai apa-apa barang menyalahi undang-undang.

Ketiga-tiga suspek kemudian dibawa ke pejabat BSJND Miri menjalani ujian saringan awal air kencing. Hasil ujian mendapati kesemua mereka positif dadah jenis Amphetamine.

Berikutan itu, tiga wanita terbabit telah ditangkap untuk disoal siasat lanjut mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana menggunakan dadah tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Manakala hasil siasatan awal polis mendapati suspek kedua mempunyai enam rekod kesalahan lampau membabitkan kes penyalahgunaan dadah dan suspek ketiga turut mempunyai satu rekod kesalahan lampau berkaitan kes sama.

Sementara suspek pertama tiada sebarang rekod kesalahan lampau.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA