PRU14: Gendang 'Perang' Sudah Dipalu, PBB Pantai Damai Bersedia


KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Pantai Damai bersiap sedia membantu calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Parlimen Santubong pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

Ketuanya, Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sudah memberi bayangan PRU14 bakal diadakan tidak lama lagi, justeru persiapan yang bermula sejak pilihan raya negeri (PRN) lepas akan terus dipergiatkan.

Malah menurutnya, isyarat yang diberikan Perdana Menteri bermakna jentera PBB Cawangan Pantai Damai akan terus diaktifkan.

"Kita sentiasa bergerak sepanjang masa, ini membuatkan kita mendapat keputusan cemerlang pada PRN lepas kerana bermula awal.

"Sama juga kali ini, tamat sahaja PRN lepas, kita bersediap sedia," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajar Intitut Pengajian Tinggi (IPT), Kebajikan dan Persatuan Bagi Kawasan DUN N.4 Pantai Damai di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai persiapan menghadapi PRU14.

Menurut Dr Abdul Rahman, antara starategi awal adalah dengan mengadakan perjumpaan dalam bentuk seminar dan bengkel.

Beliau yang juga Menteri Kemudahan Awam (Elektrik dan Telekomunikasi) menjelaskan, pendekatan yang digunakan pada PRU14 sama seperti PRU lepas.

"Modus operandi sama, kita bergerak bersama dengan calon. Pada PRU lepas, kita berjaya bawa calon ke semua kawasan," ujarnya.

Seperti sebelum ini jelasnya, Ahli Parlimen Santubong, Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan begitu baik dan banyak projek besar dilaksanakan di kawasan Pantai Damai.

"Kerjasama beliau dengan pemimpin dan masyarakat di DUN Pantai Damai amat baik sekali," jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, sudah pasti isu yang dimainkan pihak pembangkang adalah berkaitan nasional kerana mereka ketandusan isu tempatan.

"Seperti sebelum ini mereka mainkan isu GST dan 1MDB, kita sudah bawa pegawai berkaitan untuk beri penerangan kepada masyarakat.

"Kita berharap PRU14 dapat diadakan dengan segera, lebih awal adalah lebih baik," ujarnya.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA