• Kuota Haji: Najib Ucap Terima Kasih

    Published: Wednesday, 11 January 2017
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini melahirkan rasa syukur dengan keputusan kerajaan Arab Saudi yang menarik balik pengurangan kuota jemaah haji yang dilaksanakan sejak tahun 2013. 

    Perdana Menteri berkata, perkembangan terkini itu menyaksikan kuota jemaah haji negara ini kembali kepada jumlah asal sebanyak 27,800 jemaah berbanding 22,320 sebelum ini. 

    Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi yang mengembalikan semula kuota asal haji berikutan selesai kerja-kerja pembesaran Masjidil Haram. 

    "Syukur Alhamdulillah, bermula tahun ini, kuota haji buat Malaysia kembali kepada jumlah asal sebanyak 27,800 berbanding 22,320 sebelum ini. 

    "Terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi yang memberi semula kuota haji berikutan selesai pembinaan infrastruktur buat keselesaan jemaah di Makkah," katanya dalam entri terbaru di media sosial rasmi Perdana Menteri hari ini. 

    Jumaat lalu, agensi media luar negara melaporkan Arab Saudi memutuskan untuk menarik balik pengurangan kuota jemaah haji yang dikenakan lima tahun lalu, bermula tahun ini. 

    Pihak berkuasa tertinggi meluluskan cadangan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Haji, Putera Mahkota Muhammad Bin Naif, untuk menguatkuasa semula kuota haji kedua-dua jemaah tempatan dan asing yang wujud sebelum pengurangan diperkenalkan.

    Subjects:

  • No Comment to " Kuota Haji: Najib Ucap Terima Kasih "