Disambut Bagai Lagenda Bola Sepak Dunia


SEPANG: Bagaikan bertemu lagenda bola sepak dunia, itu yang boleh digambarkan mengenai suasana di tingkat lima, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada petang ini.

Lebih daripada 500 hadirin yang terdiri daripada peminat bola sepak tanah air membanjir ruang legar balai pelepasan bagi menyambut ketibaan pemenangan Anugerah Puskas FIFA 2016, Mohd Faiz Subri.

Beliau yang ditemani keluarga bersama Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Afandi Hamzah disambut dengan tepukan gemuruh sejurus pesawat Emirates, EK346 selamat mendarat di KLIA kira-kira 3.15 petang.

Mereka bertolak dari Zurich, Switzerland dengan menggunakan pesawat Emirates, EK88 pada pukul 2.35 petang waktu tempatan dan transit terlebih dahulu di Dubai sebelum tiba di sini.

Pemain berusia 29 tahun itu kemudian disambut dengan pelukan erat daripada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bersama beberapa anggota FAM sebelum menuju ke bilik VIP KLIA bagi mengadakan sidang media khas.

Keadaan kemudian menjadi sedikit gamat apabila Mohd Faiz yang pada ketika itu diiringi KJ bersama anggota polis dihujani ramai wartawan dan jurugambar.

Selesai sindang media di Bilik VIP, Mohd Faiz kemudian terus diarak ke ruang legar tingkat 5 KLIA yang mana menyaksikan para hadirin yang telah setia menunggu sejak pukul 2 petang lagi bersorak sejurus melihat pemenang Anugerah Puskas itu.

Kejayaan Mohd. Faiz mengharumkan nama negara turut mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) yang menyampaikan anugerah sebagai rakyat Malaysia pertama menerima anugerah FIFA.

Mohd. Faiz bersama keluarganya kemudiannya bertolak ke Pulau Pinang dengan menggunakan pesawat Malaysia Airlines, MH1162 pada pukul 7 malam dan dijangka tiba pada pukul 7.55 malam hari ini. -MYNEWSHUB.CC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA