Semak Status Sebelum Ke Luar Negara - LHDN


PUTRAJAYA: Pembayar cukai yang dikenakan sekatan perjalanan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana gagal menjelaskan tunggakan cukai boleh memohon pelepasan, tujuh hari sebelum perjalanan ke luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar, dalam satu kenyataan hari ini, berkata bagi memohon pelepasan itu, pembayar cukai perlu hadir ke cawangan LHDN yang mengendalikan fail cukai mereka sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum tarikh perjalanan ke luar negara.

"Mereka perlu mengemukakan surat permohonan yang mengandungi maklumat destinasi, tujuan dan tempoh ke luar negara selain membuat bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada jumlah cukai tertunggak serta membuat bayaran ansuran untuk baki selebihnya.

"Prosedur ini boleh semak di pautan http://lampiran.hasil.gov.my/pdf/pdfam/18_Sekatan_Perjlnan.pdf bagi mendapatkan butiran lanjut.

"LHDN mengambil maklum bahawa ramai dalam kalangan pembayar cukai sudah membuat perancangan untuk bercuti ke luar negara pada musim cuti sekolah ini.

Justeru, mereka dinasihatkan menyemak status sekatan perjalanan terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang kesulitan di kaunter imigresen dan semua pintu keluar negara, " katanya.

Beliau berkata, semakan boleh dilakukan melalui portal rasmi Jabatan Imigresen Malaysia di pautan berikut: http://sspi2.imi.gov.my/.

Selain semakan di portal rasmi Imigresen, pemberitahuan tindakan sekatan perjalanan kepada pembayar cukai berkenaan turut dikeluarkan kepada pembayar cukai secara pos berdaftar dan dihantar ke alamat mereka yang berdaftar dengan LHDN.

Mohd Shukor menjelaskan, sekatan perjalanan ke luar negara adalah tindakan penguatkuasaan oleh LHDN berdasarkan peruntukan Seksyen 104 Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 terhadap pembayar cukai yang gagal membayar tunggakan cukai mereka walaupun notis peringatan sudah diberikan.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA