• 2 Jambatan Runtuh, Sempadan Thailand Terputus

    Published: Wednesday, 11 January 2017
    A- A+

    SURAT THANI, THAILAND: Laluan darat yang menghubungkan selatan Thailand terputus semalam selepas dua jambatan di lebuh raya utama runtuh akibat banjir besar yang melanda wilayah itu.

    Hujan lebat yang dianggap terburuk dalam tempoh 30 tahun itu menyebabkan banjir besar yang ketika ini sudah meragut sekurang-kurangnya 25 nyawa termasuk seorang kanak-kanak berusia lima tahun.

    Sebanyak 11 wilayah di selatan Thailand dilanda banjir sejak lebih seminggu lalu, menyebabkan 1.1 juta penduduk terjejas.

    Bencana itu juga turut menjejaskan industri pelancongan ketika musim puncak termasuk beberapa resort di Samui dan Phangan.

    Pagi semalam, lebuh raya utama menuju ke selatan Thailand terpaksa ditutup di wilayah Prachuab Kiri Khan.

    “Kami tidak membenarkan semua kenderaan melalui jalan ini selepas dua jambatan di Lebuh Raya 4 runtuh,” kata seorang jurucakap Jabatan Lebuh Raya Thailand.

    Perkhidmatan kereta api juga dihentikan selepas landasan ditenggelami air menyebabkan penerbangan menjadi satu-satunya bentuk perhubungan yang masih boleh digunakan.

    Jumlah kematian juga semakin meningkat apabila paras air semakin tinggi dengan beberapa kawasan, banjir sudah melepasi bumbung kediaman.

    Seorang budak perempuan berusia lima tahun menjadi mangsa terbaru bencana itu apabila van yang dinaikinya lewat kelmarin di wilayah Prachuab terperangkap dalam banjir.

    “Mangsa dan ahli keluarganya memanjat bumbung van untuk menyelamatkan diri tetapi dia terjatuh bersama ibunya.

    “Kanak-kanak itu dihanyutkan arus tetapi ibunya terselamat. Mayat mangsa ditemui pagi ini (semalam) kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian,” kata pekerja bantuan, Rawiroj Thammee.-AFP

    Subjects:

  • No Comment to " 2 Jambatan Runtuh, Sempadan Thailand Terputus "