• Harga Getah Terus Kukuh

    Published: Tuesday, 10 January 2017
    A- A+
    Image result for Getah
    KUALA LUMPUR: Harga getah di pasaran tempatan dan global dijangka terus kekal tinggi tahun ini, disokong permintaan tinggi dari China serta bekalan yang terhad di negara pengeluar utama ekoran faktor cuaca. 

    Ketika ini, bencana banjir di selatan Thailand juga mengehadkan bekalan getah yang mana secara langsung mendorong harga getah untuk terus melonjak. 

    Di pasaran getah tempatan, harga bagi gred Standard Malaysia Rubber (SMR) 20, yang digunakan dalam pelbagai industri berasaskan getah, terutama pembuatan tayar itu terus mengukuh dengan kekal berada di atas paras RM9 sekilogram.

    Pada tengah hari semalam, harga fizikal rasmi Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 melonjak 25 sen kepada RM9.30 sekilogram, manakala lateks pukal naik tiga sen kepada RM6.52 sekilogram. 

    Pada jam 5 petang, harga penutup tidak rasmi SMR 20 melonjak 32.5 sen kepada RM9.52 sekilogram, sementara lateks pukal naik RM3.5 kepada RM6.53 sekilogram. 

    Menurut MIDF Research, harga getah akan terus disokong oleh permintaan dari China yang kukuh berikutan cukai pembelian kenderaan di ekonomi kedua terbesar dunia itu masih rendah di bawah 10 peratus. 

    Firma penyelidikan itu berkata, permintaan kenderaan di China yang tinggi secara langsung akan melonjakkan permintaan untuk membuat tayar kereta dan pada masa sama meningkatkan harga getah. 

    "Kadar permintaan kenderaan di China telah meningkat tahun lalu setelah kerajaan China menurunkan cukai pembelian kenderaan dengan kapasiti enjin 1.6 liter kepada lima peratus berbanding 10 peratus sebelum itu. 

    "Walaupun kerajaan China telah menaikkan kadar cukai pembelian kenderaan kepada 7.5 peratus tahun ini berbanding lima peratus pada tahun lalu, kadar permintaan dianggarkan akan tetap di paras yang tinggi kerana cukai pembelian masih di bawah 10 peratus," katanya. 

    Sementara itu, MIDF Research menyatakan, lazimnya harga getah akan dijual mengikut mata wang negara di mana komoditi itu dijual seperti dalam ringgit, rupiah atau baht. 

    Ia menjelaskan, berikutan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS), harga getah juga turut meningkat bagi mengurangkan perbezaan harga jualan menggunakan mata wang domestik dan antarabangsa. 

    Namun begitu, MIDF Research melihat aliran meningkat harga getah ketika ini adalah bersifat sementara. 

    Firma penyelidik itu berpendapat, harga getah akan tetap dijual-beli pada lingkungan kadar RM5-RM7 sekilogram tahun ini. 

    Info 

    * Malaysia, Thailand dan Indonesia adalah pengeluar getah asli utama dunia. 
    * Pergerakan harga getah asli dipengaruhi oleh penawaran dan permintaan pada pasaran antarabangsa. 
    * Hampir 70 peratus getah di dunia digunakan dalam industri pembuatan tayar.

    Subjects:

  • No Comment to " Harga Getah Terus Kukuh "