Browsing "Older Posts"

  • Harga Minyak Disember 2016 Turun 5 Sen

    By Dayyan Mikhail → Wednesday, 30 November 2016

    HARGA jualan runcit minyak petrol RON95 dan RON97 serta diesel untuk Disember 2016 di seluruh negara masing-masing diturunkan lima sen, menurut sumber pelbagai pihak.

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memaklumkan bahawa notis pemberitahuan perubahan harga petrol dan diesel hanya dimaklumkan kepada pengusaha stesen minyak pada setiap hujung bulan

    Sumber memaklumkan bahawa berkuat kuasa mulai dari pukul 12.01 tengah malam pada Khamis, 1 Disember 2016, harga bahan bakar tersebut adalah ditetapkan seperti berikut:

    RON95 : Turun 5 sen ke RM1.90 seliter : (RM1.95 seliter)
    RON97 : Turun 5 sen ke RM2.25 seliter : (RM2.30 seliter)
    DIESEL : Turun 5 sen ke RM1.85 seliter : (RM1.90 seliter)
    EURO 5: Turun 5 sen ke RM1.95 seliter (RM2.00 seliter)

    Nota: Harga dalam kurungan ( ) adalah rujukan harga bulan November 2016.

    Berikut adalah rujukan harga minyak petrol dan diesel untuk beberapa bulan terakhir berdasarkan kepada sistem apungan terurus yang diperkenalkan pada bulan Disember 2014.

    November 2016

    RON95 : RM1.95 seliter
    RON97 : RM2.30 seliter termasuk GST
    DIESEL : RM1.90 seliter
    EURO 5 : RM2.00 seliter

    Oktober 2016

    RON95 : RM1.80 seliter
    RON97 : RM2.15 seliter termasuk GST
    DIESEL : RM1.75 seliter
    EURO 5 : RM1.85 seliter

    September 2016

    RON95 : RM1.70 seliter
    RON97 : RM2.05 seliter termasuk GST
    DIESEL : RM1.70 seliter
    EURO 5 : RM1.80 seliter

    Ogos 2016

    RON95 : RM1.75 seliter
    RON97 : RM2.10 seliter termasuk GST
    DIESEL : RM1.70 seliter
    EURO 5 : RM1.80 seliter

    — Agensi/Mynewshub.cc/HAA
  • Binaan Runtuh: 1 Maut, 3 Parah, 6 Terperangkap

    By Dayyan Mikhail →

    KUALA LUMPUR: Seorang pekerja maut, tiga parah manakala enam mangsa terperangkap di bawah runtuhan konkrit di tapak pembinaan di KL Eco City, berhampiran Kampung Haji Abdullah Hukum, petang tadi.

    Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata seramai 23 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah, Pantai dan Seputeh terbabit dalam operasi menyelamat di lokasi kejadian.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 3.33 petang itu, binaan konkrit setinggi bangunan dua tingkat runtuh dan setakat ini dipercayai lima hingga enam pekerja dipercayai terperangkap.

    Anggota bomba masih meneruskan usaha untuk menyelamatkan beberapa mangsa sementara pihaknya mengesahkan tiga pekerja binaan kriktikal dan seorang cedera.-mynewshub

  • Kebakaran Hutan Israel Akan Jadi Lebih Buruk – Pakar

    By Dayyan Mikhail →

    TEL AVIV: Kebakaran hutan yang telah berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini di Israel hanya menjadi lebih buruk pada tahun-tahun akan datang, menurut pakar alam sekitar Ahad lalu.

    Di kawasan Jerusalem Hills sahaja, kebakaran tersebut telah memusnahkan lebih daripada 1,250 ekar hutan dan setakat Ahad lalu, pasukan bomba masih berusaha untuk memadamkan api, lapor akhbar Haaretz.

    Kebakaran hutan di Israel turut dialami setiap tahun di negara rantau Mediterranean antaranya Sepanyol, Portugal, Greece dan Perancis, serta tempat-tempat lain di seluruh dunia seperti California, Amerika Syarikat dan Australia.

    Meskipun maklumat daripada pasukan bomba Israel menunjukkan kekerapan berlakunya insiden ini semakin menurun, namun skala kemusnahan yang terjadi kali ini adalah yang paling buruk setakat ini.

    “Ia berkait rapat dengan perubahan iklim,” terang Hanoch Tzoref, pengarah Dana Nasional Yahudi (Keren Kayemeth Le Israel) di Jerusalem.

    “Musim sejuk bakal tiba lebih lewat daripada sepatutnya. Iklim pada bulan November dan Disember menjadi sangat kering beserta tiupan angin kuat.

    “Tiupan angin yang kuat dan berterusan bukan sahaja mengeringkan jemuran, tetapi juga tumbuh-tumbuhan dan serta-merta menjadikannya amat mudah terbakar,” kata Tzoref lagi yang pertama kali melihat kemusnahan sebegitu terjadi setelah 40 tahun menetap di Jerusalem Hills.

    Yohay Carmel, seorang profesor fakulti Kejuruteraan Pertanian, Alam Sekitar dan Air di Institut Teknologi Technion Israel, bersetuju bahawa perubahan iklim yang menyebabkan “perkara yang kita tidak pernah melihat sebelum ini.

    “Pada tahun 2010, kekurangan taburan hujan yang ketara sehingga awal Disember telah menjadikan tumbuh-tumbuhan mengalami kekeringan selama tempoh sembilan bulan.”

    Alam seperti membayangkan murka Tuhan, apabila kebakaran tahun ini juga dikatakan amat luar biasa kerana angin bertiup daripada arah timur dan bukan barat seperti yang sepatutnya.

    Satu lagi punca yang menjadi pencetus kebakaran besar-besaran ini adalah kerana Jerusalem itu sendiri dikelilingi kawasan hutan pain tebal yang mudah terbakar. – MYNEWSHUB.CC
  • ‘Tangan Kiri Ayah Pernah Tampar Harimau’ – Rani Kulup

    By Dayyan Mikhail →

    BUKAN sahaja seorang yang prihatin dengan isu-isu semasa, malah Abdul Rani Kulup Abdullah ternyata merupakan seorang lelaki yang mempunyai kehebatan ‘luar biasa’.

    Menurut Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) itu, beliau pernah menampar seekor harimau ketika berada di dalam hutan sehingga menyebabkan taring haiwan buas tersebut patah dan terpelanting.

    “Sebenarnya dulu Ayah penah try sekali semasa ayah dalam hutan, Ayah penah tampar harimau.

    “Harimau tu terpelanting, patah gigi dia, haa tangan ini lah, tangan inilah dulu,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 di perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

    Beliau yang mesra dengan panggilan ‘Ayah’ dan terkenal menerusi tagline Kipidap Dongibap itu malah berkata harimau berkenaan kini sudah dijinakkan gara-gara kesan penampar yang diberikannya.

    “Harimau tu dah jadi kawan sekarang ni, haa hebat tak? Harimau ganas pun Ayah masih lagi boleh jinakkan,” tambahnya yang turut diberi gelaran sebagai Raja Repot Polis Malaysia.

    Rani Kulup membuka nostalgia setelah beliau ditanya mengenai insiden tangannya yang tercedera ketika bermain boling sehingga terpaksa menerima 13 jahitan di ibu negara baru-baru ini.

    Dalam pada itu, beliau memberitahu begitu terkejut dengan sambutan meriah bak selebriti ketika berjalan masuk ke bangunan PWTC dan berpeluang melawat beberapa booth jualan di sini. – MNNEWSHUB.CC
  • Bangkai Ikan 'Hiasi' Gelanggang Luncur Ais Diselar

    By uMieySurianie →


    TOKYO: Sebuah gelanggang luncur ais yang menggunakan 5,000 bangkai ikan yang dibekukan di bawah permukaannya sebagai hiasan terpaksa ditutup selepas dikritik hebat.

    Taman tema Space World yang mengendalikan gelanggang itu kini mencairkan permukaannya dalam proses yang dijangka mengambil masa seminggu selain mengadakan upacara peringatan untuk ikan yang digunakan itu.

    Gelanggang di barat daya Jepun itu dibuka 12 November lalu selepas 5,000 ikan dibekukan di bawah permukaannya sebagai hiasan untuk membolehkan peluncur bermain di atasnya. Ikan itu disusun membentuk perkataan ‘helo’ dan anak panah.

    Bagaimanapun, konsep itu diselar sebagai tidak beretika, memaksa gelanggang yang terletak di bandar Kitakyushu itu ditutup, kata jurucakap Space World Koji Shibata.

    “Kami dikritik hebat,” katanya.

    Shibata berkata, semua ikan itu sudah mati ketika dibeli dan berada dalam keadaan tidak elok dijual dipasar sebagai makanan.

    “Kami memang mengadakan perbincangan sama ada ia boleh diterima dari segi moral sebelum memutuskan meneruskan projek berkenaan,” katanya.

    Sementara itu, Pengurus Besar Space World, Toshimi Takeda berkata, tujuan mereka meletakkan hiasan itu adalah untuk membolehkan pengunjung berseronok sambil belajar mengenai ikan.

    “Kami mahu pengunjung rasa seperti meluncur di atas permukaan laut. Bagaimanapun, selepas mendengar kritikan orang ramai kami memutuskan tidak meneruskannya.

    “Kami merancang upacara peringatan untuk ikan berkenaan dan sudah menjemput seorang sami. Ini memang sudah dirancang dari awal, sebelum kami dikritik,” katanya.- Agensi
  • #DUNSarawak:Tingkatkan Penyertaan Dalam Pelbagai Lapisan Keusahawanan

    By perentas masa →

    KUCHING : Untuk meningkatkan perkembangan ekonomi dengan menyertai cabaran keusahawanan, peluang pekerjaan dan sebagainya adalah lebih signifikan untuk meningkatkan penyertaan pelbagai lapisan bidang keusahawanan.

    Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Permodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada ucapan penggulungan Kementerianya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini berkata, kerajaan telah menyediakan platform untuk pembangunan usahawan seperti menyediakan bantuan dana yang sepatutnya dan fasiliti yang terbaik.

    "Kumpulan sasaran seperti golongan muda, graduan yang menganggur, individu yang berkemahiran dan masyarakat luar bandar disaran mengambil bahagian untuk menghasilkan pendapatan yang tinggi.

    "Mengetahui ianya berpotensi besar, kerajaan berusaha meningkatkan sumber pendapatan negeri dengan memperkasakan bidang keusahawanan serta memperbanyakkan penyertaan Bumiputera bandar dan luar bandar dalam bidang keusahawanan," ucapnya

    Menurut beliau, kerajaan turut memastikan setiap usaha perkembangan usahawan akan dilaksanakan dengan pelbagai insiatif ini di bawah KRA. -Sarawakiana
  • Bila Komponen BN Bersuara Seperti Pembangkang

    By perentas masa →

    Setiap organisasi mahupun parti politik semestinya mempunyai kesepakatan untuk mencapai persetujuan tanpa terlalu mendedah kepada umum. Ini bagi mengelak daripada persepsi negatif terus tersebar di alam maya.

    Apalagi ia melibatkan parti kompenen Barisan Nasional (BN) yang sejak sekian lama memimpim negara. Termasuk BN Negeri Sarawak sendiri yang mempunyai empat parti komponen.

    Banyak isu yang dibangkitkan oleh pembangkang Sarawak bercanggah seperti yang diusahakan BN negeri kerana dasar diplomasi antara BN pusat dan negeri lebih releven berbanding apa yang diusul pembangkang.

    Malah usaha BN telah diambil kesempatan oleh pembangkang untuk mendapat kredit. Persoalannya adakah pembangkang mendapat kredit di mana ada suara parti kompenen BN sudah bersuara seperti pembangkang.

    Yang peliknya parti kompenen BN sendiri sudah tidak memikirkan etika persefahaman politik berparti kerana lebih rela membuat kenyataan kepada umum tanpa membuat perbincangan terlebih dahulu dalam BN negeri.

    Ada kenyataan yang menyinggung umat Islam seperti apa yang dirungkai mengenai Rang Undang-Undang 355 (RUU355). Lebih-lebih lagi ia dinyatakan pemimpin politik bukan beragama Islam.

    Sesiapa sahaja boleh tersentap dengan kenyataan seperti ini.
    "To me, once you touch the religious act on Islam, non Muslim will feel uneasy. We have been living so peacefully in past 53 years, why do you need the amend the law now ? What's wrong with it ? Does the enhancement of Hudud make Muslims much better in eyes of God ? I do not know but syariah law that we have in 1963 has been keeping us going for last 53 years," kata pemimpin komponen BN Sarawak menurut akhbar The Borneo Post.
    Ramai pembaca akhbar termasuk yang bukan Islam tidak bersetuju kepada kenyataan pemimpin berkenaan kerana ia agak keterlaluan. Tidak sepatutnya pemimpin BN berkata sedemikian kerana beliau seringkali menyatakan toleransi teras kekukuhan BN Sarawak.

    Di mana aspek toleransi jika hal sensitif didedah kepada umum tanpa berbincang terlebih dahulu dalam BN. Memang begitu mengecewakan apabila kenyataan sebegini keluar daripada pemimpin BN negeri seolah suara parti kompenen BN Sarawak bersuara seperti pembangkang.-Sarawakiana
  • Penumpang Terkejut Wanita Lompat Pintu Kecemasan

    By Bukan Nama Sebenar →

    TIDAK sabar untuk keluar, seorang penumpang wanita tiba-tiba bertindak membuka pintu kecemasan pesawat dan melompat keluar dari kabin sebuah kapal terbang.

    Insiden pelik itu berlaku ketika pesawat tersebut mendarat di Lapangan Terbang George Bush, Houston, Amerika Syarikat.

    Laman Metro UK tidak mendedahkan identiti penumpang wanita berkenaan namun tindakannya membuatkan penumpang pesawat United Airlines dari New Orleans terkejut dengan tindakan wanita tersebut.

    Meskipun ‘terjatuh’ dari aras tinggi, difahamkan wanita berkenaan tidak mengalami kecederaan serius atau mengundang maut.

    Menrusi video yang tersebar, wanita berkenaan dirakam berlari ke arah terminal sebelum ditahan oleh pihak polis dan di soal siasat.

    Bagaimanapun dia tidak didakwa atas kesalahan jenayah namun dihantar ke hospital sakit jiwa untuk pemeriksaan.

    Beberapa anggota polis dan anjing pengesan dirakam memasuki kabin pesawat berkenaan untuk memeriksa jika terdapat bahan letupan yang merbahaya ditinggalkan oleh wanita berkenaan.

    Salah seorang penumpang pesawat itu, Hampton Friedman berkata kepada CNN, “Saya menyedari kejadian itu apabila pintu terbuka dan seorang wanita keluar daripadanya.”

    Manakala seorang lagi penumpang, Cathy Cole pula memberitahu CNN dia tidak faham langsung mengapa wanita itu mahu melompat keluar dari pesawat tersebut.

    - mynewshub.cc
  • Pesara Maut Dibaham Buaya

    By Bukan Nama Sebenar →

    LAHAD DATU - Seorang bekas kakitangan Majlis Daerah Lahad Datu yang baru bersara pada September lepas, maut dibaham buaya dalam kejadian pada tengah malam Selasa di pelabuhan Industri Kluster Minyak Sawit (POIC) dekat sini.

    Mayat Tigahari Madjami, 60, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bomba di sekitar lokasi kejadian kira-kira jam 12.33 pagi Rabu.

    Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah, Mohd Afendi K Ramin dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian kira-kira 12.07 tengah malam dan 10 anggota SAR bergegas ke tempat kejadian.

    Dalam pada itu, Pegawai Daerah Lahad Datu, Iman Ali ketika dihubungi Bernama berkata, kejadian itu berlaku semasa mangsa sedang menangkap ikan di pelabuhan POIC.

    Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Semporna dengan bantuan Majlis Daerah selepas dibedah siasat.

    Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Hamzah Ahmad ketika dihubungi mengesahkan perkara itu. - Bernama
  • Tiada Kejadian Tanah Runtuh Di Lebuh Raya Karak

    By uMieySurianie →


    BENTONG – Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Bentong hari ini menafikan berlaku tanah runtuh di Lebuhraya Karak seperti yang didakwa menerusi laman sosial dan aplikasi WhatsApp.

    Pegawai Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Bentong, Mohd Zulkhairi Adek Awang berkata, pihaknya mengesahkan tiada tanah runtuh yang berlaku di lebuh raya itu.

    Beliau yang juga merupakan Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Bentong menjelaskan ia hanyalah tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita tidak benar.

    “Kami menafikan kejadian tanah runtuh di Lentang yang diviralkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

    “Adalah dinasihati kepada semua agar tidak membuat sesuatu yang tidak pasti.

    “Sebarang kenyataan akan dikeluarkan oleh Anih Berhad dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sekiranya berlaku bencana tersebut,” katanya ketika dihubungi.

    Sementara itu, pemegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur (LPT), Anih Bhd. melalui laman Twitternya turut mengesahkan tiada kejadian tanah runtuh seperti didakwa netizen.

    “Viral berkenaan tanah runtuh di Karak adalah tidak benar. Abaikan viral tersebut dan ikuti laman Twitter @LPTTrafik untuk laporan terkini,” katanya.- Sinar Harian
  • OKU Dari Kolej Komuniti Harumkan Nama Malaysia

    By uMieySurianie →


    KUANTAN – Muhammad Safiuddin Rosli, pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) dari Kolej Komuniti Selayang, mengharumkan nama Malaysia di Perancis apabila memenangi tempat kelima daripada 24 peserta dari 12 negara dalam ‘International Abilympics Competition’, pada Mac lepas.

    Muhammad Safiuddin, 21, dari Bukit Beruntung, Selangor, yang mengalami masalah pendengaran, memenangi pertandingan berkenaan dalam kategori masakan.

    International Abilympics merupakan pertandingan khas bagi golongan OKU tanpa mengira usia dari seluruh dunia dalam bidang kemahiran.

    Ketika ditemui pemberita pada majlis penyampaian Anugerah Gemilang Politeknik dan Kolej Komuniti (AGPKK) 2016 di sini malam tadi, Muhammad Safiuddin berkata pensyarahnya Asfarul Haris dan ibu bapanya banyak memberi dorongan untuk dia berjaya dalam pertandingan itu.

    Muhammad Safiuddin yang ditemuramah media dengan bantuan Asfarul berikutan sukar berkomunikasi melahirkan rasa syukur dan gembira kerana dapat mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa biarpun berdepan pelbagai cabaran.

    “Saya anak sulung daripada lima beradik dan ayah saya bekerja sebagai pengawal keselamatan manakala ibu saya pula suri rumah.

    “Kekurangan yang ada pada saya bukan penghalang saya menyertai pertandingan peringkat antarabangsa ini, sebaliknya menjadi satu kekuatan untuk saya terus mencuba sebaik mungkin mengharumkan nama Malaysia,” kata Muhammad Safiuddin.

    Lulusan Sijil Asas Kulinari itu kini bekerja di sebuah restoran makanan segera di Kuala Lumpur dan bercita-cita untuk menjadi chef.

    Sementara itu, Asfarul berkata biarpun Muhammad Safiuddin mendapat tempat kelima namun pencapaian itu membanggakan warga Kolej Komuniti kerana ini kali pertama Malaysia menghantar penyertaan bagi kategori masakan dalam pertandingan itu.

    Beliau berkata mereka berdua melakukan persediaan selama enam bulan bagi menghadapi pertandingan itu dengan cabaran paling besar adalah perlu menyediakan hidangan berasaskan bahan dari negara Eropah.

    “Di sini Muhammad Safiuddin perlu sesuaikan diri dengan bahan yang dia tidak biasa gunakan dan Alhamdulillah syukur, dia berjaya hingga memperoleh tempat kelima yang boleh dianggap sebagai satu kejayaan membanggakan.

    “Sememangnya saya bangga melihat kejayaan dia sekarang yang dapat menjalani kehidupan seperti orang lain dan saya juga masih memantau perkembangannya termasuk berhubung dengannya serta ahli keluarganya,” katanya.

    Penyampaian anugerah berkenaan disempurnakan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Dr Mary Yap Kain Ching.- Bernama
  • Jalani Pembedahan RM645K Untuk Menyerupai Jack Ma

    By Azmin Ramlie →
    Jalani Pembedahan Plastik RM645K Untuk Menyerupai Jack Ma
    MINAT dan obses terhadap pengasas Alibaba Group, Jack Ma mendorong seorang lelaki menjalani pembedahan plastik yang menelan belanja ribuan ringgit supaya kelihatan seperti idolanya itu.

    Huang Jian, seorang jurujual dari Shenzhen, China dilaporkan telah membelanjakan 996,000 yuan (kira-kira RM645,897) bagi merealisasikan impiannya untuk memiliki wajah seperti bilionair China itu.

    Menurut sebuah portal tempatan, Jian sanggup terbang ke Korea Selatan untuk melakukan pembedahan plastik yang mana negara jiran itu sememangnya terkenal dengan industri tersebut.

    Malah Jian juga berharap ‘penampilan’ baharunya dapat merubah nasibnya dan bercita-cita untuk berjumpa dengan Ma suatu hari nanti.

    Bagaimanapun, tindakan Jian menjalani pembedahan plastik disifatkan sebagai ‘karut’ dan membazirkan wang oleh netizen negaranya malah segelintirnya mendakwa rupanya langsung tidak menyerupai taikun Internet China itu.

    Tambah portal itu lagi, ketaksuban Jian untuk melakukan pembedahan adalah berpunca daripada kisah kanak-kanak bernama Fan Xiaoqin yang mendapat jolokan ‘mini Ma’ kerana memiliki wajah iras hartawan berkenaan.

    Malah kanak-kanak 8 tahun dari tenggara China itu turut sensasi di internet serta mendapat tajaan dari Ma untuk menampung pembelajaraannya.

    Oleh kerana tuah yang diterima oleh si cilik itu telah mendorong Jian nekad melakukan pembedahan plastik serta berharap dirinya digelar sebagai ‘medium Ma’. – MYNEWSHUB.CC
  • Dakwaan Penjualan Bayi: Polis Ambil Keterangan Al Jazeera

    By Azmin Ramlie →
    Dakwaan Penjualan Bayi: Polis Ambil Keterangan Al Jazeera
    KUALA LUMPUR – Polis mengambil keterangan seorang wartawan Al Jazeera bagi membantu siasatan laporan media antarabangsa itu yang mendakwa Malaysia sebagai hub penjualan bayi pada minggu lepas.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya tidak pernah mengabaikan tanggungjawab bagi menjalankan siasatan terhadap kegiatan yang melanggar undang-undang termasuk penyeludupan bayi.

    “Wartawan wanita warga tempatan itu memberi kerjasama yang baik dan polis faham kenapa beliau membuat laporan itu…jika perlu kita akan panggil lagi beberapa individu yang berkaitan bagi membantu siasatan.

    “Saya sekali lagi ingin nafikan Malaysia bukan hub penjualan bayi… takkan kita nak biarkan pula kegiatan menjual bayi,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, yang dilaporkan berkata polis sudah memanggil kru produksi stesen televisyen berkenaan untuk siasatan lanjut berhubung kesahihan laporan tersebut.

    Khalid berkata polis akan bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Kesihatan bagi mengenal pasti sekiranya terdapat mana-mana individu yang terlibat dengan kegiatan itu.

    Dalam perkembangan lain, Khalid berkata pihaknya akan menyiasat laporan berhubung Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah yang menerima sepucuk surat berbaur ugutan bunuh dan berisi sebutir peluru.

    Semalam media melaporkan Maria menerima surat dan peluru berkenaan di rumahnya di Taman Bukit Mayang Emas, Petaling Jaya, Selangor, bertarikh 18 November lalu ketika dia ditahan polis.

    Terdahulu Khalid melancarkan Program Menambah Anggota Koperasi Polis Diraja Malaysia dan laman sosial Facebook koperasi berkenaan di Bukit Aman, di sini, hari ini. – BERNAMA
  • Pencapaian Pensijilan GMP dan HACCP Dapur Hospital Di Sarawak Tidak Mencukupi

    By Azmin Ramlie →

    KUCHING: Pencapaian pensijilan Good Manufacturing Practice (GMP) dan Hazard Analysis and Critical Control Points (HACCP) Dapur Hospital di Sarawak masih tidak mencukupi kerana hanya 23.8 peratus dapur kerajaan mendapat GMP dan tiada dapur hospital mendapat HACCP pada masa ini.

    Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Doktor Jamilah Hashim. berkata, program HACCP Dapur Hospital telah diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak tahun 2006 untuk dilaksanakan di semua hospital kerajaan di Malaysia.

    “Ia dicetuskan atas kepekaan dan keperihatinan KKM terhadap tahap keselamatan makanan yang dihidangkan kepada pesakit di hospital di mana pesakit merupakan kategori yang berisiko tinggi kerana terdiri dari kanak-kanak, orang tua dan kategori pesakit yang mempunyai sistem imuniti yang lemah.

    “Pelan tindakan Keselamatan dan Pemakanan Kebangsaan 2010-2020 di bawah Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Kebangsaan (MKMPK), Kementerian Kesihatan Malaysia telah menetapkan sasaran 100 peratus hospital melaksanakan sistem HACCP di dapur hospital pada tahun 2020,” jelasnya ketika sidang media selepas majlis penyerahan sijil ‘Makanan Selamat Tanggungjawab Industri’ (MeSTI) di sini, hari ini.


    Tambah beliau lagi, program Good Manufacturing Practice (GMP) merupakan satu program yang merangkumi amalan, prosedur dan persekitaran yang perlu dilaksanakan untuk menghasilkan produk yang selamat dan sebagai basis kepada Program HACCP.

    "Manakala program MeSTI merupakan satu lagi program jaminan keselamatan makanan yang juga diperkenalkan oleh KKM dan ia merupakan prgram yang minimum untuk memenuhi keperluan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009,"

    Jabatan Dietetik dan Sajian dari lima buah hospital yang telah berjaya mendapatkan pensijilan GMP ialah Hospital Umum Sarawak, Hospital Sibu, Hospital Kapit, Hospital Sarikei dan Hospital Miri manakala empat Unit Sajian Hospital berjaya mendapat pensijilan MeSTI iaitu Hospital Kanowit, Hospital Marudi, Hospital Simunjan dan Hospital Daro. - Sarawakiana
  • Tiada Rancangan Buat Masa Ini Bina Jambatan Ketiga - Lee

    By Bukan Nama Sebenar →

    SINGAPURA: Singapura tidak mempunyai sebarang rancangan, buat masa ini, untuk membina jambatan ketiga menghubungkan dengan jirannya Malaysia. "Buat masa ini kami tidak merancang membina jambatan ketiga.

    "Saya ada melihat kenyataan di Malaysia yang mencadangkan pembinaannya, tetapi kereta api berkelajuan tinggi (HSR) itu adalah satu projek yang amat besar," kata Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dalam satu temu bual eksklusif dengan Bernama, hari ini.

    Lee ditanya sama ada dengan adanya HSR itu, jambatan ketiga masih diperlukan ataupun masih berdaya maju.

    Terdapat cadangan daripada kumpulan perniagaan yang mahukan hubungan darat ketiga ke Singapura.

    Menurut mereka jambatan ketiga 'bukan lagi satu pilihan' memandangkan kesesakan lalu lintas di sepanjang Tambak Johor dan jambatan Link Kedua.

    Oleh kerana desas-desus mengenai jambatan ketiga telah lama diperkatakan, mereka berharap kedua-dua kerajaan akan berbincang dengan serius mengenai perkara itu.

    Mereka berpendapat bahawa dua jambatan yang sedia ada sekarang tidak lagi mampu menampung.

    Malahan mereka mencadangkan jambatan ketiga dibina di kawasan Kong Kong di Pasir Gudang, memasuki ke Sembawang di Singapura.

    Mereka berkata adalah wajar dari segi ekonomi jambatan itu dibina di kawasan tersebut kerana ia akan merangsang perdagangan antara Malaysia dan Singapura.

    Malaysia akan dihubungkan dengan Singapura menerusi projek HSR sejauh 350 kilometer yang akan mengurangkan masa perjalanan antara kedua-dua negara kepada hanya 90 minit sahaja dengan kelajuan kereta api lebih 300km sejam.

    Bagi Singapura, terminal HSR akan terletak di Jurong East manakala Malaysia akan mempunyai tujuh stesen, iaitu Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, dan Iskandar Puteri.

    Jika semuanya berjalan lancar, kereta api pertama akan mula beroperasi pada 2026, hanya 10 tahun daripada sekarang.

    "Saya akan menumpukan semua tenaga saya melaksanakan projek itu (kereta api berkelajuan tinggi) sebelum melancarkan projek besar baharu," kata Lee.

    Lee and Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyaksikan majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman bagi HSR pada 19 Julai lalu. - BERNAMA
  • Video : Aksi 'Berani Mati' Lelaki Lompat Depan Kereta Api Laju

    By Bukan Nama Sebenar →
    video

    Berpantang maut sebelum ajal. Itu gambaran terhadap tindakan seorang lelaki melakukan aksi lagak ngeri dengan melompat di hadapan sebuah kereta api yang sedang bergerak laju di sebuah stesen di Metro di Moscow, Rusia.

    Memetik laporan portal antarabangsa, aksi berani mati lelaki berkenaan yang tidak diketahui identitinya itu dilakukan di sebuah platform di stesen Polezhaevskaya.

    Video memaparkan lelaki berkenaan, yang dipercayai masih remaja kini tersebar secara meluas di internet.

    Menerusi video tersebut, pelaku lagak ngeri itu pada mulanya dilihat duduk di bangku di platform tersebut bersiap sedia untuk melakukan lompatan.

    Sebaik sahaja sebuah kereta api yang masih dalam keadaan laju melalui stesen tersebut, lelaki terbabit dengan berani berlari ke tepi platform sebelum melompat di hadapan kenderaan berkenaan.

    Kedengaran pemandu kereta api itu membunyikan hon dipercayai terkejut dengan aksi yang dilakukan lelaki berkenaan.

    Meskipun aksi tersebut mengerikan, namun lelaki berkenaan yang menutup mukanya menggunakan kain kelihatan bersahaja dan sempat melambai tangan kepada jururakam.

    Lelaki terbabit kemudian menaiki kereta api tersebut. Sehingga kini, video tersebut ditonton lebih 75,000 pengguna media sosial.

    Namun, segelintir pengguna media sosial berpendapat bahawa aksi melompat dan kereta api bergerak telah dirakam secara berasingan, kemudiannya disunting untuk kelihatan seolah ia berlaku pada masa yang sama.

    Ini kerana, pemandu kereta api itu tidak kelihatan terkejut dengan aksi ‘gila’ lelaki terbabit melompat di hadapan kereta api. - MalaysianDigest
  • Cabaran Selfie Satu Jari Kini Landa Internet

    By Yusz Man →

    KEGILAAN apakah ini? Sekumpulan lelaki dan wanita cuba mencipta trend terbaru di media sosial dengan mewujudkan Cabaran Selfie Satu Jari, iaitu merakamkan selfie sambil berbogel di depan cermin, namun dengan syarat satu jari perlu menutup bahagian sulit mereka.

    Malangnya, peserta cabaran berkenaan berisiko menunjukkan lebih daripada apa yang mereka rakamkan, dengan mendedahkan seluruh badan mereka yang bogel itu.

    Salah seorang peserta yang mengambil bahagian ialah Aimee Davison yang menyatakan cabaran itu bermula hasil lukisan pelukis anime Jepun, Sky-freedom.

    Dalam ilustrasi pelukis itu, watak anime berkenaan digambarkan merakamkan selfie dalam keadaan bogel, dengan hanya satu jari sahaja menutup alat sulitnya.

    Pada mulanya Aimee teragak-agak untuk mencuba cabaran berkenaan tetapi dia kemudiannya mencuba selfie itu, tetapi masih memakai seluar.

    Dia hanya menggunakan jari untuk menutup payu daranya.

    “Saya jadi keliru bagaimana nak tutup payu dara dan alat sulit pada satu masa dengan menggunakan satu jari sahaja,’’ soal Aimee. – MYNEWSHUB.CC
  • Mahkamah Tinggi Tolak Rayuan Tian Chua

    By uMieySurianie →


    KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengekalkan hukuman penjara sebulan dan denda RM1,000 terhadap Naib Presiden PKR Tian Chua kerana didapati bersalah tidak mematuhi perintah polis supaya beredar dari kawasan larangan di Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia (Pulapol) di sini, dua tahun lepas.

    Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Nordin Hassan membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, 51, terhadap sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh hakim Mahkamah Sesyen pada 23 Jan 2014.

    Dalam penghakimannya Nordin berkata alasan hakim Mahkamah Sesyen ketika menjatuhkan hukuman terhadap Tian Chua pada dua tahun lepas adalah sah.- BERNAMA
  • Tiga Atau Empat Hari Bagi Proses Bawa Pulang Jenazah Pendaki Malaysia

    By uMieySurianie →


    KUALA LUMPUR - Proses membawa pulang jenazah pendaki Malaysia Syed Redzuan Syed Salim Shatri dari Iran dijangka mengambil masa dalam tiga hingga ke empat hari lagi, kata ketua ekspedisi Rozaimi Md Said.

    Beliau berkata jenazah Syed Redzuan kini masih berada di Hospital Daerah Amol, Iran dan proses untuk membawa balik jenazah perlu melalui beberapa peraturan, termasuk mendapatkan kebenaran dari hakim negara itu.

    Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) untuk seorang lagi pendaki Malaysia Ramli Abdul Majid masih ditangguhkan kerana cuaca tidak mengizinkan.- BERNAMA
  • Kucing Disembelih Untuk Mendapatkan Daging Arnab

    By Yusz Man →

    CHENGDU: Serbuan di rumah penyembelihan kucing yang dagingnya dijual sebagai daging arnab telah menemui hampir satu tan bangkai kucing segar dan sejuk beku, menurut laporan Global Times, Selasa.

    Penemuan pada Selasa lalu ini berlaku apabila polis menyerbu tiga lokasi berasingan yang digunakan sebagai ruang simpanan, rumah sejuk beku daging dan rumah penyembelihan kucing, lapor Chengdu Business Daily.

    Ketika serbuan dilakukan ke atas rumah penyembelihan di bandar Shunjiang, beberapa kucing tempatan ditemui terapung di dalam air selepas haiwan itu dibiarkan lemas, dengan yang lain sedang menunggu proses pembuangan bulu atau untuk disembelih, menurut laporan itu.

    Daily Mail London berkata, pihak berkuasa Chengdu menutup operasinya Rabu lalu selepas menerima maklumat daripada sukarelawan di Pusat Penyelamatan Haiwan Aizhijia Chengdu.

    Pengasasnya, Chen menulis di akaun Weibo beliau bahawa ia adalah 'hari yang tidak dapat dilupakan dan hari untuk perasaan sakit dan benci' menurut Daily Mail.

    "Ini bukan perbuatan salah di sisi undang-undang. Apa salahnya saya membeli dan menjual kucing?," kata pengendali pusat penyembelihan, Huang Pingfu.

    Beliau ditanya sama ada kucing-kucing itu telah dijual sebagai daging arnab, menurut Global Times.

    Pingfu didakwa sebagai seorang yang sayangkan binatang dan memberi perlindungan kepada kucing terbiar, menurut laporan Daily Mail.

    Dia akan membunuh lebih daripada 100 ekor kucing sehari untuk menjual dagingnya kepada pemborong, penjual daging dan restoran-restoran sebagai daging arnab.

    Keuntungan hariannya adalah sekitar 3,000 yuan (RM1,941).

    Global Times melaporkan bahawa dia telah menjual daging kucing selama lebih dari 20 tahun, menjadikan perniagaan secara kecil-kecilannya beralih kepada perniagaan yang menguntungkan.

    Akhbar itu berkata, beratus-ratus ekor kucing lain dibiarkan hidup untuk dihantar ke Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang China Selatan pada harga borong 32 yuan bagi setiap ekor kucing.

    Kucing hidup yang diselamatkan dari rumah penyembelihan dilaporkan telah dihantar ke pusat perlindungan haiwan.

    China tidak mempunyai undang-undang yang menghalang penjualan daging kucing.

    Seorang pekerja Program Kebajikan Kucing dan Anjing di bawah Yayasan Haiwan Asia, Chen Minjie memberitahu Global Times bahawa pihak berkuasa perlu mengurangkan bilangan kucing melalui pensterilan untuk mengelakkan penyeludupan kucing jalanan. - The Straits Times/Asia News Network
  • Konvoi Duterte Diserang, Tujuh Pengawal Peribadi Cedera

    By Yusz Man →

    MANILA: Seramai tujuh pengawal peribadi Presiden Rodrigo Duterte dan dua lagi tentera tercedera dalam serangan hendap yang didakwa dilakukan oleh kumpulan pengganas ketika lawatannya ke selatan negara ini.

    Jurucakap tentera berkata, bom disasarkan ke arah konvoi askar di bandar Marawi.

    Tambah jurucakap itu, tiada penduduk awam yang terkorban atau maut dalam serangan itu.

    Lawatan Duterte itu berlaku beberapa hari selepas tentera melancarkan operasi menentang berpuluh-puluh anggota bersenjata kumpulan Maute di bandar Butig, kepulauan Mindanao. - AFP


  • 22,000 Anggota Pasukan Keselamatan Kawal Perhimpunan Bantah Ahok

    By Yusz Man →

    JAKARTA: Seramai 22,000 anggota pasukan keselamatan akan dikerahkan pada perhimpunan minggu ini bagi membantah tindakan Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama yang didakwa menghina al-Quran ketika sebelum ini.

    Antara yang terlibat ialah polis, tentera dan paramedik akan berkumpul di jalanan bagi mengelakkan berulangnya keganasan yang berlaku awal bulan ini.

    Polis memaklumkan, mereka menjangkakan sekurang-kurangnya 150,000 penunjuk perasaan akan turun mengadakan demonstrasi jalanan. - AFP


  • Wanita Rugi RM87,000 Dipukau Warga China

    By Yusz Man →

    KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga emas mendakwa kerugian RM87,000 selepas dipukau tiga wanita dipercayai warga China di hadapan sebuah klinik di Jalan Ria, Sri Petaling, di sini, awal bulan ini.


    Kejadian berlaku jam 8.30 pagi pada 7 November lalu ketika mangsa dalam perjalanan ke pasar selepas disapa seorang wanita.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Luthfi Ismail Abdullah, berkata suspek kemudian mendakwa anak mangsa akan mati dalam tempoh tiga hari dan dia mempunyai cara untuk mengubatinya.

    Selepas itu, seorang lagi wanita menghampiri mangsa dan menepuk bahunya yang menyebabkannya tidak sedar apa berlaku.

    "Mangsa dipercayai dipukau, dibawa berjumpa dengan suspek ketiga yang juga mendakwa guru kepada dua suspek pertama.


    "Mangsa kemudian menyerahkan wang tunai dan barang kemas bernilai RM87,000 kepada suspek bagi mereka melakukan upacara mengubati anaknya," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, sebentar tadi.

    Mohd Luthfi berkata, mangsa menyedari dia ditipu sebaik tiba di rumahnya empat jam kemudian.

    "Dia menyedari ditipu selepas mendapati bungkusan barang kemas serta wang tunai miliknya mengandungi dua botol air mineral serta beberapa ketul sabun," katanya.

    Polis masih menjalankan siasatan dan sehingga kini belum ada tangkapan dilakukan.-BH
  • Bertentang Mata Dengan Mona Fandey

    By uMieySurianie →


    PADA hari pertama Mona Fandey bersama dua orang lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Raub, Pahang, pada awal 1993, atas tuduhan membunuh, saya bergerak jam 6.30 pagi dari Kuala Lumpur, untuk membuat liputan kes itu.

    Sepanjang jalan sejauh 107 kilometer itu, seribu satu soalan bermain dalam fikiran tentang kes paling ngeri yang pernah berlaku di negara ini.

    Lega rasanya apabila saya dapati kerusi wartawan di galeri awam mahkamah masih kosong semasa saya tiba.

    Jam 9 pagi lagi saya sudah mengambil tempat betul-betul di belakang kandang tertuduh, tempat paling strategik untuk tidak terlepas daripada apa sahaja yang akan disebut dalam perbicaraan.

    Rupa-rupanya kes Mona Fandey berlangsung sebelah petang. Sebelah pagi mahkamah mendengar kes lain; kes pembunuhan juga. Mangsanya seorang penjual karpet warga asing yang didakwa ditanam selepas dibunuh akibat cemburu.

    Apabila Mona Fandey, suaminya Mohd Nor Affandi Abdul Rahman, dan pembantu mereka, Juraimi Hussein. dibawa keluar dari kenderaan polis di depan mahkamah, petang itu, suasana jadi kecoh.

    Orang ramai berkerumun di sekitar mahkamah. Ramai memandang mereka. Ada bercakap sesama sendiri, tetapi ada juga yang jerut marah-marah.

    Peliknya, sama ada di luar mahkamah atau di kandang tertuduh, Mona Fandey tidak kelihatan seperti orang berhadapan dengan kes yang begitu berat hukumannya.

    Sekejap-sekejap dia bercakap dengan suaminya, melihat orang sekelilingnya, bahkan mampu tersenyum.

    Juraimi sahaja lebih banyak diam.

    Saya tidak boleh lupa dengan reaksi saya sendiri berhadapan dengan keadaan di mahkamah petang itu.

    Setiap kali Mona Fandey menoleh ke belakang, saya akan larikan pandangan atau turut toleh ke belakang.

    Saya berada hanya sedepa di belakangnya dan saya kira setiap kali dia menoleh ke belakang, sayalah orang pertama yang mencuri pandangannya.

    Barangkali saya tidak berani bertentang mata dengan wanita yang berhadapan dengan kes yang mengerikan itu hingga menggemparkan seluruh negara.

    Ketika tuduhan dibaca, barulah kelihatan Mona Fandey berdiam diri. Seluruh ruang mahkamah turut senyap sunyi.

    Itu adalah hari pertama kes itu dibawa ke Mahkamah Sesyen Raub. Perbicaraan ditangguhkan, selepas pihak mahkamah mencatat butir-butir berkaitan penahanan mereka yang dituduh, barang-barang bukti dan jadual untuk perbicaraan selanjutnya.

    Sebaik sahaja mereka dibawa keluar dari mahkamah, keadaan riuh-rendah bermula kembali, tetapi sikap mereka, terutama Mona Fandey, bersahaja.

    Seperti ketika tiba dan berada di kandang tertuduh, Mona Fandey, walaupun dengan tangan bergari dan dikawal ketat anggota polis. masih mampu tersenyum dan seolah-olah bergaya di hadapan jurugambar.

    Petang itu dia berpakaian baju hitam berbunga terang dan berseluar, pakaian yang nampak lebih sesuai untuk seorang artis.

    Bahkan Mona Fandey, yang pada suatu masa pernah menjadi penyanyi, dikatakan pernah menyebut di luar mahkamah: “Macam ramai pula peminat”, setelah nampak ramai yang berkerumun.

    Selesai sahaja perbicaraan itu, saya bergegas ke rumah rehat yang tidak jauh dari situ, menaip berita di komputer riba dan menghantar laporan ke ibu pejabat. Laporan dan gambar kes Mona Fandey itu disiarkan di muka depan hampir semua akhbar tempatan.

    Kes pembunuhan kejam itu seterusnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Temerloh yang diliputi oleh wartawan mahkamah.

    Bersama Mohd Nor Affandi, 45, dan Juraimi, 32, Mona Fandey, 46, dihukum gantung sampai mati pada pagi 2 November 2001 pada usia 45, di Penjara Kajang selepas Mahkamah Tinggi Temerloh, pada 1995, memutuskan mereka bersalah membunuh Adun Batu Talam, Raub, Pahang, Datuk Mazlan Idris, di sebuah rumah di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub, pada 1993.

    Kes itu merupakan satu daripada perbicaraan juri yang terakhir di Malaysia.

    Sifat sensasi kes berkenaan menyumbang ke arah keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan sistem juri dan semua perbicaraan pihak juri telah dimansuhkan pada 1 Januari, 1995.- Sinar Harian
  • #DUNSarawak: Bukan 'Pusingan U' Tetapi Lebih Percayakan Diplomasi

    By Dayyan Mikhail →

    KUCHING: Kerajaan negeri tidak membuat 'Pusingan U' apabila tidak membentang usul berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) memandangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersedia untuk berunding berhubung perkara tersebut.

    Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, Najib secara jelas bersedia untuk mencari penyelesaian dan kerajaan negeri lebih mengutamakan diplomasi berbanding konfrantasi.

    "Perdana Menteri mengumumkan beliau bersedia untuk berbincang dengan Sarawak dan Sabah mengenai isu ini untuk mengelak salah faham mengenai MA63.

    "Kerajaan negeri tidak membuat pusingan u mengenai perkara ini kerana kita percaya kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN) sebagai keluarga boleh menyelesaikan isu antara kedua-dua pihak," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-18 di sini, hari ini.

    Menurutnya, pendekatan perundingan yang diambil berhubung perkara tersebut adalah kerana Perdana Menteri kerap melawat Sarawak dan meluluskan banyak projek semasa kunjungan beliau.

    "Kita bernasib baik kerana memiliki Perdana Menteri (Najib) yang prihatin dengan kerap melawat Sarawak sejak dilantik (Perdana Menteri)," ujarnya.

    Beliau menjelaskan, keadaan tersebut menunjukkan Perdana Menteri mengambil berat kesejahteraan rakyat negeri ini.

    Mengenai senario politik, Adenan berkata, sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) untuk undi popular meningkat kepada 62.2 peratus pada pilihan raya negeri (PRN) lepas.

    "Ia terbukti dengan kemenangan besar BN dengan memenangi 72 daripada 82 kerusi pada PRN11.

    "Rakyat sudah membuat pilihan dan kita (kerajaan BN) akan terus menjalankan tanggungjawab untuk menunaikan semua janji," jelasnya.-Sarawakiana
  • #DUNSarawak: SETP Bantu Pacu Ekonomi Negeri

    By Dayyan Mikhail →

    KUCHING: Beberapa pendekatan akan diambil kerajaan negeri dalam usaha untuk memacu pertumbuhan ekonomi negeri untuk memastikan Sarawak mencapai negeri berpendapatan tinggi dan negeri maju menjelang 2030.

    Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, untuk mencapai visi tersebut, Pelan Transformasi Sosio Ekonomi (SETP) diwujudkan untuk memacu pertumbuhan pendapatan dan mengurangkan perbezaan pendapatan antara rakyat.

    Malah menurutnya, ekonomi negeri ini juga perlu berkembang 6.5 peratus setiap tahun untuk mencapai visi tersebut.

    "Pertumbuhan ekonomi kita pada 2015 pada kadar 3.7 peratus dan dijangka berkembang antara 3.5 ke 4 peratus 2016," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-18 di sini, hari ini.

    Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, ekonomi dunia yang dijangka pulih pada 2017 bakal menyaksikan ekonomi negeri berkembang antara 4.0 hingga 4.5 peratus.

    "Kelembapan perkembangan ekonomi menuntut pelarasan polisi ekonomi kita termasuk strategi kerajaan dan perbelanjaan," ujarnya.

    Adenan turut berharap SETP dapat menyokong inisiatif transformasi untuk mendorong pertumbuhan ekonomi berada pada landasan tepat.-Sarawakiana
  • #DUNSarawak : Peningkatan Pelaburan Bantu Capai Status Negeri Maju 2030

    By perentas masa →

    KUCHING: Kerajaan Sarawak menyasarkan peningkatkan pelaburan dalam sektor perindustrian bagi menggerakkan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negeri untuk mencapai status negeri maju dan berpendapatan tinggi pada tahun 2030.

    Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Permodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar Datuk Amar Douhlas Uggah Embas dalam ucapan penggulungan di Dewan Undangan Negeri hari ini berkata, Kerajaan Negeri juga berusaha meningkatkan penyertaan dalam industri minyak dan gas.

    "Dengan teknologi terkini, kerajaan membayangkan industri petrokimia akan memberi peluang pekerjaan kepada anak Sarawak yang akan memperolehi pendapatan yang tinggi dan memastikan bekalan minyak dan gas cukup.

    "Di sebalik penyertaan dalam industri hiliran, kerajaan akan terus memperkembangkan peningkatan aktiviti industri huluan dan terus mendapat kerjasama daripada pihak PETRONAS," katanya.

    Menurut Uggah, dengan peningkatan penyertaan industri pembuatan seperti aluminium, ferroalloys, penghabluran silikon di Taman Industri Samalaju telah menjadi sumber peningkatan kepada pembangunan kluster dalam industri tersebut.

    "Untuk mengoptimamkan hasil daripada industri tersebut, Kluster Industri Keci dan Sederhana dan industri sokongan akan dibangunkan.

    "Intensif ini juga akan disediakan untuk industri-industri bukan berasaskan sumber akan mampu pergi lebih jauh lagi," ujarnya.
    -Sarawakiana
  • KPM Nafi Buat Kajian Cadangan Mansuh UPSR

    By Bukan Nama Sebenar →

    KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan menafikan sedang melaksanakan kajian cadangan berhubung pemansuhan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) seperti yang disebarkan di laman sosial.

    Penafian itu dilakukan oleh Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, menerusi laman Facebook beliau hari ini.

    "Saya menafikan bahawa kajian ini diadakan oleh mana-mana bahagian di kementerian atau Pejabat Menteri Pendidikan. Harap maklum," katanya.

    Kajian 'RESPON - CADANGAN MANSUH UPSR', yang meminta orang ramai memberi kerjasama secara dalam talian melalui capaian https://goo.gl/forms/hmLeLqbFzojVR22 mula menjadi viral sejak semalam.

    Antara lain, tarikh akhir kajian itu pada 1 Disember jam 12 tengah hari. - BH
  • Aram Ngopi : Usahawan Kecil Di Bandar Harus Jadi Contoh

    By perentas masa →

    Minum kopi '0' panas kurang manis di RnR Jalan Astana awal pagi ini. Di sini akan melihat majoriti Melayu berniaga dan menjadi pelanggan kedai kopi.

    Sebelum sampai ke kedai kopi RnR, sepanjang Jalan Astana menuju ke Dewan Undangan Negeri Sarawak kelihatan ramainya Melayu berniaga kecil-kecilan di pinggir jalan.

    Inilah kelebihannya apabila semua infrastruktur lengkap di bandar dan penduduk Melayu mengambil kesempatan berniaga untuk menambah pendapatan ekonomi keluarga.

    Penulis terfikir seandainya luar bandar dan kawasan pesisir mempunyai infrastrukur lengkap sebegini, adakah mampu Bumiputera melakukan sepertimana penduduk bandar merebut peluang dalam ekonomi ?

    Merebut peluang berniaga secara kecil-kecilan dan mencapai dasar kerajaan untuk membina dan memperkasakan usahawan Bumiputera secara menyeluruh.

    Memang diketahui masyarakat luar bandar dan pesisir lebih menumpukan dalam bidang perladangan dan perikanan, tetapi untuk mengukuhkan lagi sosio ekonomi, para wanita dan anak muda perlu mencari inisiatif lain. Dengan wujudnya inisiatif berniaga kecil-kecilan, penghijrahan anak muda ke bandar dapat tangani sebaik mungkin.

    Hasil daripada mempergiatkan usahawan kecil luar bandar dan pesisir akan mampu merancakkan lagi aktiviti elonomi di kawasan berkenaan dan menjadi salah satu penyumbang KDNK domestik negara mahupun negeri.-Sarawakiana
  • Rani Kulup Terima 13 Jahitan Selepas Terjatuh

    By Yusz Man →

    PETALING JAYA: Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah terpaksa menerima 13 jahitan di tangannya selepas terjatuh ketika merasmikan sebuah pertandingan boling, Ahad lalu.

    Insiden itu berlaku di pusat membeli-belah Summit di Subang Jaya dekat sini.

    "Apabila saya membaling bola, saya terjatuh dan tangan kanan saya terkena palang besi pembahagi lorong boling.

    "Saya tahu tangan saya cedera tetapi saya kekal tenang walaupun darah mula menitik," katanya.

    Dia kemudiannya pergi ke sebuah klinik di USJ Subang Jaya untuk mendapatkan rawatan ketika majlis itu masih berlangsung.

    "Doktor beritahu kecederaan itu serius dan mencuci luka tersebut. Namun dia meminta saya untuk pergi ke hospital kerana luka perlu dijahit dan x-ray perlu dilakukan," katanya.

    Abdul Rani berkata beliau pergi ke Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) untuk melakukan pemeriksaan x-ray dan luka itu dijahit.

    "Saya menerima tiga jahitan di dalam dan 10 jahitan di bahagian luar tangan," katanya.

    Jelas beliau, jahitan pada luka itu akan tertanggal sendiri dalam masa dua minggu.-mStar

  • "Jangan Panggil Saya 'Aunty', Panggil Liz" - Haliza Misbun

    By Yusz Man →

    Pelakon Haliza Misbun memberitahu dia tidak membenarkan orang yang lebih muda termasuk anak-anak saudaranya memanggil dirinya sebagai kakak atau aunty.

    Haliza, 43, berkata, perkara tersebut merupakan salah satu cara untuk dia berasa sentiasa mudah dan memberi kesan positif terhadap dirinya.

    "Jangan panggil saya kakak, panggil saya nama sahaja, Liz (Haliza), anak-anak saudara saya yang kecil-kecil semuanya saya minta mereka panggil Liz sahaja.

    "Panggilan ini sebenarnya mempengaruhi kita punya psikologi dan ia benar-benar memberi kesan kepada diri saya untuk rasa positif dan sentiasa muda. Selain saya mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersenam," ujarnya kepada mStar Online.

    Haliza ditemui pada sidang media drama adaptasi Selamat Malam Tan Sri arahan Raja Mukhriz di sini, Selasa.

    Bagaimanapun, Haliza berkata, perkara itu bukan kerana dia seperti ‘tidak sedar diri’ atau tidak menerima peningkatan usia.

    Dalam perkembangan kerjaya, aktres itu berkata, selama dia menyepi dari bidang lakonan bukanlah disebabkan sudah tiada tawaran, sebaliknya dia kecewa dengan perkembangan industri.

    "Bukan sebab tiada tawaran tetapi saya sedih dengan perkembangan industri yang meletakkan wanita berusia 40 tahun ke atas dengan watak kakak dan emak.

    "Saya mahu mereka keluar daripada kepompong tersebut dan itu yang saya sedang perjuangkan sekarang. Lagi pula produksi sekarang banyak ragam.

    "Saya hanya akan terima tawaran daripada rakan-rakan yang saya kenal dan tahu kerja mereka," ujarnya.

    Dalam pada itu, ditanya tentang pasangan dan rumah tangga, Haliza berkata, dia tidak memikirkan soal itu sebagai sesuatu yang penting untuk tampil sempurna.

    Katanya, dia hanya akan berumah tangga jika mempunyai sebab yang kukuh dan bukan kerana desakan mana-mana pihak.

    "Ibu saya pun sudah malas untuk bertanya tentang kahwin kerana dia sendiri tahu jawapannya. Saya rasa diri saya sudah sempurna dan jika saya ingin berkahwin pun perlu ada sebab yang betul-betul kuat.

    "Saya tidak perlu ada pasangan untuk rasa sempurna dan bergantung harap. Tapi itu bukan bermakna saya seorang yang menentang ikatan perkahwinan. Ia hanyalah pendapat," ujarnya.-mStar
  • Muzium Zakar Pamer Penis Dari Hamster Hingga Paus

    By uMieySurianie →


    REYKJAVIK – The Phallological Museum atau muzium zakar kini menjadi antara destinasi tarikan wajib dikunjungi pelancong ke Iceland untuk menyaksikan batang penis makhluk jantan terpilih.

    Ia malah memiliki koleksi spesimen alat kelamin jantan terbanyak di dunia sehingga mempesonakan pengunjung untuk melihat sendiri bentuk penis manusia yang dipamerkan bersama-sama aneka zakar haiwan laut dan darat.

    Portal berita terkenal Dailymail melaporkan, koleksinya terdiri daripada lebih 250 alat kelamin mulai ukuran paling kecil iaitu milik hamster yang cuma dua milimeter sehingga ukuran terbesar milik paus sperma iaitu 1.7 meter.

    Beberapa koleksi lainnya termasuk lampu hiasan yang diperbuat daripada testikel kerbau, zakar manusia milik seorang lelaki Iceland berusia hampir seabad dan batang pohon diukir indah menjadi seumpama bentuk kemaluan.

    “Saya datang untuk melihat apakah perkara ini benar, sebab sebelum itu ada dengar cerita sebuah muzium penis di Reykjavik,” kata Jerry Anderson, seorang pelancong berasal dari Amerika Syarikat kepada agensi berita AFP.

     Muzium Zakar Pamer Penis Dari Hamster Hingga Paus


     Muzium Zakar Pamer Penis Dari Hamster Hingga Paus
    Menurut jurucakap The Phallological Museum, kewujudan mereka mungkin mampu mencetuskan perasaan gelak ketawa pengunjungnya ketika mereka dapat melihat sendiri kesemua 286 koleksi alat kelamin jantan terpilih.

    “Anda dapat dididik mengenai isu zakar secara lebih formal dan pada waktu sama mampu bergembira ceria,” kata Hjortur Sigurdsson, 52, salah seorang pengurus di muzium berkenaan kepada pihak media tempatan.

    Bapanya, Sigurdur Hjartarson (gambar atas), secara kebetulan merupakan ahli sejarah yang kemudian bekerja menjadi guru selama 37 tahun. Beliau membuka muzium itu pada 1997 dengan asalnya hanya ada 62 spesimen.

     Muzium Zakar Pamer Penis Dari Hamster Hingga Paus

    Muzium Zakar Pamer Penis Dari Hamster Hingga Paus

    “Semua pada awalnya hanya jenaka. Ayah saya senang mengumpul sesuatu yang belum pernah dilakukan orang lain sebelumnya. Waktu itu dia hanya kata bahawa seseorang harus melakukan hal ini,” jelas Sigurdsson.

    Pada tahun 1980, Hjartarson telah berjaya menghimpun 13 spesimen, dengan sembilan merupakan dari haiwan mamalia darat dan empat daripada jenis paus. Selama satu dekad setelah itu, koleksinya naik menjadi 34 spesimen.

    Namun beberapa tahun kemudian, mereka menerima spesimen manusia. Sigurdsson menyatakan bahawa spesimen manusia dikirim oleh penderma Iceland berusia 96 tahun, dia takut penisnya mengerut seiring umurnya bertambah.

    Terletak di Laugavegur 116 di ibu kota Iceland, muzium ini dibuka kepada awam dari jam 10 pagi hingga 6 petang setiap hari dan lazimnya sebahagian besar pengunjung menghabiskan masa selama 45 minit meninjau pameran.

    Dianggarkan majoriti daripada 11,000 pengunjung tahunan merupakan pelancong warga asing. Uniknya salah satu hal yang menarik ialah lebih 60 peratus pengunjung merupakan golongan wanita! – Agensi/Mynewshub.cc/HAA



  • Kotak Antibanjir

    By Azmin Ramlie →

    Kuala Lumpur : Pengalaman menghadapi banjir setinggi dua meter pada 2014 menjadi inspirasi kepada empat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai, Kemaman Terengganu mencipta kotak simpanan antibanjir.

    Lukmannul Hakim Muhammad, 16, yang mengetuai kumpulan itu berkata, kotak yang diberi nama Kassaskap itu berupaya menyimpan kuantiti barang sehingga 145 kilogram (kg).

    “Kassaskap bermaksud keselamatan dalam bahasa Sweden dan idea untuk menghasilkan alat itu timbul kerana banjir selalu melanda kawasan kami khususnya pada hujung tahun.

    “Alat itu sangat berguna untuk menyimpan barang berharga daripada ditenggelami air bagi penduduk yang terjejas selain menjadi kelengkapan menyelamatkan diri dan keluarga jika berlaku banjir,” katanya ketika ditemui pada Pertandingan Petronas All About Youth (AAY) All Star 2016 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, semalam.

    Katanya, alat seberat 10kg itu diperbuat daripada barang kitar semula seperti pelampung kapsul, tong simpanan dan aluminium yang boleh ditemui di sekitar rumah mereka.

    Penghasilan Kassaskap itu turut dibantu tiga rakannya yang juga pelajar tingkatan empat SMK Chukai iaitu Iman Nur’Aina Nor Zuhan, Nurin Darwisyah Mohd Faizal dan Mohd Arsyad Mohd Sabri.

    Dalam pertandingan itu, lima sekolah dipilih untuk bertanding di peringkat akhir iaitu SMK Bongkol dan SMK Penangah dari Sabah, SMK Tatau, Sarawak dan SMK Padang Pulut, Terengganu.

    Program Petronas AAY adalah inisiatif Petronas yang bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar menerusi aktiviti reka cipta khas untuk membina tahap kepemimpinan dan galakan kepada pelajar menjadi belia cemerlang pada masa depan sekali gus menyumbang ke arah pembangunan negara.

    Lukmannul berkata, dia berharap alat berkenaan dapat dikomersialkan memandangkan ia dapat memudahkan penduduk terjejas banjir. - HMetro
  • Wanita "Dibelasah" Kekasih Ditemui Mati Di Bintulu

    By Yusz Man →
    gambar hiasan


    BINTULU: Seorang wanita ditemui mati dalam bilik sewanya di sebuah pusat komersial di sini sekitar jam 7.30 pagi Isnin lalu.

    Memetik laporan akhbar tempatan, mangsa ditemui dalam keadaan terbaring diatas lantai dengan tubuhnya dipenuhi kesan lebam dipercayai dipukul.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah (KPD) Bintulu ASP Jame Reis, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus dimaklumkan mengenai insiden berkenaan.

    Mangsa yang dikenalpasti sebagai Nora Jelinang, 32, yang merupakan ibu tunggal berasal dari Saratok.

    "Teman lelaki mangsa berasal dari Roban berusia 31 tahun ditahan pihak polis pada hari yang sama bagi membantu siasatan." lapor akhbar tersebut.

    Jelasnya, hasil siasatan awal mendapati kes bermotifkan cemburu dan melalui temubual bersama penghuni lain yang menyewa di premis berkenaan menyatakan mangsa dan suspek difahamkan bergaduh pada malam sebelumnya.

    Mayat mangsa dihantar ke Hospital bintulu untuk dibedah siasat dan suspek yang merupakan teman lelaki mangsa ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 302 kanun Keseksaan.-Sarawakiana
  • Menyesal Ambil Gambar Curi Wanita Bogel

    By uMieySurianie →


    Los Angeles: Seorang Model Playboy mengaku tidak bersalah semalam terhadap tuduhan menceroboh privasi selepas mengambil gambar curi seorang wanita berusia 70 tahun dalam keadaan bogel di gimnasium dan menyebarkannya di media sosial.

    Dani Mathers, model Playmate of the Year 2015, berdepan hukuman penjara sehingga enam bulan dan denda AS$1,000 (RM4,463) berikutan gambar yang disiarkan di Snapchat Julai lalu, hingga mencetus kritikan meluas.

    Gambar itu menunjukkan gambar bogel seorang wanita tua dari sudut belakang di sebuah pusat kecergasan di Los Angeles dengan keterangan gambar mengejek: "Jika saya tidak boleh melepaskan pandangan ini maka anda juga begitu"

    Peguam Mathers berkata, anak guamnya yang berusia 29 tahun itu menyesal dengan tindakan beliau.

    "Dia amat kesal dengan apa yang berlaku," kata Tom Mesereau kepada pemberita di luar mahkamah.

    "Dia memohon maaf atas tingkah lakunya dan kami tidak sabar-sabar untuk menyelesaikan kes ini di luar mahkamah dengan cara yang sangat adil."

    Susulan kejadian itu Mathers dilarang masuk ke gimnasium LA Fitness selepas mencetuskan kemarahan orang ramai dan menimbulkan isu mengaibkan bentuk tubuh orang lain, terutama di media sosial.

    Pra perbicaraan kes ditetapkan pada 21 Disember ini. - Agensi

  • Garis Panduan, Dasar Baharu Tangani Isu Kemampuan Perumahan

    By Azmin Ramlie →


    KUCHING: Kerajaan negeri melalui Unit Perancang Negeri (SPA) kini memperkenalkan garis panduan dan dasar baharu pada tahun ini untuk menangani isu kemampuan perumahan semasa dan mengenakan beberapa bentuk kawalan ke atas harga rumah.

    Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata dasar baharu ini adalah untuk meningkatkan bekalan rumah mampu milik serta memenuhi keperluan perumahan untuk bukan sahaja kumpulan berpendapatan rendah tetapi juga berpendapatan sederhana.

    Selain itu, katanya adalah untuk meningkatkan spesifikasi minimum unit rumah kos rendah sebelum ini ke arah memenuhi jangkaan dan keperluan pembeli rumah yang lebih tinggi.

    “Di bawah dasar ini, pemaju perumahan swasta dikehendaki membina rumah mampu milik sehingga 30 peratus daripada jumlah yang dibangunkan, terutama rumah teres jika keluasan tanah yang dimajukan adalah 10 ekar ke atas.

    “Rumah mampu milik adalah dibahagikan kepada dua kategori iaitu Skim Perumahan Khas Rakyat (SPEKTRA) Lite dan Medium,” katanya semasa menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Perumahan dan Urbanisasi pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

    Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan Urbanisasi menambah, dasar baharu ini juga telah menghapuskan istilah rumah kos rendah kerana ia menimbulkan stigma negatif di kalangan orang ramai.

    Menjelas lanjut, beliau berkata ciri-ciri utama dasar baharu ini adalah rumah teres SPEKTRA Lite harus berharga tidak melebihi RM100,000 bagi lot tengah dan tidak melebihi RM120,000 bagi lot tepi manakala SPEKTRA Medium tidak melebihi RM135,000 bagi lot tengah dan tidak melebihi RM168,000 bagi lot tepi.

    “Unit perumahan ini harus dijual kepada individu seperti yang diluluskan oleh Kementerian Perumahan dan Urbanisasi untuk memastikan penjualan rumah sedemikian dikawal dan dikuatkuasakan dengan betul bagi mengelak penyalahgunaan kuasa dan peruntukan,” katanya.

    Beliau menambah, saiz unit perumahan juga telah diperbesarkan daripada saiz minimum asal 444 kaki persegi di bawah dasar perumahan kos rendah lama kepada minimum 700 kaki persegi, menjadikan unit perumahan baharu ini lebih luas, selesa dan kondusif yang merangkumi tiga bilik tidur berbanding dua bilik seperti sebelum ini.

    Katanya pemaju swasta yang bercadang memajukan tanah untuk membina flat, pangsapuri, kondominium atau rumah bandar juga perlu membina peratusan tertentu daripada projek mereka untuk membina rumah mampu milik jika keluasan tanah yang dimajukan adalah empat ekar dan ke atas.

    Pada masa sama, beliau berkata flat mampu milik juga mesti diletakkan harga tidak melebihi RM120,000 seunit dengan kawasan lantai minimum 700 kaki persegi.

    Sementara itu, Abang Johari menyatakan bahawa kerajaan negeri juga telah meminda kepadatan bagi pembangunan perumahan di empat bandar utama iaitu Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu untuk memastikan penggunaan tanah yang lebih optimum dan mengimbangi kekurangannya di pusat bandar yang telah menyebabkan kenaikan harga tanah.

    “Kepadatan baharu bagi rumah biasa adalah 10 unit seekar berbanding lapan unit seekar sebelum ini manakala bagi flat, pangsapuri, kondominium dan rumah bandar, ia adalah 30 unit seekar berbanding 24 unit seekar di bawah dasar lama.

    “Peningkatan kepadatan akan membolehkan lebih banyak unit perumahan mampu milik dibina dan pada masa sama, membantu mengurangkan kenaikan harga rumah yang tidak wajar,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri juga telah merangka kriteria kelayakan bagi pemilikan rumah SPEKTRA untuk memastikan mereka yang dapat memohon adalah pembeli rumah yang berhak dan layak di kalangan kumpulan berpendapatan rendah hingga sederhana selain membantu mencegah spekulasi hartanah.

    Jelas beliau bagi SPEKTRA Lite dengan harga maksimum antara RM100,000 hingga RM120,000 seunit, mereka yang layak memohon adalah yang mempunyai pendapatan kasar bulanan seisi rumah sebanyak RM4,000 ke bawah manakala mereka yang berminat membeli SPEKTRA Medium dengan harga antara RM135,000 hingga RM168,000 seunit harus mempunyai pendapatan kadar bulanan seisi rumah sebanyak RM5,000 ke bawah.

    Malah, katanya pemilik rumah kos rendah sekarang juga dibenarkan membeli SPEKTRA Medium jika mereka berhasrat untuk memiliki sebuah unit yang lebih baik dan besar dengan syarat mereka memenuhi kriteria kelayakan SPEKTRA. - UB