• Adenan Satem Ahli Politik Melayu-Melanau Yang Dikagumi

    Published: Wednesday, 11 January 2017
    A- A+

    BELASUNGKAWA

    ALLAHYARHAM Tan Sri Adenan Satem (27 Januari 1944-11 Januari 2017) ialah seorang ahli politik Melayu-Melanau di Sarawak. Beliau dinobatkan sebagai juara dalam perdebatan mengenai Tanah Adat di Sarawak pada akhir 1980-an dan 1990-an, sehingga beliau dikatakan sebagai seorang tokoh politik yang cukup hebat dalam Kabinet negeri pada masa itu.

    Bapa kepada lima orang anak ini mempunyai rekod yang cemerlang dalam politik dengan memenangi semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang pernah ditandinginya sejak 1979. Beliau mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak Ke-5 pada 28 Februari 2014 menggantikan Tun Abdul Taib Mahmud yang melepaskan jawatan itu dan menamakan Allahyarham sebagai pengganti.

    Dalam pemilihan Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) tahun 2002, beliau bersama-sama Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari bertanding untuk merebut jawatan Timbalan Presiden Parti.

    Bagaimanapun nasib tidak menyebelahi beliau apabila tewas di tangan Abang Zohari, seterusnya dilantik sebagai Naib Presiden Kanan Parti oleh Majlis Tertinggi, sesuatu yang janggal di dalam parti sejak 30 tahun penubuhannya.

    Kepimpinan beliau dalam PBB amat ketara sehingga ada desas-desus mengatakan bahawa beliau bakal menggantikan Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baharu.

    Pada Pilihan Raya Umum 2004, beliau diarah Abdul Taib menggantikan Sukinam Domo di Parlimen Batang Sadong, beliau menang besar dan dilantik sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia, suatu jawatan yang tidak asing bagi menteri yang berasal dari Sarawak.

    Namun pada Februari 2006, rombakan Kabinet Persekutuan diadakan dan beliau tidak disenaraikan. Alasan Perdana Menteri, Adenan sendiri meminta supaya beliau tidak dinamakan sebagai menteri. Alasan lain ialah untuk memberi tumpuan di dalam pilihan raya negeri yang berlangsung pada Mei 2006.

    Episod Adenan dan kepemimpinan serta politik negeri Sarawak amat sunyi sehinggalah selepas Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-9 pada 2006 beliau tidak dilantik semula ke Kabinet negeri.

    Untuk rekod, dalam Pilihan Raya Negeri ke-9 pada 2006 itu, beliau ditukarkan ke kerusi Tanjung Datu dan kerusi lama beliau bertukar tangan kepada calon baharu, Datuk Sri Muhammad Ali Mahmud, iaitu adik kandung Ketua Menteri sendiri.

    Adenan sekali lagi menang di kawasan baharunya dengan mendapat majoriti undi yang tinggi dan mengalahkan dua pencabarnya, calon Bebas dan calon PKR dengan majoriti 4,136 undi.

    Pada Februari 2007, beliau melepaskan jawatan Naib Presiden PBB. Namun, beliau dilantik semula menjadi Ketua Penerangan PBB, berkuatkuasa 4 Mac 2007, sekali gus menamatkan desas-desus yang beliau akan mengundurkan diri daripada arena politik.

    Dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 2011, beliau menewaskan calon Bebas, Gilbert Asson anak Kulong dan calon PAS, Nani Sahari .

    Beliau berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Tanjung Datu dengan majoriti 5,892 undi dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 pada Mei tahun lalu dan dilantik semula sebagai Ketua Menteri Sarawak.

    Adenan atau lebih dikenali sebagai Tok Nan atau CM Nan dalam kalangan rakyat Sarawak, menghembuskan nafas terakhir pada 11 Januari 2017 di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak.


    Info Tan Sri Adenan Satem

    Tarikh Lahir: 27 Januari 1944
    Tempat: Kuching, Sarawak

    Ketua Menteri Sarawak Kelima
    Tempoh jawatan: 28 Februari 2014 -11 Januari 2017

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu
    Tempoh jawatan: 2011-2017
    Majoriti: 3,216 (2011)

    Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak
    Tempoh jawatan: 2014-2017

    -BH

  • No Comment to " Adenan Satem Ahli Politik Melayu-Melanau Yang Dikagumi "