'Pusat Hiburan Keluarga' Jadi Pusat Judi Atas Talian


KUALA LUMPUR: Papan tanda premis ‘pusat hiburan keluarga’ tidak lagi logik diguna pakai berikutan kebanyakan premis berkenaan dikesan menjalankan aktiviti pusat perjudian atas talian.

Ketua Penyelaras Operasi Banteras Aktiviti Haram (Ops Bah) Kementerian Wilayah Persekutuan Azman Mahmood ketika mendedahkan perkara itu berkata, kebanyakan pusat hiburan yang diberikan lesen beroperasi menyalahgunakannya dengan menjalankan kegiatan judi dalam talian.

“Sehingga kini, kami mengeluarkan lebih 600 lesen kepada pemilik untuk menjalankan perniagaan pusat hiburan keluarga.

“Namun, sebahagian besar daripada premis berkenaan menjalankan kegiatan judi dengan berselindung di sebalik pusat hiburan keluarga.

“Malah, kebanyakan premis pusat hiburan berkenaan terletak di kawasan kilang terpencil dan mempunyai ruang tertentu yang dibina khas untuk kegiatan judi dalam talian bagi mengelak aktiviti itu dikesan pihak berkuasa,” katanya selepas mengetuai serbuan Ops Bah di sebuah pusat hiburan keluarga di dua lokasi berasingan, awal pagi semalam.

Beliau berkata, hasil operasi bersepadu dijalankan, pihaknya berjaya mengesan dan menyerbu lebih 300 premis hiburan keluarga yang menyalahguna lesen diberikan.

Dalam serbuan terbaru jam 12.30 tengah malam semalam, pihak berkuasa menyerbu dua premis pusat hiburan keluarga di Taman Shamelin Perkasa dan Taman Midah, di sini.

Sebanyak 114 unit komputer yang dijadikan sebagai mesin judi dalam talian serta pelbagai peralatan lain untuk kegiatan itu bernilai hampir RM250,000 dirampas.

Operasi itu yang disertai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menjalankan pemeriksaan terhadap pengunjung kedua-dua lokasi berkenaan.

Azman berkata, pihaknya turut menahan dua remaja bawah umur yang mengunjungi pusat hiburan terbabit sebelum mereka diserahkan kepada keluarga dengan jaminan ibu bapa dan waris masing-masing.

“Selain itu, kami turut menjalankan ujian saringan air kencing terhadap 20 pengunjung pusat hiburan terbabit dan mendapati tiga daripada mereka termasuk seorang wanita positif dadah.

“Ketiga-tiga mereka ditahan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (R&P) 1983 kerana menagih dadah,” katanya.-HM

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA