Pasukan SAR Berdepan Cuaca Buruk Cari Baki Mangsa Tongkang Karam


MUKAH: Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) yang meneruskan pencarian baki dua mangsa hilang dalam insiden tongkang karam diuji sekali lagi dengan cuaca buruk dan angin kencang.

Dalam kenyataan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang mengetuai SAR berkenaan, faktor cuaca benar-benar membataskan SAR yang memasuki hari keempat semalam.

“Keadaan cuaca buruk selain angin kencang di laut membataskan usaha pencarian dua lagi mangsa belum ditemui,” kata lporan berkenaan yang dikeluar pada sekitar 12.30 tengah hari semalam.

Pihaknya juga memberitahu jumlah aset terlibat semalam masih sama iaitu tiga bot APMM, Bomba dan Penyelamat, Polis Marin, Jabatan Sukarelawan Rakyat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia masing-masing sebuah bot dan sebuah pesawat udara Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia.

Sementara itu menurut sumber daripada syarikat pemilik kapal berkenaan, operasi SAR terbantut oleh faktor cuaca buruk dan dimaklumkan, ombak setinggi hingga dua meter membantut usaha SAR.

Menurut kronologi tragedi, kapal tongkang itu atau dikenali sebagai Jin Fiat No. 1 karam dengan muatan batu kerikil ketika berlabuh berhampiran Kampung Betanak, Pulau Bruit pada malam Sabtu (26 November).

Enam berada dalam kapal ketika kejadian, namun dua terselamat setelah berpaut pada muncung kapal yang timbul sehingga diselamatkan oleh nelayan tempatan keesokan harinya.

Sejak itu SAR diaktifkan untuk mencari empat hilang iaitu Pawi Nyawan, Angga Wahyudi serta pasangan suami isteri Kamal dan Mira.

Dua terselamat adalah Melvin Francis (20 tahun) dan Kenny Clement (18 tahun).

Bagaimanapun, hari kedua SAR berjaya menemui mayat Angga sekitar lima baru nautika daripada tempat kejadian manakala SAR kelmarin turut berjaya menemui mayat Kamal sekitar tujuh batu nautika daripada tempat kejadian.

Sehingga berita ini ditulis (6 petang senalam), dua masih hilang sementara SAR ditangguh untuk disambung semula pada hari ini.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA