Siapa Pilihan David Usop?



KUCHING: David Usop tidak akan terburu-buru untuk memilih pemain import asing yang bakal membarisi pasukan bimbingannya untuk saingan Liga Malaysia tahun depan.

Ketua jurulatih Sarawak itu berkata, semua pemain yang mengikuti ujian akan diuji dalam perlawanan persahabatan dalam masa terdekat.

Pemain yang mengikuti ujian termasuk Ivan Babic,32, dari Croatia, dua pemain dari Korea Selatan, Do Dong Yong, 23, dan Lee Jong Ho, 24, serta bekas penyerang Sabah dari Brazil, Everton Souza Santos, 31.

Tiga lagi pemain yang tiba kelmarin ialah penyerang muda skuad kebangsaan Filipina, Mark Andrew Hartman, 24, Autor Ramirez, 26, dari Sepanyol dan Carlos Delgardo, 31, dari Argentina.

“Saya berharap pemain-pemain import yang menjalani ujian dapat memenuhi kriteria yang diperlukan.

“Kita akan lihat dahulu kebolehan mereka dan tidak akan terburu-buru membuat keputusan (pemilihan),” katanya.

Menurut David, beberapa pemain dari Liberia dan Bosnia Herzegovina akan tiba dalam masa terdekat untuk mencuba nasib bersama pasukan Ngap Sayot.

Sarawak dalam pencarian tiga pemain import untuk menghadapi kempen Liga Super 2017 selepas satu lagi slot hampir pasti milik pemain pertahanan, Teah Dennis.

Dalam pada itu, David mengakui tertarik dengan kelibat Mark Andrew selepas menyaksikan pemain itu beraksi ketika lawatan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) ke Singapura baru-baru ini.

Menurutnya, pemain muda itu merupakan penggempur utama kelabnya, Geylang International yang bersaing dalam Liga Singapura musim ini.

Pemain kelahiran Southampton, England itu turut mewakili Filipina pada Kejohanan Piala AFF Suzuki 2016.

“Mark mempunyai ketinggian dan mampu beraksi dengan baik di bahagian serangan. Namun, kita akan uji dahulu sejauh mana kemampuannya,” kata David.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA