SMK Tatau, Bintulu harumkan nama Sarawak

ta04688
KUCHING: Penat lelah sekumpulan pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tatau, Bintulu selama sebulan lebih menjayakan projek Green Toilet kini terubat apabila mereka dinobatkan sebagai juara pertandingan Petronas All About Youth Star 2016.

Kejayaan itu lebih manis apabila kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Crystal Drop menewaskan empat lagi kumpulan daripada SMK Chukai dan SMK Padang Pulut dari Terengganu, SMK Bongkol dan SMK Penangah dari Sabah dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000.

Pertandingan akhir peringkat kebangsaan yang diadakan kelmarin di Kuala Lumpur itu menyaksikan 20 pelajar tingkatan empat SMK Tatau membangunkan projek dengan matlamat mengurangkan penggunaan air dan tenaga elektrik di tandas sekolah tersebut.

Guru pembimbing Mohamad Hairol Bisel yang turut dibantu seorang lagi guru, Alexander Andrew Kana, menjelaskan bahawa kumpulan itu memilih tandas sekolah sebagai makmal kajian bagi membuat uji kaji dalam skala yang kecil sebelum idea disebarkan secara meluas di kawasan sekolah.

Hairol berkata, kemenangan itu merupakan kejayaan semua pelajar dan guru SMK Tatau yang telah sama-sama membantu dan menyokong pelaksanaan projek.

“Pelajar-pelajar menerima kemenangan dengan rasa penuh gembira dan bangga dengan usaha yang telah dicurahkan selama enam minggu,” katanya ketika dihubungi.

Keputusan pertandingan diumumkan menerusi majlis makan malam yang diadakan malam kelmarin.

Menurutnya, wang kemenangan itu akan dibahagikan di kalangan pelajar yang akan dimasukkan ke dalam akaun SSPN.

Sebelum layak ke peringkat akhir, SMK Tatau merupakan antara 30 sekolah di Malaysia yang dipilih menyertai Petronas All About Youth Star 2016 anjuran Petronas.

Di Sarawak, tujuh sekolah dipilih yang terdiri daripada dua di Kuching, dua Miri dan tiga di Bintulu. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA