• Dimana Tanah Adat Masyarakat Melanau & Melayu?

    Published: Wednesday, 11 January 2017
    A- A+

    KUCHING: "Apakah orang Melanau Melayu Sarawak tidak ada tanah adat, di mana kawasan nenek moyang mencari rezeki jauh di tengah hutan dan belayar jauh di tengah lautan?

    "Kalau ada, kita juga mahu menuntut tanah hingga ke tengah hutan belantara tempat menangkap payau dan menuntut kawasan laut hingga sejauh mata memandang tempat pelayaran lama mencari rezeki," luah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng Dr Juanda Jaya ketika memuatnaik status dalam Facebook hari ini.

    Beliau mahu masyarakat meneliti dengan penuh positif kenyataan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing.

    Menurut Dr Juanda, antara kenyataan James yang patut diberi perhatian adalah terdapat komuniti lain selain Dayak yang tinggal di Sarawak sebab itu ia mesti ada batas sempadan.

    James dipetik sebagai berkata, Kanun Tanah Negeri perlu dipinda bagi membolehkan kuasa undang-undang menentukan definisi ‘Pemakai Menua’ dan ‘Pulau Galau’ tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

    Jelasnya, cadangan pindaan Kanun Tanah Negeri akan dikemukakan kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada mesyuarat kabinet negeri akan datang.

    “Kanun Tanah Negeri mesti dipinda, dengan itu definisi ‘Pemakai Menua’ dan ‘Pulau Galau’ termasuk ‘Temuda’ ditentukan oleh undang-undang.

    “(Hakikatnya) ‘Pemakai Menua’, ‘Pulau Galau’ dan ‘Temuda’ didefinisikan oleh undang-undang adat tetapi keputusan Mahkamah (Persekutuan) mengatakan hak-hak adat ke atas kawasan ini tidak mempunyai kuasa undang-undang,” jelasnya James.

    Masing yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan dan presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) berkata umum sedia maklum mana-mana tanah dibersihkan sebelum Januari 1958 adalah ‘Temuda’ atau tanah NCR .

    “Saya setuju tradisi ‘Pemakai Menua’ ialah ‘dunia’ Dayak memburu, mencari hasil hutan dan memancing, itu keperluan mereka tetapi mesti ada batas sempadan.

    “Jika tiada garis pemisah antara ‘Pemakai Menua’ perebutan antara rumah panjang akan berlaku dan jika masalah ini tidak diselesaikan perbalahan ini akan berpanjangan melibatkan rakyat dengan kerajaan,” katanya.

    Justeru tegas beliau, satu definisi amat perlu dan ia akan ditentukan oleh kerajaan.

    “Itu adalah pandangan saya dan saya percaya PRS akan menyokong penuh pandangan ini.

    “Pada pandangan saya untuk menyelesaikan masalah ini khususnya ‘Pemakai Menua’ janganlah kita terlalu ‘berteraskan’ Dayak,” katanya.-Sarawakiana


  • No Comment to " Dimana Tanah Adat Masyarakat Melanau & Melayu? "