Tetapi Diberkas Meskipun Merayu Dengan Air Mata


KUALA LUMPUR: Rayuan air mata sudah tidak lagi bermakna. Itu nasib dialami sembilan pesalah trafik tegar yang terus diheret ke Mahkamah Trafik Jalan Duta di sini, semalam, sejurus diberkas polis.

Semua mereka diperangkap melalui Operasi Waran Tangkap (Ops Warta) dijalankan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di Jalan Shamelin, di sini, semalam.

Dalam operasi bermula jam 7.45 hingga 9.00 pagi itu, pihak berkuasa menahan sembilan lelaki berusia antara 24 dan 57 tahun yang mempunyai waran tangkap akibat gagal membayar saman trafik.

Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Nazri Hussain berkata, semua individu ditahan selepas kenderaan dipandu dikesan menggunakan alat peranti sistem pembayaran kompaun dalam talian mudah alih (MCOPS) serta alat pengimbas Sistem Pengesanan Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR).

Menurutnya, semua yang diberkas dibawa terus ke Mahkamah Trafik Jalan Duta untuk didakwa.

“Jumlah tangkapan dalam operasi ini membabitkan 10 individu yang mempunyai waran tangkap. Bagaimanapun, hanya sembilan yang didakwa ke mahkamah, manakala seorang lagi dibebaskan dengan jaminan polis berikutan kekangan masa dakwaan di mahkamah sebelum diberikan tarikh untuk sebutan kes.

“Penahanan itu adalah tindakan wajar berikutan sikap culas mereka yang enggan membayar saman tertunggak menyebabkan ada di antara individu ditahan memiliki hingga lima waran tangkap atas kesalahan berkenaan,” katanya.

Individu yang didakwa boleh dikenakan denda dengan nilai minimum RM300 hingga RM2,450 bagi setiap pertuduhan.

Mohd Nazri berkata, selain penahanan individu itu, pihaknya turut mengeluarkan 51 notis saman membabitkan pelbagai kesalahan dalam operasi itu.

“Kesalahan termasuk tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tidak memakai tali pinggang keledar dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu di lokasi berkenaan,” katanya.-HM

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA