Zahir Simpati Nasib Rohingya Di 'Kertas Putih'


KUALA LUMPUR : Kesengsaraan yang terpaksa ditanggung umat Islam Rohingya di Myanmar turut mendapat perhatian di Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Menggunakan pendekatan berbeza daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang melakukannya menerusi perhimpunan aman dan menyerahkan memorandum, Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) pula sebaliknya menzahirkan rasa simpati menerusi lakaran di atas 'kertas putih'.

Ahli Lembaga Penasihat (IWM), Datuk Akmar Hisham Mokhles berkata, dianggar 10 lukisan karya kartunis tempatan dipamerkan sempena perhimpunan tahunan itu bagi mewujudkan kesedaran masyarakat agar terhadap nasib Rohingya.

"Kita ada mempamerkan lakaran kartun untuk mewujudkan rasa prihatin dan berkongsi rasa sedih serta marah terhadap apa yang berlaku kepada nasib umat Islam di Myanmar.

"Nasib Rohingya nampaknya betul-betul membimbangkan kebanyakan umat Islam kerana ia agak luar biasa kerana kezaliman yang berlaku di sana kita tidak jangka sampai ke tahap sedemikian," katanya kepada Utusan Online hari ini.

Sempena Perhimpunan Agung UMNO tahun ini, IWM turut mengadakan pameran lakaran pelbagai jenis karya kartunis tempatan bagi memberi pemahaman kepada rakyat mengenai pengertian wasatiyyah.

Sementara itu, Akmar Hisham berkata, selepas ini karya-karya tersebut termasuk lukisan kartun nasib etnik Rohingya akan dibawa menjelajah ke beberapa negeri di negara ini.

"Kita akan pamerkannya ke negeri-negeri sempena pameran yang kita adakan bersama bengkel atau seminar wasatiyyah.

"Kita ada banyak mengadakan seminar wasatiyyah di negeri-negeri. Kita akan terus bercakap mengenai Rohingya ini," katanya. - utusan

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA