Sibu Banjir Kilat, Parit Tersumbat Jadi Faktor


SIBU: Masalah perparitan tersumbat antara faktor dikenal pasti menyumbang kepada banjir kilat di tiga kawasan penduduk di bandar ini.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sibu Kapten Frankie John Jawan berkata, tinjauan APM mendapati hujan lebat sejak petang kelmarin menyebabkan banjir kilat di tiga kawasan berkenaan.

“Kawasan terjejas itu ialah Taman Desa Kemuyang, Kampung Bahagia Jaya Teku dan Kampung Jeriah, Jalan Oya” katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya, pemantauan dilakukan di kawasan perumahan Kemuyang sekitar jam 6.56 pagi mendapati banjir kilat di situ disebabkan parit tersumbat menyebabkan jalan dinaiki air.

“Air hujan menuruni kawasan perumahan tinggi mengalir ke kawasan perumahan lain,” katanya sambil menambah keadaan di situ adalah terkawal.

Menurutnya, hujan lebat juga mengakibatkan banjir kilat justeru menjejaskan kawasan rendah di Kampung Bahagia Jaya.

“Sebuah keluarga terdiri daripada tujuh orang terpaksa menginap tingkat atas rumah selepas air naik sedalam satu kaki di bahagian tingkat bawah,” ujarnya.

Selain itu, hujan lebat juga menyebabkan beberapa kawasan Kampung Jeriah dinaiki air menyebabkan beberapa jalan perkampungan turut dinaiki air.

“Faktor banjir kilat berlaku juga disebabkan parit tersumbat mengakibatkan sebahagian daripada jalan raya di kawasan kampung ini dinaiki air sehingga jam 11.40 pagi tadi (semalam),” katanya.

Bagaimanapun, Frankie menambah, keadaan di tiga kawasan tersebut adalah terkawal.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA