• Kerajaan Galak Golongan Muda Ceburi Kerjaya Pemandu Bas Ekspres

    Published: Wednesday, 11 January 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Kerajaan menggalakkan lebih ramai golongan muda menceburi kerjaya sebagai pemandu bas ekspres, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri.

    Beliau berkata ini kerana majoriti pemandu bas ekspres di negara ini adalah golongan berusia dengan purata umur 40 tahun dan ke atas.

    "Belum ada had (umur) untuk pemandu, saya terkejut ada yang sebut mengenai had umur kerana saya tak pernah nyatakan perkara itu," katanya kepada pemberita selepas melawat Kompleks Rapid Bus Cheras Selatan dekat sini, pada Selasa.

    Katanya seruan itu adalah susulan dakwaan orang ramai bahawa terdapat syarikat bas yang menggajikan pemandu yang telah berusia dan berkemungkinan agak sukar untuk mereka memandu bagi perjalanan jauh.

    Dalam pada itu, Nancy berkata beliau melihat yuran untuk mendapatkan lesen pemandu bas adalah tinggi dan ini menyebabkan golongan muda tidak berminat untuk menjadi pemandu bas.

    "Apa yang tidak menggalakkan orang muda untuk menjadi pemandu bas ialah kos untuk mendapatkan lesen sekitar RM2,000... Mungkin kita boleh kurangkan yuran atau menggabungkan yuran itu ke dalam latihan mereka sebagai pemandu bas," katanya.

    Beliau berkata perkara tersebut akan dibincangkan semasa Makmal Bas yang bakal berlangsung pada pertengahan bulan hadapan.

    Makmal itu akan dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dengan kerjasama pakar, agensi berkaitan dan pihak berkepentingan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan, keselamatan serta kemampanan industri bas.

    Nancy berkata antara perkara yang akan dibincangkan selain had umur ialah kadar tambang bas dan pemasangan peranti had laju di dalam bas.

    Turut hadir semasa lawatan itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad Datuk Seri Azmi Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd Zulkifli Mohd Yusoff.- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Kerajaan Galak Golongan Muda Ceburi Kerjaya Pemandu Bas Ekspres "