Projek Berbilion Ringgit Sedia Direbut Kontraktor Sepanjang 2017



KUALA LUMPUR: Projek-projek mega bernilai berbilion ringgit menanti untuk direbut oleh para kontraktor sepanjang tahun ini terutama melibatkan pembangunan Greater KL dan projek gergasi, Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang diumumkan dalam Bajet 2017 lalu.

Pembangunan Greater KL dijangka menjana kontrak pembinaan bernilai RM138 bilion, manakala ECRL RM55 bilion bakal memberi manfaat kepada kontraktor tempatan walaupun projek berkenaan diterajui China Communications Construction Company (CCCC).

Selain itu, terdapat peruntukan RM4.8 bilion bagi kontrak projek MRT2 yang akan dianugerahkan pada separuh pertama tahun ini dan LRT3 sepanjang 37 kilometer melibatkan kos berjumlah RM9 bilion daripada Bandar Utama ke Klang.

Penganalisis HLIB Research, Jeremy Goh berkata, terdapat beberapa pembangunan utama sedang dilaksanakan di Greater KL dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM275 bilion melibatkan kawasan seluas 1357.72 hektar meliputi Tun Razak Exchange (TRX), Warisan Merdeka, Bukit Bintang City Centre (BBCC), Bandar Malaysia, Kwasa Damansara dan Cyberjaya City Centre (CCC).

Katanya, kebanyakan pemba­ngunan itu membabitkan penyertaan kerajaan sama ada sebagai pemaju utama secara langsung atau tidak langsung menerusi entitinya seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

“Kami menjangkakan terdapat beberapa insentif akan diberikan misalnya insentif cukai bagi memastikan kejayaan projek ini. Dengan mengambil kira kos pembinaan adalah 50 peratus daripada GDV, pembangunan Greater KL menawarkan potensi nilai kontrak RM138 bilion untuk direbut kontraktor,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Kerajaan memperuntukkan jumlah yang besar sebanyak RM260 bilion di bawah Rancang­an Malaysia Ke-11 (RMK-11) berbanding RM230 bilion di bawah RMK-10 kerana ia merupakan tempoh yang amat penting kepada Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi pada 2020.

Pada tahun ini, sebanyak RM46 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan berbanding RM45 bilion tahun lalu.

Sebanyak RM56.4 bilion projek telah diberikan kepada kontraktor tahun lalu, berbanding RM28 bilion projek yang diagihkan pada 2012. Kebanyakan projek itu menerusi projek Transit Aliran Massa (MRT), terutama MRT2 iaitu RM24.3 bilion, selebihnya Lebuh Raya Pan Borneo (RM10 bilion) dan lebuh raya utama (RM7.6 bilion).

Menurut Goh, dijana dengan pelbagai projek di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP), pertumbuhan sektor pembinaan pada 2016 berkembang 8.1 peratus dan dijangka kekal stabil sekitar 10 pe­ratus tahun ini.

“Berdasarkan asas pencapaian yang tinggi pada 2016, aliran kontrak tahun ini dijangka pulih berikutan terdapat beberapa pakej telah diagihkan seperti MRT2 dan Pan Borneo Sarawak serta projek mega yang dijadualkan tahun ini seperti LRT3.

“Kami menjangkakan aliran kontrak domestik kepada syarikat kontraktor tersenarai pada tahun ini berjumlah RM25 bilion, berbanding 2012 (RM28 bilion) dan 2015 (RM22 bilion), secara dasarnya masih kukuh dari segi aliran kontrak,” katanya.- Utusan Malaysia

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA