Persembahan Bawa Maut


Kaherah: Seorang pelatih sarkas maut selepas diserang singa jagaannya ketika mengadakan pertunjukan secara langsung di dalam gelanggang di Mesir.

Islam Shaheen, 35, dirakam mengacukan kayu ketika persembahan membabitkan dua singa di Iskandariah, utara Mesir.

Namun tiba-tiba seekor singa ketiga muncul dan menerkamnya sebelum menggigit tengkuknya menyebabkan kanak-kanak yang menyaksikan kejadian itu menjerit ketakutan.

Pelatih lain bergegas masuk untuk membantu Islam yang sudah terbaring berdarah di atas lantai dan berjaya menghalau singa berkenaan menggunakan kayu.

Islam kemudian dikejarkan ke Hospital Andalusian Salam tetapi meninggal dunia akibat kecederaannya.

Menurut abangnya, Islam menjadi pelatih di sarkas itu sejak 10 tahun lalu, dan kejadian berkenaan dipercayai berlaku kerana singa yang menyerangnya masih baru diperoleh dari Afrika Selatan, lapor akhbar Al-Arabiya.

Sementara itu, jurucakap sarkas, Mohammed Mustafa berkata, kejadian berlaku disebabkan singa berkenaan lebih agresif kerana musim mengawan.

Disebabkan itu, katanya, singa itu sudah diasingkan dan tidak akan melakukan sebarang persembahan sehingga selesai diperiksa doktor haiwan.

Tahun lalu, seorang pelatih singa wanita Mesir cedera diserang singa jagaannya ketika melakukan persembahan.

Faten El-Helw bagaimanapun terselamat dan mengalami kecederaan pada bahunya selain retak tulang pinggul.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA