• Pemain Muda Sarawak Akan Mendapat Layanan Sama

    Published: Wednesday, 11 January 2017
    A- A+

    KUCHING: Bagi memastikan Sarawak terus melahirkan pemain muda berkaliber, Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) akan terus memberi penekanan yang lebih jitu kepada pembangunan pemain Piala Belia dan Piala Presiden.

    Malah, Presiden FAS Datuk Posa Majais mahu pasukan Piala Belia dan Piala Presiden diberi perhatian sewajarnya sama seperti skuad senior.

    Menurutnya, usaha tersebut penting untuk memastikan dua pasukan pelapis itu tidak ketandusan pemain tempatan memandangkan FAS kini lebih memberi penekanan kepada pemain tempatan.

    "Sudah pasti perubahan secara menyeluruh diperlukan melibatkan pasukan belia dan Piala Presiden kerana dua pasukan ini merupakan pelapis kepada skuad senior," katanya.

    Komitmen jitu FAS dalam memantapkan pasukan pelapis katanya dapat dilihat dengan FAS lebih memberi perhatian kepada pemain tempatan untuk mewakili Sarawak dalam kancah Liga Super akan datang.

    Buat masa ini Posa berpuas hati dengan pasukan Piala Presiden kerana beberapa pemain menampilkan prestasi cemerlang ketika mewakili skuad senior sebelum ini.

    "Sebenarnya kita ada ramai pemain remaja yang menyinar dan peluang perlu terus diberikan kepada mereka untuk bertanding dalam kejohanan kompetetif," ujarnya.

    Sehubungan itu, beliau berharap ketua jurulatih Piala Presiden, S Veloo mencari jalan untuk menggembalikan kegemilangan Sarawak pada kejohanan Piala Presiden.-Sarawakiana

    Subjects:

  • No Comment to " Pemain Muda Sarawak Akan Mendapat Layanan Sama "