Perdana Menteri Lancar Aplikasi PR1MA




KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan aplikasi mudah alih Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) iaitu ‘PR1MA app’ yang mengandungi pelbagai maklumat berkaitan projek PR1MA.

Pelancaran aplikasi itu dilakukan dalam satu majlis ringkas yang diadakan di tapak pameran PR1MA di ruang legar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim dan Pengerusi PR1MA Tan Sri Dr Alies Anor Abdul.

Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA Datuk Abdul Mutalib Alias berkata aplikasi tersebut yang bersesuaian dengan era digital masa kini menyediakan akses dua hala yang efisien antara perbadanan itu dengan rakyat.

“Aplikasi ini bertujuan melancarkan lagi proses permohonan dan seterusnya menyediakan kemudahan kepada bakal pembeli dengan notifikasi mengenai PR1MA,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

Menurutnya, aplikasi itu yang boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Play dan App Store menyediakan kemudahan seperti pendaftaran dan permohonan membeli rumah, menyemak status permohonan serta maklumat projek.

Dalam pada itu, Abdul Mutalib menjelaskan setakat bulan lepas lebih 1.34 juta permohonan untuk membeli rumah diterima perbadanan itu.

Katanya, sehingga kini sebanyak 268,993 unit rumah diluluskan untuk pembinaan dengan 111,267 unit berada dalam pelbagai peringkat pembinaan. – BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA