Harga Minyak Naik, Susulan Harapan Pemotongan Pengeluaran OPEC

Image result for OPEC
SINGAPURA: Harga minyak kembali meningkat susulan harapan sebahagian pemotongan pengeluaran yang dirancang oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan pengeluar lain akan dilaksanakan. 

Niaga hadapan minyak mentah Brent, penanda aras antarabangsa bagi harga minyak berada pada AS$55.20 setong menjelang 0827 GMT, menokok 25 cents, atau 0.45 peratus berbanding penutup sebelumnya. 

Niaga hadapan minyak mentah Amerika Syarikat (AS), West Texas Intermediate (WTI) berada pada AS$52.222 satu tong, menokok 26 cents atau 0.5 peratus. 

Penganalisis berkata, kenaikan berlaku daripada jangkaan bahawa sebahagian daripada rancangan pemotongan pengeluaran oleh OPEC, khususnya Arab Saudi dan Abu Dhabi akan menjadi kenyataan walaupun terdapat keraguan mengenai pelaksanaan penuhnya. 

"Kenyataan terbaharu daripada anggota OPEC...membayangkan bahawa mereka sedang melakukan pelarasan output bagi memenuhi perjanjian pemotongan," kata bank Belanda, ING. 

"Pemotongan pengeluaran secara tersusun akan menyokong penyeimbangan semula pasaran yang bakal mengurangkan paras simpanan global, membolehkan kami menyemak semula unjuran minyak mentah Brent bagi 2017 kepada AS$57 satu tong," kata BMI Research. 

Peniaga berkata, permintaan kukuh dari India turut menyokong harga. Permintaan bahan api daripada pengguna ketiga terbesar dunia itu mencecah 16.53 juta tan pada Disember, meningkat 4.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. - REUTERS

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA