• Sarawak Berkabung 7 Hari Hormati Pemergian Adenan

    Published: Wednesday, 11 January 2017
    A- A+


    KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak telah mengumumkan tempoh berkabung selama 7 hari dan bendera negeri dikibarkan separuh tiang bagi menghormati pemergian Ketua Menteri, Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

    Timbalan Ketua Menteri, Datuk Abang Johari Tun Openg, berkata Kerajaan Negeri Sarawak telah mengumumkan semua aturcara negeri yang telah dirancang dalam tempoh tersebut akan ditangguhkan.

    Beliau menyifatkan kehilangan Adenan sebagai kehilangan besar kepada Sarawak.

    “Allahyarham merupakan seorang pemimpin yang sangat dihormati dan banyak berjasa,”ujarnya.

    Beliau berkata majlis pengembumian akan diadakan esok hari.

    “Jenazah akan dibawa ke Masjid Jamek Kuching pada jam 10.00 pagi esok untuk disembahyangkan.

    “Manakala, upacara penghormatan terakhir oleh orang-orang kenamaan dan rakyat akan bermula jam 10.30 sehingga zohor," katanya pada sidang media di sini sebentar tadi.

    Tambahnya, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang selepas solat zohor.

    Kerajaan negeri turut mengumumkan hari kelepasan am bagi negeri Sarawak sebagai memberi peluang kepada rakyat untuk memberi penghormatan terakhir.

    Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Douglas Uggah Embas dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Morshidi Abdul Ghani. – Sarawakiana

  • No Comment to " Sarawak Berkabung 7 Hari Hormati Pemergian Adenan "