Najib Puji Politik Matang PAS, Tak Sertai BERSIH Dan Tak Keluar Parlimen



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan penghargaannya kepada PAS yang kini mengamalkan politik matang yang disifatkan beliau sebagai amalan mulia.

Bercakap ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2016, Najib berkata, politik matang yang membawa kepada perpaduan ummah itu ditunggu sejak sekian lama.

"Inilah kemuncak kejayaan perjuangan, iaitu perpaduan ummah. Ayuhlah, kita ubat luka itu dan jangan menyimbah minyak kepada api permusuhan.

Kita berterima kasih kepada sahabat dari parti PAS kerana matang dalam politik dan kekal berada dalam Parlimen, mendengar pembentangan Bajet 2017 sehingga penghujungnya.

"Dan tidak menyertai demonstrasi jalanan anjuran BERSIH," katanya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Tambah beliau, sekiranya umat Islam boleh bersolidariti mengecam kekejaman saudara seagama diperingkat antarabangsa, umat Islam Malaysia juga boleh bersatu-padu di negara sendiri.

"Cukup-cukuplah bahawa sejarah telah mengajar kita bahawa, umat Melayu Islam dan Ummah, telah berkali-kali lumpuh dan runtuh kerana permusuhan dan pembelotan. Hatta, janganlah kita diperkudakan oleh pihak lain. Kelak, menang sorak, kampung tergadai.

"Dari itu, sudah-sudahlah. saya menyeru, marilah kita bersatu atas perpaduan Melayu dan Ummah. Lupakan sengketa dan perbezaan diantara kita. Bersamalah kita kembali ke pangkal jalan," katanya yang turut mengecam kekejaman kemanusiaan di Asia Tengah dan terbaru, penghapusan etnik Rohingya di Myanmar.

"Malah hari ahad ini, saya akan hadir mewakili UMNO dalam perhimpunan besar-besaran bersama-sama dengan Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) dan NGO-NGO lain untuk menyatakan pendirian kita yang amat tegas," katanya merujuk kepada Himpunan Solidariti Ummah Untuk Rohingya di Stadium Titiwangsa.

Najib dalam pada itu turut menyentuh mengenai Rang Undang-Undang 355 berkaitan Akta Mahkamah Syarikat berkaitan bidang kuasa jenayah 1965 yang telah dibacakan di Parlimen 24 November lepas.

"Saya pinta, jangan sesiapa mempolitikkan isu ini. Kerana ini merupakan usul persendirian yang akan diambilalih oleh kerajaan persekutuan.

"Kepada yang bukan beragama Islam usah bimbang kerana mereka tidak tertakluk dibawahnya sama sekali. Not at all. Dan kerajaan sedang mengkaji secara halus agar tidak berlaku perhukuman dualisme (bertindih) dalam negara kita," katanya. - Malaysian Digest

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA