Bengoh adalah nama sebuah perkampungan Bidayuh dari suku kaum Biatah terletak di hulu Padawan, Perjalanan dari Bandaraya Kuching ia mengambil satu jam lebih untuk sampai ke Bengoh.

Bengoh kini merasai pembangunan apabila sebuah empangan takungan bekalan air sudah siap dibina. Empangan Bengoh akan menjadi nadi sumber bekalan air bersih untuk kawasan berhampiran dan bahagian Kuching serta Samarahan.

Bukan mudah untuk membina sebuah projek berskala besar yang memberi kepentingan kepada rakyat. Cabaran demi cabaran harus ditempohi dengan gigih. Lebih-lebih lagi cabaran tersebut datang daripada pihak pembangkang yang cuba menghasut minda rakyat.

Beberapa bulan lepas pihak pembangkang cuba bermain isu keretakan yang terdapat pada struktur empangan Bengoh. Dengan pantas pihak Ketua Jurutera Konsultan Augustine Ting menyatakan bahawa masalah struktur binaan yang dikatakan terjejas atau keretakan hanyalah sambungan yang sengaja dibuat bagi menyokong kepada struktur binaan yang lain. (Not cracking but opening of joint).

Tinjauan sarawakiana ke empangan Bengoh tempoh hari mendapati projek berkenaan sudah siap keseluruhannya, sekaligus menafikan kenyataan yang di sebarkan oleh pembangkang sebelum ini.

Hakikatnya Empangan Bengoh sedang dalam proses menakung air, Setakat ini paras air sudah mencecah paras 73 kaki.

Menurut sumber, apabila paras air sudah ke paras 100 kaki berkemungkinan bermulanya proses membekal air bersih ke kediaman yang disasarkan. Jelas apa yang dinyatakan oleh pembangkang hanya cerita hendak menakut-nakutkan rakyat selama ini.

Pembinaan empangan Bengoh bermula pada 2007 meliputi kos RM320 juta telah mengalami berbagai-bagai dugaan yang melewatkan penyiapan projek. Empangan Bengoh mampu menyalurkan 130 juta mililiter air ke loji Batu Kitang seterusnya membekal air bersih ke Kuching.

Dengan kemampuan mengeluarkan 2,047 juta liter sehari, masalah berkaitan air akan dapat diselesaikan. Pada ketika ini keseluruhan data-data projek telah diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya dan masa beroperasi hanya akan menunggu lampu hijau daripada agensi berkenaan.
BINTULU: Kekerapan Perdana Menteri melawat dan membawa pembangungan ke negeri ini, telah menjadikan Sarawak negeri terpenting di Malaysia.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Adenan Satem berkata perkara itu boleh dilihat melalui perhatian berterusan dari Perdana Menteri, Datuk Patinggi Najib Tun Razak yang sering melawat Sarawak untuk melihat sendiri perkembangan projek yang dirancang kerajaan.

Beliau yang berterima kasih kepada Perdana Menteri memberitahu, kekerapan Najib membuat lawatan ke Sarawak telah melebihi Perdana Menteri sebelum ini.

“Ini adalah bukti kerjasama baik antara kerajaan pusat dan negeri, dan jika kita mahukan pembangunan yang berterusan, inilah faktor yang penting.

“Urusan kita menjadi lebih mudah kerana Petra Jaya dan Putrajaya diperintah oleh kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya ketika berucap dihadapan lebih 15 ribu hadirin dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat disini hari ini.

Menyentuh tentang hak-hak Sarawak yang telah termaktub, Adenan berkata, atas faktor hubungan baik itu juga beliau dan Perdana Menteri dengan hati terbuka membincangkan semula hak-hak Sarawak dengan jayanya.

"Kami telah berbincang berkenaan penurunan kuasa dan 13 perkara telah dipersetujui dalam perbincangan fasa pertama," ujar.

Beliau menambah, Perdana Menteri menyambut baik usul penurunan kuasa yang melibatkan hak-hak autonomi Sarawak, serta sama-sama memikirkan bagaimana untuk mencapai keputusan yang terbaik di antara pusat dan negeri. - Sarawakiana
SADONG JAYA : Penduduk Sadong Jaya dan Simunjan berharap dengan siapnya Jambatan Sadong akan turut mengubah kehidupan mereka.

Jambatan yang menelan kos RM213 juta yang merangkumi 1.48 kilometer panjang itu telah dibina pada 2012 dan dijangka siap pada Ogos 2016.

Senah Seli, 40 menyatakan beliau begitu gembira bila melihat jambatan tersebut dibina.

"Saya berharap dengan siapnya jambatan ini akan memudahkan perjalanan mengunjungi keluarga di seberang tanpa mengira masa,"katanya.

"Selama ini hanya masa tertentu sahaja dapat menjenguk keluarga di seberang," kata Senah yang menetap di Sadong Jaya.

Bunyau Imbun, 35, berharap Kerajaan akan menyediakan tapak perniagaan yang selesa bagi memudahkan masyarakat setempat berniaga apabila siap jambatan kelak.

"Kaum iban di Sungai Bulu lebih gemar memasarkan hasil kebun mereka dan amat memerlukan tempat berniaga yang selesa berdekatan jambatan," katanya yang telah lama menetap di Sungai Buloh.

Bunyau berterima kasih kepada kerajaan kerana menrealisasikan impian mereka untuk melihat sebuah jambatan dibina di kawasan mereka agar mereka dapat menjenguk ahli keluarga mereka di Simunjan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini melawat Batang Sadong melihat sendiri perkembangan projek pembinaan Jambatan Batang Sadong hari ini.- Sarawakiana

BINTULU: Sarawak bukan sahaja bakal menyaksikan pembinaan jambatan terpanjang di negeri ini, malah pembinaan Jambatan Batang Lupar di Sri Aman akan menjadi nadi utama pembangunan kawasan pesisir sekiranya rancangan berkenaan berjaya dilaksanakan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dalam beberapa siri lawatannya ke negeri ini beliau mendapati betapa perlunya ‘connectivity’ (perhubungan) untuk memajukan kawasan pesisir, justeru beliau mencadangkan pembinaan Jambatan Batang Lupar untuk merancakkan lagi aktiviti ekonomi dan pembangunan di kawasan tersebut.

“Selain membina Lebuhraya Pan Boneo, kita juga akan melengkapkan rangkaian jalan pesisir dengan membina Jambatan Batang Lupar.

“Saya minta kerajaan negeri membiayai 50 peratus kos pembinaan jambatan itu nanti, dan selebihnya akan dibiayai kerajaan pusat,” kata Najib ketika berucap di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Suarah Bintulu hari ini.

Dianggarkan lebih 15 ribu penduduk Bintulu dan kawasan sekitarnya menghadiri majlis tersebut.

Beliau menambah, cadangan pembinaan Jambatan Batang Lupar akan dimasukkan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN) Sarawak yang akan datang.

Terdahulu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Adenan Satem dalam ucapannya berkata cadangan pembinaan Jambatan Batang Lupar adalah idea spontan Perdana Menteri ketika dalam perjalanan kembali dari meninjau projek pembinaan Jambatan Batang Sadong pagi tadi.

Menurut Adenan, kos sebenar pembinaan jambatan berkenaan belum dapat dipastikan namun beliau membayangkan bakal mencecah sehingga RM1 billion berdasarkan lebarnya sungai Batang Lupar.

Perdana Menteri turut meyakinkan, beliau akan berusaha mendapatkan sumber kewangan bagi memastikan projek itu terlaksana. - Sarawakiana

Simunjan : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukkan sebanyak RM2 juta untuk pembangunan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ladong dimana antara sekolah luar bandar yang memerlukan penambahbaikan infrastruktur dengan segera.

Katanya dengan mengunakan kaedah Sistem Bangunan Berindustri (IBS), projek tersebut dijangka dapat disiapkan dalam tempoh lima minggu termasuklah pembinaan enam bilik darjah, dua kuarters guru baharu serta sebuah makmal sains.

“Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha gigih kerajaan membawa pembangunan ke Sarawak, terutama buat sekolah-sekolah di luar bandar yang sangat memerlukan bangunan-bangunan baharu,”



Beliau berkata sedemikian semasa menghadiri Taklimat Pembinaan SK Sungai Ladong selepas membuat tinjauan rasmi ke tapak pembinaan sekolah di sini pagi tadi.

Perdana Menteri yang berada di Kuching sejak semalam mengadakan lawatan kerja beliau di Sarawak selama dua hari.

Turut sama hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri merangkap Ahli Parlimen Batang Sadong, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahadzir Khalid, Timbalan Ketua Menteri, Alfred Jabu Numpang dan ADUN N.22 Sebuyau Julaihi Narawi.- Sarawakiana

SIBU: Deputy Prime Minister Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi is confident that Sarawak's 15-year Social Economic Transformation Programme with its focus more on rural transformation which beginS this year will succeed.

He said this was because its people although they came from many racial origins and religious backgrounds, had always been united.

"There is no issue about racial differences in Sarawak. I am very happy with this," he said at an all-communities dinner in honour of his visit to this town beginning Friday night.

He said apart from having very good leaders, the state had among the country's top businessmen who would support the programme.

"Some of our top businessmen in Malaysia come from Sarawak. For instance, the Foochows of Sibu are known to do big business in the world like like Tan Sri Tiong Hew King of the Rimbunan Hijau Group," he said.

Zahid again reminded the people in the state not to be extremist in practising their religions as one way to preserve the existing unity and harmony.

"Islam for example never taught its followers to destroy others or to hate other religions. It is a religion of peace.

"We must respect other religions if we want others to respect our religion," he said.

He added that Malaysians must uphold their spirituality and not just focus on physical development.

On the coming Sarawak 11th state election, he urged the people to give their fullest support to the Sarawak Chief Minister Tan Sri Adenan satem whom he described as a very good and popular leader.

"Your support will allow him to continue with his work of making Sarawak flourish and by 2030 it can be the most developed state in the country," he added.

-- BERNAMA

GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR: Angin kencang dan laut bergelora dijangka berlaku di perairan luar pantai negeri-negeri pantai timur serta Sarawak dan Sabah mulai Selasa (2 Feb) hingga Sabtu (6 Feb).

Kawasan yang terjejas ialah Kelantan, Terengganu, Pahang, timur Johor, Sarawak, Labuan, Kudat dan pantai barat dan pedalaman Sabah, menurut Jabatan Perkhidmatan Meteorolgi Malaysia dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ia menyatakan angin kencang timur laut selaju 40 hingga 50 km/jam dan ombak setinggi hingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan berkenaan.

"Keadaan angin kencang dan luat bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai, bot nelayan dan perkhidmatan feri," kata kenyataan itu.

Keadaan cuaca yang serupa dijangka berlaku di Samui, Tioman, Bunguran, Layang-Layang, Reef South, Kuching, Palawan dan Labuan pada tempoh yang sama.

Sementara itu, di Condore dan Reef North, keadaan cuaca dijangka berlaku mulai Isnin (1 Feb) hingga Sabtu.

Paras air laut juga dijangka meningkat di kawasasn pantai Kelantan, Terengganu, Pahang dan timur Johor sehingga Khamis.- BERNAMA

KUCHING: Kerja-kerja baik pulih talian transmisi Kemena-Selangau 275kV yang mengalami kerosakan di sepanjang Sungai Tatau yang dijadualkan hari ini, ditangguh berikutan keadaan cuaca buruk di Tatau, Bintulu.

Sarawak Energy Bhd (SEB) dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata kerja baik pulih itu akan diteruskan esok sekiranya keadaan cuaca mengizinkan dan selamat untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun, sekiranya cuaca buruk berterusan, kerja-kerja baik pulih akan dijadualkan semula ke hari berikutnya.

"Perhatian rapi diambil kira dalam perancangan kerja baik pulih itu bagi memastikan ia disiapkan dalam masa sesingkat mungkin dan untuk mengelakkan gangguan bekalan ketika pelaksanaan (kerja pembaikan)," katanya.

Syarikat itu berkata walaupun langkah berjaga-jaga diambil, masih ada risiko terhadap kerja pembaikan itu dan Sarawak Energy telah menyediakan pelan mitigasi sepenuhnya sekiranya terdapat gangguan.

Sarawak Energy akan mengemas kini keadaan menerusi akaun rasmi Twitter @1SarawakEnergy dan pelanggan juga dinasihatkan supaya menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Sarawak Energy di talian 1300 88 3111 untuk sebarang pertanyaan.

Dalam kenyataan semalam, SEB berkata bahagian Kuching, Sibu dan Mukah dijangka akan mengalami gangguan bekalan elektrik dari 7.30 pagi hingga 5 petang hari ini, berikutan kerja-kerja baik pulih oleh anak syarikatnya, Sesco Berhad pada talian transmisi yang rosak pada 23 Jan lepas.- BERNAMA

KUCHING: PAS hari ini mengakui kepimpinan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem menyukarkan pembangkang menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali berkata hasil tinjauan rambang mendapati masih sukar bagi pembangkang mengatasi Barisan Nasional (BN) Sarawak pada pilihan raya negeri ke-11 itu.

"Jika ditanya senario politik ketika ini bagaimana serta kemungkinannya, sejujurnya selama saya berada di Sarawak, saya pun ada bertanya secara rambang bukan tinjauan khusus, dan berdasarkan tinjauan yang kita lakukan, nampaknya masih sukar bagi pembangkang menang pada PRN nanti," katanya.

Mustafa berkata sebagai anggota sebuah parti pembangkang, beliau sepatutnya tidak boleh menyebut sebegitu, namun beliau bersikap realistik tentang apa yang didengar daripada rakyat Sarawak.

"Mereka.. (rakyat) Sarawak kata tentang ini...saya gunakan istilah yang mereka guna 'terdapat beberapa perkara baik tentang Ketua Menteri'...itu kata mereka (rakyat). Ini bermakna tidak mudah (bagi pembangkang), namun PAS optimis mencapai atau berjaya menang satu kerusi pada PRN nanti," katanya.

Ketika diminta mengulas sama ada beliau memuji kepimpinan Adenan, Mustafa berkata: "saya tidak puji, tetapi saya kata apa yang saya dengar daripada rakyat Sarawak.

"Mereka (rakyat) kata, ada faktor-faktor yang baik tentang Adenan. Saya tanya pasal apa? Mereka kata ada program-program yang dahulunya tidak buat tetapi sekarang dibuat...itu kata mereka.

"Kalau begitu persepsi rakyat, ertinya tidak mudah bagi pembangkang mengalahkan BN untuk kuasai negeri," katanya.- BERNAMA

KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini hari Sabtu untuk lawatan kerja dua hari ke Sarawak.

Ketibaan beliau disambut Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Turut menyambut ketibaan beliau Menteri-menteri Kabinet Persekutuan dari Sarawak, Menteri-menteri Negeri, Pegawai-pegawai kerajaan dan ketua-ketua masyarakat.

Terdahulu, pesawat khas yang membawa Najib mendarat kira-kira 5.30 petang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Malam ini Najib akan menghadiri Majlis Jamuan bersama pimpinan Barisan Nasional Negeri di bangunan Dewan Undangan Negeri.

Esok, Najib akan melakukan walkabout dan mendengar taklimat pembinaan di Sekolah Kebangsaan Sungai Ladong di Simunjan.

Beliau kemudiannya dijadual meninjau projek jambatan Batang Sadong.

Najib akan berlepas ke Bintulu untuk menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Suarah Bintulu.- BERNAMA

SIBU: Isteri Ketua Menteri Sarawak Puan Sri Jamilah Anu merupakan antara tiga personaliti yang dianugerahkan pangkat Timbalan Pesuruhjaya Rela Kehormat pada sambutan Ulang Tahun Ke-44 Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) peringkat kebangsaan di Dataran Perbandaran Sibu 2 di sini hari ini.

Dua lagi penerima ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Datuk Amar Awang Asfia Awang Nassar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohammad Moshidi Abdul Ghani.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dalam lawatan dua hari ke negeri ini, dan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem menyempurnakan pemakaian pangkat kehormat itu kepada mereka.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Rela Datuk Kamariah Mohd Noah.

Terdahulu, ketika berucap, Kamariah berkata semua rekrut baru Rela akan tertakluk kepada pemeriksaan yang ketat daripada polis, anti-dadah dan Jabatan Pendaftaran Negara untuk memastikan mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau atau penyalahgunaan dadah serta merupakan warganegara Malaysia.

"Kita amat menitikberatkan pengambilan anggota yang tepat. Kita hanya mahukan anggota yang berkualiti dan berdisiplin kerana kita sedang berhadapan dengan tanggungjawab dan tugas yang semakin mencabar di negara ini," katanya.

Kamariah berkata beliau gembira apabila setakat ini, 24 kementerian dan jabatan telah melantik anggota Rela untuk menjaga keselamatan mereka.

"Ini menunjukkan pergerakan ini semakin mendapat pengiktirafan yang sewajarnya," katanya.- BERNAMA

SINGAPURA – Berita baik penggemar fenomena bintang-bintang yang berkerdipan di angkasa. Minggu ini, Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) boleh dilihat di langit – berserta planet Jupiter, Zuhal, Marikh, Zuhrah dan Utarid.

Menurut laman Facebook Pusat Pencerapan Pusat Sains Singapura, ISS berjaya dilihat di langit negara itu dan jirannya, Malaysia pada 30 Januari 2016 antara 6.02 pagi dan 6.05 pagi, ketika ia bergerak merentasi angkasa.

“ISS dapat dilihat sebagai cahaya amat terang – hampir seterang planet Jupiter – di ufuk di bawah Zuhrah,” menurut pusat sains itu dalam kenyatan yang dipetik akhbar tempatan TODAY dan agensi berita MediaCorp.

Pusat Sains Singapura menyatakan, disebabkan satelit kebetulan bergerak dengan begitu pantas, penting untuk mendapatkan jam yang diselaraskan agar tidak terlepas menyaksikan ISS di langit pada waktu ditetapkan.

Satu lagi panduan yang diberikan pusat tersebut – selaraskan jam anda dengan unit GPS, atau menerusi jam-jam online, supaya kita tidak terlepas daripada menyaksikannya secara langsung di depan mata kasar sendiri.

Menurut pusat sains itu lagi, pada pagi 31 Januari, ISS dapat dilihat lagi di langit, namun ia akan berada di kedudukan agak rendah di ufuk atau kaki langit sebelah timur apabila proses alamiah matahari terbit.

Namun, orang ramai mungkin berpeluang menyaksikan ISS sekali lagi pada pagi Isnin antara 5.55 pagi dengan 5.58 pagi. ISS akan kelihatan terang seperti penampilan Zuhrah di langit Singapura ini sejak beberapa hari ini.

Sejak 20 Januari 2016 minggu lalu, penduduk di Singapura dan Malaysia dapat menyaksikan planet Jupiter, Marikh, Zuhal, Zuhrah dan Utarid di langit dengan mata kasar – sesuatu yang unik jarang dapat dilakukan.

Kelima-lima planet itu dapat dilihat secara serentak di langit buat pertama kali dalam tempoh sedekad – sehingga 20 Februari depan. Kejadian sedemikian bagaimanapun mungkin akan berlaku lagi pada Ogos tahun ini.

Lebih istimewa lagi, pada 27 Januari 2016, selain lima planet itu, bulan turut dapat dilihat di langit dan menurut Persatuan Astrologi Diraja Britain, lima planet itu tidak dapat dilihat serentak di langit sehingga Oktober 2018.

Pensyarah Kanan Jabatan Fizik di Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr. Cindy Ng, berkata, penampilan kelima-lima planet tersebut secara sebaris serentak itu sebenarnya merupakan satu “acara istimewa.”

“Selalunya, kita dapat lihat kelima-lima planet itu di langit pada sebelah malam tetapi pada waktu-waktu berbeza. Jadi ini sesuatu yang istimewa untuk menyaksikan kelima-lima planet pada masa yang sama,” katanya.

Pusat Sains Singapura dalam pada itu menyatakan, waktu terbaik untuk menyaksikan kesemua lima planet berkenaan ialah sekitar 6 pagi, dan antara tempat terbaik untuk menyaksikannya ialah di East Coast Park.

Kelima-lima planet tersebut juga dapat dilihat di langit terus daripada rumah, selain kita boleh menyaksikannya dari tempat yang tinggi tetapi dengan syarat mesti tanpa sebarang hadangan menghala ke ufuk timur.

Lagi satu peluang yang baik untuk menyaksikan kesemua lima planet itu ialah pada hujung minggu sebelum Tahun Baharu Cina. Inilah masa paling baik melihat Utarid, yang terletak berhampiran bulan dan Zuhrah.

Dr. Ng juga menyarankan penggunaan aplikasi mudah alih ilmu falak untuk mengesan lokasi planet itu di langit pada malam hari namun seseorang mampu menyaksikan fenomena ini, jika tahu yang mana satu adalah planet.

Secara umum, planet tidak kelihatan berkerdipan seperti bintang. Zuhrah tampil sebagai planet paling terang, disusuli dengan Jupiter, dan kedua-duanya kelihatan lebih terang berbanding semua bintang di langit.

“Marikh kelihatan seperti kemerah-merahan, malah kedua-dua Marikh dan Zuhal kelihatan samar-samar, manakala Utarid kelihatan amat samar-samar kerana amat berhampiran dengan matahari.

“App ilmu falak boleh digunakan untuk mengesan lokasi planet-planet di langit pada malam hari. Banyak aplikasi seperti ini percuma dan mudah digunakan,” kata Dr. Ng. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

SIBU: Anggota pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) boleh menjadi "mata dan telinga" pasukan keselamatan negara ini dalam menentang ancaman Daesh dan jenayah, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata ini kerana pasukan itu mempunyai anggota di seluruh negara, termasuk di kampung dan penempatan yang jauh dari bandar.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri sambutan Ulang Tahun Ke-44 RELA peringkat kebangsaan di Dataran Perbandaran Sibu 2 di sini hari ini.

"Di Sarawak sahaja, RELA mempunyai 332,818 anggota dan merupakan pasukan yang tidak boleh dipandang ringan.

"Sudah tentu kewujudan mereka sangat membantu Polis dan pasukan tentera dalam manangani masalah moden (ancaman Daesh) ini, yang sedang dihadapi negara," katanya.

Ahmad Zahid berkata, RELA kini dianggap sebagai barisan kedua dalam mempertahankan negara.

Pada majlis itu, beliau juga memberi jaminan kepada anggota RELA bahawa kerajaan akan terus memberi bantuan untuk membolehkan mereka menunaikan tanggungjawab dengan berkesan.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, yang turut hadir pada majlis itu, kerana bersetuju menyediakan peruntukan RM4 juta bagi membantu RELA.

Mengenai pilihan raya negeri Sarawak akan datang, Ahmad Zahid berkata beliau berharap semua anggota RELA akan terus memberi sokongan padu kepada kerajaan negeri.

"Ketua Menteri telah menunjukkan bahawa beliau amat menyenangi pergerakan ini. Marilah kita memberi sokongan penuh kepada beliau untuk menerajui negeri ini sekali lagi kerana beliau telah mempamerkan prestasi yang cemerlang," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Adenan berkata negara sedang berdepan dengan ancaman baharu dan lebih menggerunkan daripada militan Daesh.

"Mereka menyalahgunakan agama Islam dan menggunakannya mengikut sesuka hati mereka untuk melakukan jenayah kejam seperti membunuh manusia yang tidak bersalah serta melakukan serangan bom bunuh diri.

"Saya berharap RELA di seluruh negara boleh membantu memerangi mereka," katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa tidak boleh ada sebarang kompromi dalam menentang pengganas moden ini.

Kira-kira 10,000 anggota RELA dari 33 daerah di negeri ini menyertai sambutan itu. - BERNAMA

KOTA BELUD: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima pelbagai aduan daripada orang ramai mengenai penyalahgunaan perkhidmatan komunikasi dan media sosial yang perlu diambil tindakan sewajarnya, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata antara aduan yang dikemukan orang ramai ialah perbuatan individu tertentu yang memuat naik kandungan bersifat ofensif dalam laman sesawang dan blog.

Menurut beliau, SKMM memandang serius perbuatan keji "yang bertujuan menghina dan menyemai kebencian terhadap institusi kerajaan".

"Saya ingin mengingatkan orang ramai bahawa adalah menjadi suatu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memuat naik sebarang komen, permintaan, syor atau komunikasi bersifat lucah, tidak senonoh, mengancam atau menyerang dengan niat untuk menyakitkan hati, menyalahguna, mengancam atau mengasari orang lain, " katanya kepada Bernama selepas menghadiri majlis bersama rakyat di sini hari ini.

Salleh, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Usukan, berkata demikian apabila diminta mengulas tindakan SKMM menyekat dan mengambil tindakan terhadap individu tertentu yang didakwa menyalahgunakan media sosial.

Baru-baru ini, SKMM melancarkan operasi untuk mengambil tidakan terhadap individu yang disyaki memuat naik kandungan bersifat ofensif ke dalam akaun media sosial mereka.

Operasi itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia susulan aduan orang ramai mengenai perbuatan menyalahgunakan perkhidmatan komunikasi dan media sosial.- BERNAMA

LUNDU: Dua pekerja lelaki Lembaga Pelindungan dan Pemuliharaan Tanah Sarawak (Salcra) maut dalam nahas melibatkan sebuah lori dan kenderaan jenis pacuan empat roda berdekatan Kampung Sebigo di Jalan Lundu- Sematan di sini pagi tadi.

Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak, Farhan Sufyan Borhan berkata dua mangsa yang maut merupakan penumpang dan pemandu kenderaan empat roda terbabit yang dikenali sebagai Duda Lazi, 59, berasal dari Kampung Setunggang Dayak, Lundu dan Goeng Nyaw, 49, berasal dari Kampung Jagoi Serasot, Bau.

"Kemalangan sekitar jam 10 pagi itu berlaku apabila kedua-dua kenderaan tersebut yang datang dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan lalu bertembung," katanya.

Menurut Farhan, ketika pasukan bomba dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Lundu tiba di tempat kejadian didapati dua mangsa terperangkap dan tidak sedarkan diri di dalam kenderaan pacuan empat roda berkenaan, manakala seorang lagi penumpang (belakang) terselamat.

"Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak ambulans, tetapi disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik," kata Farhan.

Katanya mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Lundu untuk bedah siasat dan punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan.

Pemandu lori terlibat bagaimanapun terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.- BERNAMA

KUCHING: PAS akan meletakkan calon di 11 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dan bersedia menentang mana-mana calon termasuk daripada DAP, kata pengarah Pilihan Raya Pas Datuk Mustafa Ali.

Beliau berkata sembilan daripada kerusi itu merupakan kawasan lama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, manakala baki dua lagi kerusi merupakan kawasan baharu Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri bagi Sarawak yang menyaksikan pertambahan 11 kerusi DUN di negeri ini.

Katanya keputusan PAS untuk bertanding di 11 kerusi tersebut juga telah dibincangkan bersama PKR kerana PAS masih mempunyai hubungan dengan parti itu dan tiada perbincangan diadakan dengan DAP.

"Setakat perbincangan dengan PKR, kita tidak mahu ada pertindingan kerusi dengan mereka (PKR), tetapi yang lain boleh bertindih...tiada masalah sebab kita tidak ada hubungan dengan mereka.

"Kita akan bertanding di 11 DUN, PAS akan meletakkan calon daripada pelbagai latar belakang termasuk profesional, agamawan dan juga usahawan. Pada PRN Sarawak, PAS juga akan meletakkan seorang calon bukan Islam di kerusi DUN yang baharu diluluskan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, Mustafa bersama beberapa pimpinan PAS pusat dan negeri menghadiri mesyuarat Pilihan Raya Pusat berkenaan PRN Sarawak di sini.

Turut hadir Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee dan Setiausaha PAS Sarawak Mukhtar Suhaili.

Mengulas lanjut, Mustafa berkata PAS Sarawak akan menghantar senarai calon PRN negeri kepada Majlis Syura PAS untuk pertimbangan pertengahan Februari nanti.

"Majlis Syura akan semak calon ini, kelayakan mereka untuk bertanding, sebelum meluluskan penempatan mereka. Perbincangan mengenai calon-calon ini akan turut diadakan menerusi perbincangan dengan PAS Sarawak," katanya.

Sementara itu, Mustafa berkata pengumuman oleh Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem semalam bahawa PRN negeri akan diadakan pada April amat di alu-alukan.

Katanya PAS menjangkakan PRN Sarawak akan diadakan pada Mac tetapi dengan berita yang diumumkan oleh Adenan itu memberi indikasi terbaharu persediaan pilihan raya PAS.- BERNAMA

SIBU: Tan Sri Adenan Satem menjelaskan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi Pilihan Raya Negeri Ke-11 yang diumumkannya dalam majlis di Kuching malam tadi, hanya cadangan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ketua Menteri Sarawak itu berkata, cadangan berkenaan dikemukakan pada pertemuan tidak rasmi dengan beberapa ahli SPR, baru-baru ini.

"Saya tidak melangkau SPR berhubung tarikh berkenaan kerana itu bidang kuasa mereka, bukannya saya.

"Saya ulangi, ia hanya cadangan yang dibuat pada pertemuan tidak rasmi dengan beberapa ahli SPR," katanya.

Adenan berkata demikian pada sidang media selepas sambutan Hari RELA Ke-44 di Dataran Sibu, di sini, hari ini.

"Saya tahu bidang kuasa SPR untuk mengumumkan tarikh pilihan raya selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Saya berharap, penjelasan ini akan menyelesaikan keseluruhan isu ini," katanya.

Ketika menghadiri majlis anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Satok malam tadi, Adenan dilaporkan membuat pengumuman 18 April sebagai tarikh penamaan calon dan 30 April hari pengundian PRN-11.- BH
FOTO: Mohd Radzi Bujang

SIBU: Lebih 320,000 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Sarawak menerima peruntukkan RM8 juta untuk membeli pakaian seragam lengkap daripada Kerajaan Persekutuan dan negeri.

Pengumuman peruntukkan itu dibuat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem pada Majlis Sambutan Hari RELA Ke-44 di Dataran Sibu, sebentar tadi.

Terdahulu, Adenan mengumumkan peruntukkan RM4 juta untuk anggota RELA Sarawak bagi membeli pakaian seragam lengkap, diikuti pengumuman oleh Zahid.


Zahid berkata, pada tahun lalu, Kerajaan Persekutuan dan negeri masing-masing menyumbangkan RM2 juta dan pada tahun ini menambah RM4 juta.

"Ketika ini, kita ada RM12 juta tetapi jumlah itu tidak cukup untuk membeli pakaian seragam lebih 320,000 anggota RELA di negeri ini.

"Kita memerlukan kira-kira RM20 juta. Jika Ketua Menteri, Adenan bersedia menambah RM4 juta... saya akan bagi juga RM4 juta," katanya.

Pada sambutan Hari RELA ini, Isteri Ketua Menteri Puan Sri Jamilah Anu dianugerahkan pangkat Timbalan Pesuruhjaya RELA (Kehormat).

Turut dianugerahkan pangkat yang sama,Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani.- hmetro.com
Foto: Nadim Bakhari

SIBU: Kemudahan asas termasuk kuarters kediaman anggota di Batalion 10 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kem Lanang di sini, perlu dipertingkat berikutan keadaannya yang semakin usang, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pencapaian pasukan berkenaan diiktiraf antara Batalion PGA terbaik negara, namun kemudahan di kem yang dibina pada tahun 1968 dengan sebahagian besar struktur daripada kayu itu amat menyedihkan.

"Keadaan kem ini amat teruk. Sebelum ini saya hanya mendengar taklimat mengenainya ketika berkunjung ke Kuching dan Sibu tetapi hari ini saya melihat sendiri keadaannya.

"Kem ini memerlukan perhatian utama untuk dinaik taraf," katanya selepas melawat kem berkenaan, pagi tadi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, turut mengumumkan peruntukan RM100,000 untuk menaik taraf surau dan RM100,000 bagi menaik taraf gereja dalam kem berkenaan.

Beliau berkata, lebih banyak peruntukan akan disalurkan untuk menaik taraf kemudahan dalam kem berusia 47 tahun itu. - BH

KUALA LUMPUR: Pertemuan semula rakan-rakan sekolah atau reunion dan kewujudan media sosial seperti Facebook kini menjadi virus utama dalam memporak-perandakan kehidupan pasangan berumahtangga.

Kenyataan tersebut diakui oleh pelawak Salih Yaakob, 55, yang menjadikan itu sebagai punca utama kenapa dia bercerai dengan isteri keduanya, Nor Raha Hamad, 47, pada September tahun lalu.

“Zaman Facebook, zaman khidmat pesanan ringkas (SMS) ini, orang suka sangat anjurkan sesi reunion dengan kawan-kawan sekolah. Mula-mula seronok sebab dapat imbau semula kenangan zaman sekolah, lelaki dan perempuan. Akhirnya, boleh jadi suka semula dengan kawan lama kita.

“Ini sangat bahaya sebab perkara ini boleh membawa kepada punca perceraian. Buktinya, itulah juga yang terjadi kepada saya dan isteri sehingga kami akhirnya berpisah. Selepas 23 tahun berkahwin, kami berpisah tidak lama selepas acara reunion sekolah dia,” jelas Salih kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tidak menafikan wujudnya orang ketiga dalam perceraian itu, menurut Salih, bekas isterinya itu telah berkahwin dengan lelaki tersebut sebaik sahaja tempoh edah berakhir pada penghujung 2015.

“Dia mula berubah sikap selepas bertemu semula dengan rakan-rakan lamanya semasa reunion dan ketika itu dia memberitahu yang dia sudah tawar hati dan mohon untuk dilepaskan. Oleh kerana hormat akan permintaan dia, maka saya menceraikan dia secara baik. Saya reda melepaskan dia kerana itu yang dia pilih. Pada usia 47 tahun, dia minta cerai dan saya perlu tunaikan kerana tidak mahu berdosa,” katanya.

Dalam pada itu, bapa kepada 13 orang anak ini berkata, dia sangat yakin akan ada hikmah di sebalik segala yang terjadi dalam kehidupannya dan isteri-isteri yang lain.

Menyifatkan kehidupannya dengan tiga isteri lain ketika ini berlangsung dalam suasana ‘tenang-tenang’ sahaja, Salih seakan tidak selesa ketika ditanya, adakah dia akan berkahwin seorang lagi bagi melengkapkan kuota perkahwinan empat seperti sebelum ini.

“Saya percaya, tentu ada sebab mengapa Allah mengaturkan perkara ini. Sebagai hamba Allah, kita perlu percaya dan menerimanya dengan yakin. Tak perlulah kita menghukum mana-mana pihak di sebalik perkara ini.

“Mengenai berkahwin lagi, benda ini tidak boleh diatur-atur atau dirancang. Saya tidak ada jawapan untuk soalan itu kerana saya tidak boleh meramalkan apa yang bakal terjadi pada masa depan, kita terima sahaja bahagian masing-masing yang sudah ditentukan oleh Allah,” katanya.

Tiga isteri yang masih setia dengan Salih ketika ini ialah Norlizah Mamat, 51, Norfara Wahida Sulaiman, 37, dan Samihah Syeikh Ali (30).

Hasil perkahwinan Salih dan Nor Raha, dikurniakan lima anak berumur antara 13 hingga 22 tahun, selain dua yang masih bersekolah. - Utusan Malaysia


ITALI: Sebuah bandar kecil yang terletak di pergunungan Wilayah Piedmont menyambut kelahiran seorang bayi baru selepas kali terakhir pada sekitar tahun 1980an.

Bayi Pablo menjadi penduduk paling muda di Ostana yang menjadikannya penduduk yang ke-85, lapor The Local.

Datuk Bandar Ostana, Giacomo Lombardo memberitahu The Local, ia adalah sesuatu yang mengembirakan selepas seorang bayi lahir di sini dan menunjukkan usaha kami untuk menambah populasi penduduk berhasil.

Giacomo berkata, 100 tahun lalu penduduk di situ berjumlah 1,000 penduduk dan populasi semakin menurun ke 700 selepas perang sekali gus menurun secara mendadak.

Untuk memastikan populasi semakin meningkat, Datuk Bandar telah menjalankan beberapa usaha untuk meningkatkan ekonomi bandar bagi menarik golongan muda.

Hari ini, bandar ini mempunyai dua restoran, sebuah kedai dan bar.

Kelahiran baru ini akan disambut dalam satu keraian pada Ahad.

Sementara itu, ibu bapa bayi itu, Jose Berdugo Vallelago dan Silvia Rovere, pelarian dari Sepanyol sebelum ini ingin berpindah ke Perancis namun menukar fikiran selepas majlis perbandaran Ostana menawarkan pekerjaan di bandar itu.

"Kami tidak pernah menyesal dengan keputusan yang diambil, bandar itu terasa seperti di negara sendiri," kata Jose Berdugo. - SH

NASKHAH yang mengangkat anak patung sebagai subjek penceritaan bukanlah baharu bagi filem dari barat.

Bahkan filem-filem sebegini mempunyai golongan peminat tersendiri.

Dek kerana itu jugalah filem-filem seperti Annabelle, Child’s Play, mendapat kutipan yang cukup memberangsangkan ketika ditayangkan. Terbaharu, masih mengekalkan anak patung sebagai subjek penceritaan, filem The Boy arahan William Brent Bell sudah mula menghantui peminatnya sejak ditayangkan 21 Januari lalu.

Filem yang membariskan gandingan pelakon seperti Lauren Cohan, Rupert Evans dan Ben Robson menyaksikan kemunculan patung porselin seperti kanak-kanak lelaki.

Sekali imbas, patung yang diberi nama Brahm ini tidak jauh bezanya dengan Annabelle.

Memiliki pandangan mata yang sayu tetapi tajam, ada ketikanya, apabila fokus beralih kepada Brahm, ia sudah cukup menimbulkan rasa berdebar dan seram apabila melihat ke matanya.

Secara keseluruhan, The Boy tidak banyak bezanya dengan filem seram lain seperti Annabelle dan Child's Play.

Permulaan cerita yang santai dengan latar belakang kawasan rumah agam yang menyeramkan sudah cukup memberi suntikan elemen seram, debaran dan penuh tanda tanya.

Filem The Boy mengisahkan Greta dari Amerika Syarikat, yang menerima tawaran sebagai pengasuh di satu rumah agam di pinggir kampung di England.

Sebaik saja tiba, dia terkejut kanak-kanak yang perlu dijaga bukan kanak-kanak sebenar, sebaliknya patung bersaiz kanak-kanak yang diperbuat daripada porselin.

Greta yang degil melanggar beberapa senarai yang perlu dilakukan untuk menjaga patung itu dan bermulalah gangguan demi gangguan yang akhirnya membuatkan Greta menyesal.

Melihat pada trailer dan seterusnya filem ini di pawagam baru-baru ini, penulis pada mulanya membayangkan jalan cerita The Boy tidak adalah gabungan penceritaan antara Annabelle dan Child's Play.

Bagaimanapun jangkaan penulis meleset apabila tiada unsur pemujaan yang jelas terhadap patung Brahm.

Yang ada hanyalah perubahan tempat duduk dan cara patung itu memandang seolah-olah dia mempunyai roh di dalamnya.

Bahkan ada ketikanya penulis seolah-olah memikirkan dia adalah patung dalam filem Mannequin (1987) yang mempunyai kuasa untuk hidup dan kemudian kembali menjadi patung.

Pendek kata semenjak Greta mula bekerja di rumah itu, sama seperti dia, penonton juga akan dipenuhi dengan pelbagai tanda tanya mengenai siapakah Brahm sebenarnya.

Pengakhiran tak dijangka

Lakonan mantap Lauren Cohan sebagai Greta biarpun dilihat tidak banyak meninggalkan kesan, namun masih berjaya mengemudi jalan cerita ini dengan baik.

Apatah lagi ada ketikanya hanya dia terlihat sebagai subjek penceritaan.

Berbalik kepada jalan penceritaan, pengakhiran yang tak terjangka membuatkan ada beberapa penonton merasa kurang berpuas hati, ada yang terkejut dan tidak kurang juga ada yang boleh menjangka pengakhirannya.

Namun pada pandangan penulis, pengakhiran yang berbeza itu sekali gus meletakkan The Boy berlainan dengan filem seram sedia ada.

Bagaimanapun filem The Boy masih sebuah filem yang berbaloi ditonton bagi anda yang meminati filem seram mahupun yang meminati filem berasaskan patung mainan.

Justeru bagi anda yang ingin mengetahui apakah pengakhiran filem ini, jangan lupa untuk menyaksikan The Boy di pawagam.

THAILAN: Pilihan raya umum Thailand yang dijadual pada pertengahan 2017 mungkin ditangguhkan selama beberapa bulan berikutan draf perlembagaan berhubung undang-undang asas berkaitan pilihan raya, belum siap digubal.

Pengerusi Jawatankuasa Penggubalan Perlembagaan (CDC) Meechai Ruchupan berkata, pihaknya memerlukan lebih banyak masa menggubal undang-undang asas mengenai pilihan raya, menyebabkan pilihan raya umum itu mungkin ditangguhkan.

"Jika perlembagaan tidak mempunyai undang-undang asas, maka pilihan raya tidak boleh diadakan, justeru tidak menjadi masalah jika (pilihan raya umum) perlu ditangguh selama beberapa bulan," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas memperkenalkan draf perlembagaan yang termasuk 270 artikel, di Parlimen di sini, hari ini.

Kerajaan pimpinan tentera di Thailand bercadang mengadakan pilihan raya umum pada pertengahan tahun depan, sebagai sebahagian daripada pelan tindakan ke arah demokrasi selepas rampasan kuasa tentera dua tahun lepas.

Pungutan suara mungkin diadakan pada pertengahan tahun ini, untuk menilai pendapat umum mengenai draf perlembagaan, sementara Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha telah menyatakan hasratnya tidak mahu berada lebih lama dalam kuasa pentadbiran.

Menurut Meechai, draf perlembagaan itu mengambil kira pendapat daripada semua lapisan masyarakat menggunakan pendekatan wawancara bersemuka serta memanfaatkan kaedah komunikasi moden termasuk media sosial.

Beliau berkata, CDC terbuka kepada semua pandangan dalam memuktamadkan penggubalan perlembagaan itu. CDC mempunyai 21 anggota yang dilantik oleh Majlis Kebangsaan bagi Keamanan dan Ketenteraman (NCPO) yang diketuai Perdana Menteri. - Bernama

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yakin Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan membawa kebaikan serta memberi kesan positif jangka panjang kepada rakyat dan negara dari segi pertumbuhan ekonomi.

Beliau berkata bukan mudah bagi kerajaan terutama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan pegawai-pegawai kerajaan menjalankan proses perundingan TPPA yang bermula sejak tahun 2010.

Katanya ia diikuti pula dengan lebih 300 sesi penerangan kepada pelbagai lapisan masyarakat mengenai TPPA sehinggalah perjanjian itu diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Proses perundingan bermula sejak tahun 2010 dan kita dapat lihat kesungguhan dan ketegasan mereka ketika perundingan dalam mempertahankan bukan sahaja kepentingan negara malah agenda bumiputera juga,” kata beliau menerusi catatan dalam blognya, NajibRazak.com.

Katanya anggota-anggota TPPA kini menerima dan mengiktiraf Dasar Bumiputera sebagai sebahagian daripada terma-terma TPPA di peringkat global.

Najib turut menzahirkan penghargaan kepada Mustapa dan pegawai-pegawai kerajaan yang terlibat dalam perundingan dan penerangan TPPA atas usaha-usaha mereka.

Mesyuarat khas Dewan Rakyat pada Rabu lepas meluluskan usul mempersetujui penglibatan Malaysia dalam TPPA, melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 127 anggota Dewan Rakyat menyokong manakala 84 lagi menolak.

Dewan Negara kemudian meluluskan usul menyokong penyertaan Malaysia dalam TPPA, berdasarkan undi suara pada Khamis. – BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata sesiapa sahaja boleh memberi cadangan mengenai tarikh Pilihan Raya Negeri Sarawak.

Namun katanya mengikut peruntukan SPR, proses pilihan raya hanya akan diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

"Selagi DUN tidak dibubarkan, SPR tidak akan menentukan tarikh pilihan raya kerana tugas berkaitan pilihan raya hanya bermula selepas itu termasuk urusan tarikh penamaan calon dan pengundian.

"Itu sahaja maklum balas SPR berkaitan kenyataan itu," katanya kepada Bernama malam ini.

Beliau mengulas mengenai cadangan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem malam tadi bahawa beliau memilih mengadakan Pilihan Raya Negeri ke-11 pada 30 April depan, manakala tarikh penamaan calon pada 18 April. - BERNAMA


SIBU: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di Sibu pada 8.30 malam tadi untuk lawatan kerja dua hari bermula hari ini dan esok.

Ketibaannya di Lapangan Terbang Sibu disambut Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Datuk Seri Wong Soon Koh, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Residen Bahagian Sibu Hii Chang Kee.

Ahmad Zahid dijadual memulakan lawatannya dengan mengadakan tinjauan ke Batalion 10 Pasukan Gerakan Am Kem Lanang di Jalan Lanang pada 8.45 pagi ini sebelum bertolak ke Dataran Bandar Sibu Fasa 2 bagi merasmikan sambutan Hari Jabatan Sukarelawan (Rela) ke-44 pada 11.15 pagi.

Beliau kemudian akan merasmikan penutupan Program Siswa Komuniti Sarawak di Rumah Bungan di Jalan Oya pada 2.15 petang sebelum menghadiri perjumpaan dengan pemimpin tempatan di Dewan Suarah Sibu pada 7.45 malam.

Pada Ahad, Timbalan Perdana Menteri itu akan mengadakan 'walkabout' dan bersarapan di Pasar Sentral Sibu pada 8.15 pagi sebelum melawat United College of Technology Sarawak (UCTS) pada 10.15 pagi.

Beliau akan berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada kira-kira pukul 2.30 petang. - BERNAMA

SANTUBONG:  Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem mengumumkan Sarawak bakal mengadakan Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11), 30 April ini.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak turut mengumumkan 18 April sebagai tarikh penamaan calon.

Adenan mengumumkan kedua-dua tarikh itu dalam ucapannya ketika merasmikan Seminar Persiapan Menghadapi PRN11 Bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok, di sini, sebentar tadi.

"Tiada gunanya kita berselindung (mengenai tarikh pilihan raya) dan membiarkannya menjadi spekulasi. Kita (BN) sudah bersiap sedia untuk menghadapinya.

"Yang penting, jentera kita, khususnya dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) perlu digerakkan hingga ke peringkat akar umbi bagi memastikan sokongan berterusan terhadap BN," katanya.

Bagaimanapun, beliau yang juga Presiden PBB tidak menyatakan bila tarikh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dibubarkan.

Hadir sama Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok dan Timbalan Presiden PBB.-BH


KUCHING : Inisiatif bagi meringankan beban rakyat diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Pengubahsuaian Bajet 2016 semalam, disambut baik oleh rakyat Sarawak.

Kalangan mereka yang ditemui Bernama hari ini berpendapat inisiatif berkenaan terutama pemberian beras percuma sebanyak 20kg setiap bulan kepada keluarga miskin tegar menerusi program MyBeras merupakan langkah yang sangat murni.

Roznie Mazlan, 52, memuji langkah kerajaan memperkenalkan program MyBeras yang menurutnya sudah pasti akan meringankan kesusahan golongan tidak berkemampuan.

Pegawai kanan kerajaan itu bagaimanapun berpendapat harus diwujudkan mekanisme untuk memastikan bantuan itu sampai kepada golongan sasar.

"Jangan pula ada pihak yang menyalahgunakan yang akhirnya nanti hanya menguntungkan segelintir pihak ataupun memanfaatkan golongan yang mampu tetapi menyisih mereka yang benar-benar memerlukannya," katanya.

Suri rumah Alena Kang, 38, berpendapat program MyFarm Outlet akan membolehkan suri rumah mendapat barangan makanan seperti sayur dan buah-buahan pada harga yang lebih murah.

Beliau mencadangkan perlu ada pasukan pemantau atau penguat kuasa untuk memastikan barangan yang dijual di MyFarm Outlet benar-benar lebih murah seperti yang disarankan iaitu lima hingga 20 peratus.

Rose Mangal, 51, seorang jururawat yang bercadang menceburi bidang penanaman sayur berpendapat selain memanfaatkan suri rumah, MyFarm Outlet merupakan satu kaedah yang akan turut menguntungkan golongan petani dan peladang.

"Pekebun-pekebun kecil juga boleh menjual hasil mereka ke MyFarm Outlet, sekali gus memudahkan mereka mendapatkan pasaran untuk produk mereka, sementara dijual kepada pengguna dengan harga yang lebih murah," tambahnya.

Ahli perniagaan, Wilson Mapus, 36, yang menyambut baik peruntukan RM6 bilion untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana serta bantuan modal permulaan perniagaan, berkata pegawai yang terlibat perlu turun padang untuk memberi penjelasan dan pastikan ia memanfaatkan golongan yang benar-benar serius mahu berniaga.

"Ramai yang berminat untuk berniaga dan mahu mendapatkan bantuan yang disediakan kerajaan tetapi mereka tidak mempunyai pengetahuan tentang cara untuk memohon selain syarat-syarat yang ditetapkan," katanya.

Wilson berharap usahawan Bumiputera memanfaatkan peluang itu.

Sementara itu, seorang guru, Kepple Remis, 52, berkata keputusan kerajaan meneruskan empat program tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi tahun 2016, membuktikan kerajaan komited dan terus mengutamakan sektor pendidikan dan pembangunan modal insan negara.

Katanya, pengumuman berkenaan adalah satu khabar gembira kepada rakyat kerana sebelum ini ada segelintir pihak yang mendakwa kerajaan menghentikan pemberian biasiswa berkenaan sehingga mencetuskan kebimbangan pelajar dan ibu bapa,

Pengumuman itu, katanya juga membuktikan komitmen tinggi kerajaan dalam aspek pendidikan bagi melahirkan modal insan cemerlang sebagai aset negara meskipun berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi dunia.

Beliau mengesyorkan pelajar cemerlang daripada keluarga kurang kemampuan diberi keutamaan untuk mendapatkan biasiswa bagi melanjutkan pengajian di luar dan dalam negara. - Bernama

MIRI : Waktu operasi di Pos Kawalan Imigresen di sempadan Merapok, Sarawak dan Sindumin, Sabah akan dilanjutkan sehingga pukul 12 tengah malam mulai Isnin ini.

Pengarah Jabatan Imigresen Sarawak Datuk Mohd Zulfikar Ahmad berkata dengan lanjutan masa itu, kedua-dua pos kawalan berkenaan kini selaras dengan waktu operasi di kawasan sempadan Sarawak dan Brunei yang mula dikuatkuasakan sejak 1 Sept 2015.

Beliau berkata ketika ini operasi kedua-dua pos kawalan itu adalah sehingga pukul 10 malam sahaja.

"Pada 2015, lebih 700,000 pelawat melalui pos kawalan Merapok dan Sindumin dan dengan lanjutan waktu operasi, kita jangkakan jumlah itu akan meningkat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya Komplek Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Sungei Tujuh (Miri), Tedungan (Limbang), Pandaruan (Limbang) dan Mengkalap (Lawas) yang waktu operasinya dilanjutkan pada 1 Sept lepas, mencatatkan 8 juta pelawat yang melalui empat pos kawalan itu.

"Daripada jumlah itu, 3.4 juta adalah pelawat asing kebanyakannya rakyat Brunei," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang-ramai untuk merancang perjalanan bagi mengelakkan kesesakan di pos kawalan terutama sekali pada hujung minggu, cuti perayaan dan cuti persekolahan.

-- BERNAMA

KUCHING – Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin hari ini disekat oleh Jabatan Imigresen di sini daripada memasuki negeri Sarawak sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) pada jam 11 pagi tadi.

Zuraida dijadual mengadakan pertemuan dengan bakal calon wanita PKR bagi pilihan raya Sarawak.

Turut bersama Zuraida ialah Timbalan Ketua Wanita PKR Haniza Talha, yang bagaimanapun, diberi kebenaran untuk masuk ke negeri ini dan beliau kemudian menyambung penerbangan ke Miri.

Ketika ditemui pemberita, Naib Presiden Wanita PKR Kebangsaan Voon Shiak Ni yang berada di KIA untuk menyambut ketibaan Zuraida serta rombongan, berkata Zuraida telah diarah pulang semula ke Kuala Lumpur dengan menaiki pesawat AirAsia pada jam 3.05 petang ini.

Katanya usaha untuk mendapat kepastian daripada Pejabat Ketua Menteri Sarawak gagal namun pihak Jabatan Imigresen di sini mengesahkan Zuraida berada dalam senarai mereka yang dihalang daripada memasuki Sarawak.

Pada 6 Dis lepas, Naib Presiden PKR yang juga Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar turut dihalang daripada memasuki negeri ini. – BERNAMA

IPOH – Dua kilang memproses asam jawa dan kicap di sini diarah tutup 14 hari mulai hari ini selain dikompaun RM250 kerana gagal mematuhi peraturan kebersihan dalam operasi HOU (Monyet) yang diadakan sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu Negeri Datuk Dr Mah Hang Soon berkata kilang memproses asam jawa itu terletak di Taman Pertama manakala kilang memproses kicap, di Taman Rishah di sini.

“Terdapat serpihan surat khabar, tali di dalam asam jawa yang telah diproses, selain kurang pencahayaan dan pekerjanya juga tidak memakai apron atau menutup rambut.

“Sementara bekas yang diguna untuk peram kacang soya bagi membuat kicap tidak memuaskan dan terdapat najis tikus berhampiran,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu hari ini.

Operasi dua jam bermula 10 pagi itu, melibatkan 40 anggota penguatkuasa Jabatan Kesihatan Negeri dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Majlis Bandaraya Ipoh serta Jabatan Agama Islam Perak.

Beliau berkata pihaknya telah mengeluarkan notis kepada kedua-dua premis berkenaan untuk memperbaiki keadaan di sekitar kilang masing-masing.

“Dalam tempoh ini pihak Jabatan Kesihatan akan membuat pemeriksaan susulan dan sekiranya kilang tersebut masih menjalankan operasi, kita akan mengambil tindakan,” katanya.

Selain itu Mah berkata sepanjang tahun lalu sebanyak 13,068 premis makanan diperiksa bagi memantau keselamatan serta kualiti produk, meningkat berbanding 10,640 pada 2014.

“Sebanyak 91 premis ditutup pada 2014 dan 108 ditutup pada 2015 di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 kerana premis didapati tidak bersih.

“Sebanyak 2,128 rampasan dibuat dengan nilai RM51,761 pada 2014 manakala 2015 sebanyak 1,435 rampasan dilakukan membabitkan jumlah RM49,245,” katanya. – BERNAMA

KUALA LUMPUR: Hutang yang banyak dan tabungan yang rendah merupakan antara sebab utama rakyat Malaysia tidak boleh bersara.

Laporan oleh HSBC menyebut 91 peratus rakyat Malaysia berusia 45 tahun dan ke atas, yang mahu bersara dalam tempoh lima tahun akan datang, tidak dapat berbuat demikian disebabkan kekangan kewangan.

Ketua Pengurusan Kekayaan HSBC Malaysia Lim Eng Seong yang memetik laporan itu berkata lebih 18,000 orang dari 17 negara, termasuk 1,105 rakyat Malaysia, menyertai tinjauan dua bulan itu.

Peserta kajian menyatakan mereka tidak mempunyai simpanan yang mencukupi kerana bergantung semata-mata ke atas pendapatan, selain hutang pinjaman perumahan.

Mereka berkata bil kesihatan dan yuran pendidikan anak-anak sebagai sebab utama mereka tidak mempunyai tabungan yang mencukupi untuk bersara, katanya pada taklimat mengenai masa depan persaraan di sini hari ini.

Sejumlah 69 peratus rakyat Malaysia yang berusia 45 dan ke atas, mahu bersara dalam tempoh lima tahun akan datang jika keadaan mengizinkan, kata Lim.

"Walaupun tekanan kewangan tinggi, hanya 13 peratus bakal pesara di negara ini mejangkakan mereka tidak akan dapat bersara sepenuhnya.

Lim juga berkata selain caruman 11 peratus kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, mereka perlu menambung jumlah tambahan.

"Ia juga bergantung kepada individu berdasarkan gaya hidup dan cara menabung untuk hidup selesa setelah bersara," katanya dan menambah lebih awal mereka menabung, lebih baik lagi kedudukan mereka.

Lim berkata memandangkan ramai yang bimbang mereka tidak mampu untuk bersara sepenuhnya, perancangan kewangan yang kukuh perlu dilakukan.
"Rakyat Malaysia perlu menimbang aspirasi ini semasa merancang persaraan mereka bagi memastikan kedudukan kewangan yang stabil dalam alam persaraan.

"Dengan hanya tabungan kecil hari ini, mereka mampu meletakkan asas yang kukuh untuk persaraan masing-masing," katanya. - AWANI


KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Sabah telah menolak kemasukan 236 pelancong asing ke negeri ini sepanjang tahun lepas.

Pengarahnya Musa Sulaiman berkata tindakan itu dibuat apabila pelancong terbabit tidak memenuhi syarat kemasukan sebagai pelancong tulen.

"Jabatan tidak teragak-agak untuk menghalang kemasukan pelawat yang dipercayai mengancam keselamatan atau menggugat keharmonian negeri Sabah.

"Dalam usaha menjamin tahap keselamatan tinggi, para pegawai Imigresen di pintu-pintu masuk telah diarahkan untuk melaksanakan pemeriksaan lebih teliti terhadap penumpang yang masuk dan keluar dari negeri ini," katanya pada sidang akhbar mengenai pencapaian jabatan itu sepanjang tahun lepas di sini, Jumaat.

Musa berkata jabatan tersebut juga telah mewajibkan pemeriksaan biometrik terhadap semua pelawat, manakala sistem senarai semak penumpang sentiasa dikemaskini.

Beliau turut memberitahu jabatan itu telah menahan seramai 18,874 pendatang asing tanpa izin (PATI) tahun lepas menerusi operasi bersepadu Jabatan Imigresen, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Di samping itu, kita juga telah menghantar pulang seramai 27,769 tahanan (termasuk yang berada di pusat-pusat tahanan sementara pada tahun sebelumnya) melibatkan warga Filipina, Indonesia, Pakistan, India dan China," katanya.

Musa turut mengumumkan waktu operasi di Pos Kawalan Imigresen Sindumin, Sabah dan Merapok, Sarawak dilanjutkan dari 6 pagi hingga 10 malam kepada 6 pagi hingga 12 tengah malam mulai 1 Feb ini.

"Perlanjutan waktu operasi ini diharapkan dapat meningkatkan kegiatan ekonomi dan sosial masyarakat, khususnya di Sabah dan Sarawak," katanya.

Ketika ditanya mengenai Program Penggajian dan Penempatan Semula PATI yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Pengubahsuaian Bajet 2016 semalam, Musa berkata Jabatan Imigresen Sabah akan meneliti kaedah bersesuaian dalam membantu industri menggaji pekerja asing.

"Jabatan juga telah beberapa kali menjalankan program pemberian permit kerja sah kepada PATI yang bekerja di Sabah sebelum ini.

PETALING JAYA: Mengikut perlembagaan adalah 'mustahil' untuk menukar keputusan yang telah menetapkan bahawa Perdana Menteri tidak terlibat dengan rasuah, menurut The Guardian.

Penerbitan British itu melaporkan pada Khamis, memetik sumber yang rapat dengan Jabatan Perdana Menteri sebagai berkata bahawa mengikut undang-undang, adalah mustahil keputusan Peguam Negara itu untuk dibatalkan.


"Mahkamah tertinggi di Malaysia juga tidak boleh. Perlembagaan perlu ditukar dan itu tidak akan berlaku," kata sumber itu yang tidak mahu dikenali kerana beliau tidak dibenarkan untuk bercakap secara terbuka kepada media.

Pada Selasa, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali membebaskan Datuk Seri Najib Tun Razak daripada sebarang salah laku dalam penyiasatan SRC International Sdn Bhd dan derma politik RM2.6 bilion.

Apandi juga telah mengarahkan SPRM untuk menutup fail dan menghentikan siasatan.

Pada Khamis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata badan itu tidak mempertikaikan atau mencabar keputusan Peguam Negara terhadap kes Perdana Menteri itu.

Ketuanya, Tan Sri Abu Kassim Mohamad berkata rujukan dua kes itu kepada Panel Penilaian Operasi adalah prosedur operasi standard SPRM sebagai sebahagian daripada proses penutupan mana-mana kes.

"Saya ingin menyatakan sekali lagi bahawa SPRM adalah sama sekali tidak mencabar Peguam Negara."

"Untuk penjelasan, kuasa Peguam Negara ke atas semua prosiding jenayah telah diberikan kepadanya di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

"Kuasa-kuasa ini adalah mutlak dan tidak boleh dicabar oleh mana-mana pihak berkuasa," katanya dalam satu kenyataan.-mStar
| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA