Kerajaan Melaka Ucap Takziah Atas Pemergian Adenan


MELAKA: Kerajaan negeri Melaka merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem atas pemergiannya akibat komplikasi jantung hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata kerajaan negeri dan seluruh rakyat negeri Melaka mendoakan Allahyarham digolongkan dalam kalangan orang yang beriman dan dicucuri rahmat.

“Seluruh rakyat negeri ini merakamkan takziah kepada keluarga allahyarham dan Puan Sri Jamilah Anu serta seluruh rakyat Sarawak atas pemergian Allahyarham ke rahmatullah.

“Kepada seluruh rakan-rakan menteri dan juga ahli yang berhormat di peringkat negeri Sarawak, saya pohon kekuatan dan kesabaran. Garapkan kerjasama dan teruskan misi perjuangan yang telah digagaskan oleh Allahyarham,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Beliau berkata Allahyarham merupakan seorang pemimpin yang banyak menyumbang tenaga baktinya bukan sahaja di peringkat negeri, bahkan di peringkat persekutuan.

Katanya negara turut kehilangan seorang pemimpin yang berwibawa dan ketua parti yang cukup gigih dalam memastikan kejayaan parti pada pilihan raya negeri Sarawak tahun lepas.

Adenan, 72, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 1.20 tengah hari di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan, Kuching berikutan komplikasi jantung yang dialaminya. – BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA