• Sambutan Meriah Nanti Kepulangan Faiz Malam Esok

    Published: Tuesday, 10 January 2017
    A- A+
    KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) akan menyambut kepulangan Mohd Faiz Subri yang memenangi Anugerah Puskas FIFA 2016 sebagai wira.

    Pengurus pasukan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata pihaknya juga sedia mempertimbangkan untuk mengadakan perarakan di seluruh negeri sempena kemenangan bersejarah Mohd Faiz merangkul anugerah berprestij itu di Zurich, Switzerland awal pagi ini.

    Menurutnya, FAP juga akan turut berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang bagi menyambut kepulangan Mohd Faiz yang dijangka tiba pada pukul 7 malam esok.

    Zairil berkata berdasarkan pencapaian Mohd Faiz yang cukup besar pada negara, kemungkinan besar majlis sambutan beliau tidak berakhir di lapangan terbang itu sahaja.

    “Saya rasa dari segi sambutan, perarakan di seluruh Pulau Pinang akan dipertimbangkan. Sudah tentu kami akan menyambut beliau dengan penuh rasa bangga,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Mohd Faiz, 29, menerima pengiktirafan terbaik dalam kariernya selepas membuat jaringan paling cantik sepanjang 2016, hasil keunikan sepakan percuma ketika membantu Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 16 Februari lepas.

    Beliau juga mencipta sejarah sebagai pemain Asia pertama menerima pengiktirafan itu sempena nama legenda bola sepak Hungary, Ferenc Puskas, yang menikmati kejayaan hebat bersama kelab Real Madrid pada 1950-an dan 60-an serta bersama pasukan kebangsaan negaranya.

    Mohd Faiz mengetepikan dua lagi finalis, Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan pemain wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez untuk meraih anugerah yang julung kali dimenangi Ronaldo pada 2009.

    Sebelum muncul sebagai tiga finalis penjaring gol tercantik dunia, Mohd Faiz turut mengenepikan saingan daripada pemain terkemuka dunia seperti Lionel Messi dari Argentina dan Neymar dari Brazil. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Sambutan Meriah Nanti Kepulangan Faiz Malam Esok "