Permohonan Tony Batal Saman Najib Didengar 17 Januari



KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 17 Januari tahun hadapan bagi mendengar permohonan Anggota Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee untuk membatalkan saman fitnah yang difailkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib, atas kapasiti peribadinya, memfailkan saman fitnah itu pada 5 Mac tahun lepas dengan menamakan Pua, 43, sebagai defendan pertama dan pemilik portal Mediarakyat.net, Chan Chee Kong, 52, sebagai defendan kedua berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam Alliff Benjamin Suhaimi yang mewakili Pua memberitahu pemberita perkara itu selepas kes disebut dalam kamar Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Roslan Abu Bakar.


Najib selaku plaintif dalam pernyataan tuntutannya, berkata pada 13 November 2014, Pua, sebagai penceramah utama pada jamuan malam kutipan dana DAP, telah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah mengenai 1MDB.

Najib berkata rakaman ucapan itu telah dimuat naik oleh Chan sendiri dan atau ejennya dalam laman YouTube Mediarakyat dan laman sesawang Mediarakyat yang didakwa menggunakan tajuk berunsur fitnah.

Menurutnya rakaman ucapan itu mengandungi perkataan yang merujuk dan berkaitan dengan dirinya dan memfitnahnya serta individu dikenali sebagai ‘perdana menteri’ dan semestinya merujuk secara spesifik kepada dirinya (Najib).

Beliau berkata penerbitan perkataan-perkataan fitnah itu telah merosakkan reputasinya kerana rakaman ucapan itu boleh diakses secara meluas dan mudah di seluruh dunia melalui internet, blog, forum dan laman web tanpa sebarang sekatan dan boleh dikongsi semula. – BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA